TAJUK di atas ialah variasi From Russia With Love, filem kedua dalam siri James Bond yang dibuat dalam tahun 1963, lakonan Sean Connery selaku pendukung watak James Bond asal. Berlainan dengan kisah cinta itu, tulisan ini bertumpu kepada perihal permainan bola (tidak perlu disebut ‘bola sepak’), sukan paling popular seantero dunia. Piala Dunia akan diadakan di Rusia pada 2018. Fifa sebagai badan induk yang menaungi ‘permainan cantik’ ini boleh dikatakan lebih besar daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memandangkan ia mempunyai keanggotaan sebanyak 211 buah negara sedangkan PBB hanya ada 193.

Anehnya, dunia ini hanya ada 197 buah negara dan negeri. UK atau Britain hanya satu di PBB, namun bagi Fifa ada empat: England, Scotland, Wales dan Ireland. Terdapat juga beberapa tempat dipanggil principality dan duchy dalam bahasa Inggeris, malah pulau-pulau tertentu yang tidak mendapat tempat di PBB tetapi bersaing dalam pertandingan-pertandingan anjuran Fifa, seperti Kepulauan Faroe di bawah kedaulatan Denmark.  

Walau begitu meluas bola dimainkan, di AS permainan ini tidak sepopular footballnya, bola keranjang dan besbol, malah hoki ais. Ketika Presiden AS George W Bush menjadi tamu utama Piala Dunia 2002, beliau ditanyai tentang acara agung itu yang diikuti berbilion manusia di dunia. “Semasa saya membesar di Texas, saya tak pernah mendengar tentang football ini. Yang saya tahu ialah football yang satu lagi, American football. Saya minat bermain besbol, kadang-kadang basketball,” kata Bush. “Rupa-rupanya, tengoklah di sini, begitu hebat!”

Namun begitu, selepas AS menganjurkan Piala Dunia 1994, bola di sana kian diminati.

Kini politik bola amat mengancam. Sepp Blatter yang pernah menjadi pegawai dan Presiden Fifa sangat popular, tiba-tiba jatuh merudum selepas tidak berapa lama dipilih untuk sekian kali. Presiden Fifa ialah jawatan paling unggul. Beliau lebih dikenali dan ditumpu dunia. Di mana-mana saja dia berkunjung, semua tahu siapa dia. Di ceruk Afrika, di sut Asia dan Pasifik, di Jalan Sutera antara Mongolia dan Azerbaijan, malah di perantauan tersisih Amerika Selatan dan Alaska, namanya memuncak.  

Di Malaysia sejak beberapa tahun lepas, gelora bola di atas dan di luar pandang adalah sangat panas. Ada pegawai yang disingkir dan digantikan; serta pelbagai hal lagi. Ini belum dikira kalangan jurulatih dan pemain yang mengalami pelbagai musibah, termasuk rasuah dan perbuatan menetapkan keputusan pertandingan demi judi pertaruhan. Bahang persaingan antara beberapa orang untuk merebut jawatan Presiden FAM berakhir dengan pemilihan Tunku Mahkota Johor (TMJ). Prestasi baginda memimpin pasukannya di Johor berupa rekomendasi teguh untuk pencapaian ke situ.

Tidak perlu diulangi kegemilangan telah tercipta apabila kita layak ke Olimpik 1972 dan 1980, dan memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Jakarta 1962 dan Sukan Asia Teheran 1974. Demi semangat sukan, elok disebutkan bahawa sejak awal 1950-an, keagungan Awang Bakar cepat tercicir kerana gara-gara ‘bola wang’, macam sekarang juga. Rahim Omar pun sama-sama hebat, kekal lama, dan sempat bermain untuk Malaysia dalam Pestabola Merdeka 1963 dan 1964. Berlapik dengan Rahim ialah Ghani Minhat dengan julukan Raja Bola. Gah beliau terpancar dalam Sukan Sea, Sukan Asia, Piala Malaya dan Pestabola Merdeka, sejak 1956 hingga 1967.

Dalam semuanya, Mokhtar Dahari terbukti penyerang terbaik dalam sejarah bola Malaysia. Arsenal kalah dengan Malaysia pada 1975 akibat dibolosi Mokhtar. England ‘B’ hanya berpuas hati seri 1-1 dengan Malaysia pada 1978 kerana rembatan Mokhtar. Nasib baik, kata akhbar-akhbar di London, tendangan kencang Mokhtar terkena palang gol. Jika tidak, England pasti kalah. Kata jurulatih Korea pula apabila Malaysia menewaskan Korea Selatan: “Hanya Mokhtar yang membezakan Korea dengan Malaysia.”

Benar, kita hanya boleh mengirim salam mesra ke Rusia untuk pemain-pemain cemerlang dunia; Neymar, Ronaldo, Ibrahimovic, Suarez, Messi dan beberapa orang lagi. Belum masanya untuk Malaysia sampai ke situ. Beberapa malam lepas saya melihat Thailand kalah teruk kepada Jepun, kekal corot di kalangan tujuh pasukan dalam kumpulannya. Oleh kerana Malaysia nampaknya tidak sebaik Thailand, maka tilikan kita pada air dalam geluk memberi makna bahawa nasib kita ialah antara sifar dengan nol.

Semoga dengan kaliber besar TMJ, Malaysia akan bersama-sama mengatur barisan dalam Piala Dunia 2030, selewat-lewatnya.