DUA ribu tahun dulu ketika diketahui Nabi Isa AS (Jesus) menghadapi malapetaka, sahabat Baginda Petra (atau Peter) bertanya Baginda: "Quo vadis?" yang bererti "Ke mana?".

Pertanyaan ini menjadi satu ungkapan penting di sisi penganut Kristian terutama dalam menghadapi keadaan yang entah berentah, sama ada akan diturunkan keburukan atau dianugerahkan keuntungan daripada Tuhan.

Justeru sebuah filem besar Quo Vadis telah diterbitkan oleh Hollywood pada tahun 1951. Tajuk ruangan ini menggantikan Quo Vadis dengan ‘Ke mana Gerangan’ yang bersisipkan pengertian nasib buruk-baik yang menanti parti-parti politik yang relevan.

Umno benar-benar tergugat oleh budaya dalaman yang sudah lama rosak ketika menjadi kerajaan. Ia terus bersambungan hingga sekarang. Mental budaya kerajaan yang boleh meminta wang daripada parti yang menjadi teras kerajaan di peringkat pusat dan negeri terus kekal dan tidak berkurangan.

Kepimpinan Umno pula goyah. Antaranya ialah proses pahit berlarutan yang ditangani Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di tangan SPRM, selain dari apa yang diharungi bekas Presiden Umno DS Najib.

Kedua-duanya pernah berkata, jika ini kos yang harus dibayar selepas berkhidmat begitu lama kepada rakyat dan negara, relalah saja. Demikianlah risiko dalam politik.

Tahun 2018 belum lagi berakhir tetapi pemimpin seperti Tun Dr Mahathir dan ramai pihak lain tidak lupa bagaimana parti baharu beliau, Bersatu, tidak disahkan untuk bertanding PRU14; kemudahan beliau sebagai mantan PM ditarik balik; beliau disoal-siasat atas syak dan wasangka.

Beliau hendak dimusnahkan melalui Suruhanjaya Penyiasat Penyangakan Matawang di Bank Negara yang berlaku pada awal 1990-an, tetapi jerat memakan tuan. Saksi utama Tan Sri Nor Mohamed Yakcop terkorban dan terpaksa ternyah dari jawatan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad. Beliaulah pegawai Bank Negara yang mengendalikan penyangakan itu.

Bukan itu saja, bekas KSN Tan Sri Sidek Hassan yang dijadikan pengerusi Suruhanjaya itu sama-sama terpalit seolah-olah reputasi beliau mendaki ke puncak perkhidmatan awam tiba-tiba menjadi abu. Beliau dikatakan angguk-akur kepada bekas PM Najib.

Kini selepas berlalunya segala itu, tindakan pembetulan oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir sedang dilakukan. Pihak-pihak yang kena tindakan itu pasti merujuk kepada tidak betulnya dari segi agama membalas dendam. Yang patut dilakukan ialah membuat sesuatu yang baik, membetulkan di mana salah dan meneruskan langkah-langkah kerajaan dulu membuat pembangunan demi rakyat jelata.

Memang kemurniaan itu sepatutnya berlaku, tetapi hakikat yang berlaku dalam kehidupan manusia tidak begitu sepanjang zaman. Dunia kini yang hancur dalam Perang Dunia Kedua dibangunkan semula dan menempa kemajuan berlipat ganda. Ia berlaku melalui tindakan membicara dan menghukum mereka yang bersalah sehingga berpuluh juta nyawa terkorban.

Jika ramai pesalah diampunkan begitu saja, pastinya dunia naik mua dan mereka yang bermental perosak akan terus bermaharajalela. Di Arabia pula, kini dipanggil Saudi Arabia sejak 1932, perubahan besar-besaran akan berlaku setelah Putera Mahkotanya disyaki membunuh Khashoggi, rakyatnya yang menjadi wartawan Washington Post di AS yang disayangi.

Tegasnya, kesalahan harus diimbangi oleh tindakan keadilan menurut undang-undang.

Berbalik kepada politik di sini, menurut sumber-sumber yang sahih, sudah berlaku dialog antara kepimpinan Umno dan Bersatu. Terdapat dua formula. Satu, semua pemimpin dan ahli Umno harus menyertai Bersatu.

Kedua, Umno dan Bersatu harus wujud bersama dalam satu pakatan, saling sokong-menyokong, dan berkongsi dalam penggunaan aset atau harta. Masa depan akan menentukan perubahan atau penyerapan antara kedua-duanya. Namun begitu, mana satu daripada dua formula itu belum disetujui.    

Hakikatnya, Bersatu ialah parti terkecil dalam Pakatan Harapan menurut jumlah Ahli Parlimen, sedangkan Umno adalah satu-satunya parti yang mempunyai Ahli Parlimen paling ramai.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet