DATUK Seri Anwar Ibrahim dikatakan akan keluar daripada tahanan pada satu tarikh di pertengahan Jun nanti. Ini bererti lebih kurang sebulan setelah PRU14 diadakan dan selepas sebuah kerajaan baharu ditubuhkan, baik BN mahupun Pakatan Harapan (Harapan).

Sejak mula-mula kata sepakat diikat, Harapan telah bersetuju Anwar akan menjadi perdana menteri dua tahun selepas PRU14, tentunya kalau Harapan menang dan menubuhkan kerajaan. Sebelum sampai dua tahun itu, Tun Dr Mahathir akan menjadi PM.

Tun Dr M akan menjadi PM interim, sedangkan isteri Anwar, DS Wan Azizah, menjadi TPM. Ini adalah hakikat yang semua orang sudah tahu. Pemerian ini ialah bermaksud ‘sudah terang lagi bersuluh’.

Anwar dirasakan hadir di pentas Harapan di mana-mana saja, dari Johor hingga ke Kelantan, apabila Harapan mengadakan rapat raksasa yang dihadiri, umpamanya, lebih 40,000 di Kuantan.

Saya pernah menjadi MP Kuantan tetapi angka kehadiran begitu hanya wujud dalam mimpi. Tentunya ia berlaku atas faktor nyata Dr Mahathir, tetapi yang menjadi faktor ghaib ialah Anwar. Harapan sengaja memasukkan potret Anwar di latar pentas bersama-sama dengan tokoh-tokoh Harapan lain untuk mengingatkan bahawa Anwar, walaupun sedang berehat di kem tahanan Sungai Buloh, namun semangat beliau tetap berada bersama mereka.

Ini adalah selaras dengan pemahaman bahawa lambat laun, jika ramalan menjadi kenyataan, mantan TPM itu akan akhirnya menjadi PM dengan izin ALLAH SWT. Saya geli hati mengingatkan bahawa dalam satu kempen PRU kecil di Selangor beberapa tahun dulu, Anwar telah acah-acah menggetus nama Altantuya terhadap DS Najib. Bagi menjawabnya, Najib melontar balik dengan kata-kata yang berbunyi lebih kurang begini: ‘Banyak rahsia Anwar yang boleh saya pecah…’ Wallahuaklam.

Malangnya, Najib masih diganggu terus menerus oleh itu-ini Altantuya. Tidak kurang juga pelarian seorang koperal polis ke Australia yang didapati bersalah atas pembunuhan Altantuya itu. Apabila terasa sudah selamat dan pulang ke Malaysia dari England, Razak Baginda – sebuah nama penting dalam kes Altantuya – pula menjadi buah percakapan meluas dalam kalangan mereka yang tahu dan kenal beliau khususnya, dan penghuni Lembah Klang umumnya.

Tentunya tidak menguntungkan Razak langsung apabila beliau dikatakan berkata bahawa pembunuhan Altantuya (yang beliau pernah dituduh dalam konspirasi pembunuhan itu) berupa satu pembunuhan ‘yang tiada motif’. Bagi pelajar undang-undang, pada umumnya pembunuhan pasti mempunyai motif atau ‘nawaitu’ (pengertian paling rapat).

Dalam pengertian ini, orang yang melakukan pembunuhan mungkin tiada motif atau nawaitu tetapi hanya semata-mata bertujuan membunuh. Motif atau nawaitu pembunuhan itu mungkin ada pada orang yang menyuruhnya membunuh, sama ada dendam, marah, membalas bela, mengembalikan maruah dan lain-lain lagi. Segalanya ini tidak dapat tidak terdapat dalam subjek jenayah dalam kelas undang-undang.

Kes Altantuya meskipun sudah diputuskan oleh mahkamah, ia bukan mustahil ditimbulkan semula oleh kerajaan Harapan, jika menang PRU14, memandangkan koperal itu menjadi ‘duri dalam daging’ antara Malaysia dan Australia. Wajarlah perselisihan ini diselesaikan. Dan penyelesaian itu tidak mungkin tercapai jika kes itu tidak ‘dilawati’ semula oleh mahkamah. Inilah yang amat mendebarkan semua pihak yang terlibat. Tidak perlu diulang 1MDB yang sudah selalu diulang-ulang.

Dalam persaingan PRU14 kini, keadaan pihak-pihak yang bersaing adalah ibarat ‘abu di atas tunggul’ atau ‘telur di hujung tanduk’, tidak menentu kedudukannya. BN yang di bawah Najib tidak boleh membayangkan bagaimana hilangnya sebuah kerajaan yang berkuasa sejak Malaya mendapat taraf pemerintahan sendiri pada tahun 1955; seterusnya kerajaan penuh setelah merdeka pada 1957.

Disebabkan tidak pernah berlaku perubahan tampuk kerajaan pusat, ia sangat asing dan menakutkan jika berlaku. Ini dirasai sangat oleh pendukung kerajaan kini. Untuk itu, perlu diingatkan bahawa Parti Kongres India yang memerintah India sejak merdeka 1948 telah jatuh pada awal 1970-an, kemudian naik balik hingga sekarang.

Begitu juga Parti SDP Jepun yang memerintah Jepun selepas kalah Perang Dunia Kedua; mengalami nasib sekali kalah, sekali menang. Itulah amalan demokrasi dengan segala tuntutan buruk baiknya. Di AS, parti Demokrat dan Republikan bergilir-gilir meneraju kerajaan. Begitu juga parti Buruh dan Konservatif di Britain, pemerintah kolonialis kita dulu.

Yang penting ialah kedudukan kerajaan di sisi rakyat. Untuk itu, mendapat keyakinan rakyat adalah soal teratas. Soalnya, siapakah yang rakyat yakin? Najib atau Dr Mahathir? Di belakang mereka, kehadiran Anwar di mana-mana adalah faktor yang tidak boleh dipandang ringan.

*Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet