‘KATAK di bawah tempurung’ ialah perumpamaan yang tidak perlu diolah. Semua orang faham. Orang bebal lagi bebal. Sempit lagi sempit. Tidak tahu lebih jauh daripada hujung hidungnya. Sebaliknya, mereka yang di luar tempurung mempunyai pengetahuan yang luas, baik akhirat mahupun duniawi.

Malaysia ialah sebuah negara kecil berdasarkan saiz dan jumlah penduduk. Penduduk kita hanya 13 peratus daripada penduduk Indonesia; 10 peratus daripada AS; 50 peratus daripada UK; 2.2 peratus daripada negara China dan 2.5 peratus daripada India.

Pada keseluruhannya, rakyat kita tidak sampai setengah peratus daripada jumlah penduduk dunia. Oleh itu kita sangat-sangat perlu mengetahui seluasnya apa yang berlaku dalam dunia, dari sut timur hingga ke sut barat.

Untuk itu, pembacaan, penontonan TV dan pendengaran radio yang luas diperlukan. Apabila kita tidak dapat akses ke semua itu, maka tersempit dan terbataslah pengetahuan kita ke atas apa yang sebenar berlaku dalam dunia luas. Maka jadilah kita ala katak di bawah tempurung.

Disebabkan kita dijajah British, maka kita lebih memahami bahasa Inggeris selain daripada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa penjajah ini kebetulan menjadi bahasa utama dunia, maka sepadannyalah ia mempunyai banyak akhbar, majalah, buku, TV dan radio yang dianggap berintegriti tinggi dan dipercayai.

Antaranya ialah akhbar The London Times, New York Times, Wall Street Journal dan majalah Economist, serta TV CNN, BBC dan NBC, disebutkan beberapa saja. Ketika menuntut di UK dan AS, pelajar-pelajar kita tidak dapat tidak merujuk kepada media itu dalam kelas-kelas mereka tidak kira subjek ekonomi, politik, guaman, sosiologi malah pelbagai cabang sains.

Dari laporan-laporan media begitulah kita dapat tahu sudut-sudut dan proses mengapa Jabatan Keadilan AS yang diketuai Peguam Negaranya bertindak terhadap 1MDB serta cekupan kapal mewah Equanimity kepunyaan Jho Low di Bali oleh pemerintah Indonesia bagi pihak AS. Laporan media tentang Jho Low dan Rizal Aziz memiliki karya-karya seni dan hartanah yang amat mahal di kota New York dan Hollywood, juga filem-filem Hollywood kos tinggi dan kutipan box-office yang sangat menguntungkan.

Akhir-akhir ini, dengan menjengah di sebalik tempurung, Tan Sri Rafidah Aziz, mantan menteri MITI yang paling lama, telah mendedahkan 40,000 hektar (100,000 ekar) tanah tentera telah dipindahkan kepada tiga individu. Desas-desus – entah benar atau palsu – mengatakan seorang daripada tiga itu ialah wanita yang kini memiliki sebuah jet peribadi. Wallahuaklam.    

Menghadapi PRU14 9 Mei nanti, pertentangan antara pihak ‘incumbent’ atau pemegang kuasa dengan penentang amat lantang sekali. Di satu pihak, ganjaran-ganjaran menggiurkan dijanjikan. Di pihak lain, Tun Dr Mahathir tidak silu-silu mempersoalkan pembunuhan ngeri Altantuya ekoran masalah agihan komisen atas pembelian kapal selam yang melibatkan Razak Baginda yang kini sudah pulang ke Malaysia dari England.  

Di luar ‘tempurung’ kita, terdapat kemungkinan Perang Dunia Ke-3 meletup. Dengan campur aduk laporan palsu dengan yang benar, sekali kata begini sekali kata begitu, Trump mungkin memulakan Perang Dunia Ketiga atas ihsan Rusia dan negara China. Ini kerana  Rusia bertegas akan menembak kapal terbang AS jika ia mengebom pihak Assad.

Rusia juga akan mengebom tempat yang dikatakan kena bom kimia untuk mendapat tahu siapa yang sebenar menggugurkan bom kimia itu. AS, UK dan grup Barat benci akan Syria kerana Syria tegas anti Israel. Turki dan Iran akan menyertai Rusia. China yang terasa AS dan Barat sengaja hendak menggagalkan projek Laluan Suteranya (Road and Belt) mungkin menyertai Rusia atas kepentingan bersama.    

Pada tahun 1945, jika dua bom atom yang kekuatannya kurang satu persen daripada bom atom sekarang boleh membunuh 350,000 orang di Jepun, bayangkan Rusia dengan 7,000 biji dan AS dengan 6,500 biji. Semua kota besar Eropah dan AS akan jadi padang jarak padang tekukur. Boleh jadi itulah cara Trump menyelesaikan masalah letusan penduduk dunia: 250 juta akan menjadi abu!

Sebelum menghadapi masalah luar tempurung, kita harus bijak menggunakan pengetahuan di luar tempurung itu untuk menyelesaikan masalah bawah tempurung kita. Rabu 9 Mei  nanti membuka peluang luas untuk kita berbuat begitu.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet