SUKAR untuk membawa 100,000 orang ke Stadium Nasional atau 70,000 orang ke Stadium Shah Alam melainkan untuk menonton sukan, khususnya bola sepak, permainan paling popular di Malaysia. Di stadium tertutup Malawati dan Bukit Jalil atau Stadium Negara jika masih digunakan, hanya badminton yang boleh menarik lebih 10,000 orang ke situ. Dengan sendirinya badminton menjadi sukan nombor dua paling diminati di sini.

Secara perbandingan, badminton lebih melonjakkan reputasi negara. Malaysia telah beberapa kali memenangi Piala Thomas untuk 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992. Kini dengan Lee Chong Wei menjadi pemain nombor satu dunia begitu lama dan menjuarai pingat perak di tiga Sukan Olimpik, badminton terbukti satu-satunya sukan kita yang boleh menjadikan seseorang juara kaya.

Umum mengetahui Chong Wei seorang jutawan dengan memiliki rumah dan kereta mewah. Inilah ciri-ciri hidup biasa ahli-ahli sukan yang berjaya di seluruh dunia. Di Barat, ramai juara sukan memiliki kapal terbang peribadi, seperti  juara besar tenis dunia, Roger Federer, dan beberapa orang juara golf. Mungkin Chong Wei sudah mampu memiliki sebuah, walaupun tidak sebesar kapal terbang Federer.

Walaupun begitu, badminton di mata dunia belum dianggap sebagai sukan gadang, seperti tenis, golf, bola sepak malah kriket.

Jarang sekali hadiah untuk seorang juara dalam pertandingan besar badminton melebihi AS$50,000 (Chong Wei mendapat wang tajaan atau promosi barangan berganda-ganda lagi), sedangkan juara golf besar (dipanggil ‘major’), seperti Wimbledon, England; Terbuka AS; Terbuka Perancis dan Terbuka Australia menawarkan wang hadiah 2.5 juta dolar AS (lebih kurang RM11 juta) untuk juara. Naib juara pun mendapat lebih sejuta dolar, sedangkan mereka yang menduduki 10 ke atas mendapat ratusan ribu dolar juga.

Segala ini disebutkan selaras dengan maksud berusaha mendapat pendapatan yang sebaik mungkin melalui asahan bakat, latihan gigih, dedikasi dan disiplin. Belajar dan berusaha untuk mengejar gaji dan pendapatan besar adalah sejajar dengan mengejar kejayaan dalam sukan yang disebutkan ini.  

Hakikat ini membawa saya ke episod ini. Seorang jiran saya bersama keluarganya di Kota Damansara dekat Kuala Lumpur sudah pun berpindah ke Orlando, Florida, AS, menemani anak lelakinya yang berusia 14 tahun untuk melalui latihan intensif demi menjadi pemain golf profesional.

Anaknya itu sudah mempunyai ciri-ciri untuk mencapai kejayaan. Badannya tinggi 6 kaki (1.83m) dan tahapnya ialah ‘scratch’, tanpa ‘handicap’. Susah hendak diperikan ertinya tetapi memadai jika dikatakan amat jarang sekali terdapat pemain di tahap ini di mana-mana kelab golf di Malaysia. Jika ada pun, ia hanya seorang dua saja, apalagi dalam usia begitu muda.

Dalam golf, lagi kurang hitungan memukul bola ke dalam 18 lubang (padang penuh), lagi baik. Ini memerlukan pukulan yang jauh lurus dan ketepatan menolak bola ke dalam lubang. Mungkin pada suatu hari nanti dia dapat mempamerkan permainannya yang ditonton oleh ratusan juta orang di seluruh dunia, selama lima jam sekali main. Maka tidak dapat tidak nama Malaysia disebut berulang kali, harum dan membanggakan.

Selepas menyebut segala itu, kita tidak lupa bahawa anak muda 14 tahun ini amat bernasib baik. Bapanya sudah mengumpul wang yang sepadannya. Beliau meningkat tinggi dalam korporat, sudah menerima wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di samping wang simpanan dan pulangan pelaburan. Dengan keteguhan begitu, mereka sanggup menjual banglonya di seberang jalan rumah saya dengan harga berjuta. Mereka tentunya sudah bersiap dengan perumahan alternatif apabila  pulang dari Florida nanti selepas kerjaya golf anaknya sudah kukuh.

Ini sebenarnya bukan luar biasa atau unik, tetapi ia boleh disifatkan begitu bagi seorang Melayu atau orang Malaysia.

Pemain tenis cantik dari Rusia, Maria Sharapova, telah dibawa oleh bapanya dari Siberia, Rusia, ke Florida dalam usia 10 tahun untuk belajar bermain tenis. Kini, 20 tahun kemudian, dia memenangi beberapa kali kejuaraan besar, dijadikan penaja banyak bahan dan barangan. Jadilah dia ahli sukan wanita yang paling kaya dalam dunia, dengan nilai kira-kira AS$400 juta.

Dari Bulgaria, Gregory Dimitrov, yang baru menjuarai pusingan akhir di London dalam kalangan lapan pemain terbaik tenis dunia, juga belajar bermain tenis di Florida sejak kecil. Dari Jepun pula, Kei Nishikori, yang dibawa ke AS oleh bapanya ketika berusia 13 tahun, pernah duduk di tangga lima ke atas hingga akhir-akhir ini.  

Banyak lagi contoh yang tidak disebutkan. Bagi anak Malaysia yang mampu dan cekak, ayuhlah mengejar juara dunia sedemikian, bukan setakat juara kampung.