TIMBUL rasa seriau yang amat sangat apabila mengetahui seseorang yang sudah beru-sia 80 tahun dituduh melakukan penghinaan terhadap Islam.

Begitulah yang berlaku kepada Kassim Ahmad. Selepas melalui kepahitan proses keadilan sivil dan agama, beliau dibebaskan oleh mahkamah tertinggi negara pada minggu lepas.

Tegasnya, beliau tidak menghina Islam. Walaupun berita baik itu agak terpinggir, ia sangat berdenting.

Kassim dikatakan menghina Islam di suatu tempat beberapa tahun dulu. Pihak yang melaporkan secara logik tidak setuju, marah atau benci kepadanya.

Jika tidak mana mungkin tuduhan yang begitu berat boleh wujud. Arwah Ishak Haji Mu-hammad atau Pak Sako pernah memberitahu saya, beliau kena tahan beberapa kali kerana perbua-tan ‘orang kita’ yang rapat tetapi tidak diketahui siapa.

"Bukan perbuatan Inggeris," katanya. "Inggeris tak kisah."

Oleh kerana segala itu sudah berlalu, maka memperkatakan siapa Kassim Ahmad adalah lebih bererti. Bukan pokok, tetapi tokoh. Kassim datang kepada kehidupan saya dalam tahun-tahun 1950-an.

Ketika itu beliau menuntut di Universiti Malaya di Singapura, dan saya seorang murid menengah di Sultan Abu Bakar School, Kuantan. Sejak itu sehingga beliau lulus ijazah sarjana MA, beliau diberi perhatian sebagai seorang intelek Melayu.

Pada waktu pendidikan mene-ngah dalam bahasa Melayu mula menumpang di sekolah  Inggeris, dan 90 peratus orang Melayu hanya belajar tidak lebih dari darjah enam, beliau sudah mendapat MA.

Pada tahun 1962, beliau diambil bertugas sebagai seorang pensyarah di Universiti London, mengikuti jejak Zaaba. Sejak itu sehingga 1966, apabila beliau pulang ke tanah air, suasana keintelektualan Melayu agak lengang.

Beliau bagaimanapun tidak menyertai arus perdana seperti awal-awal lagi ketika beliau baru lulus sarjana muda.  

Ekoran daripada pendiriannya, beliau distereotaipkan sebagai orang kiri (leftist). Malaya dan kemudiannya Malaysia yang baru saja terlepas dari penjajahan British belum matang dengan ciri-ciri demokrasi.

Kebebasan bertindak, bersikap dan menge-luarkan pendapat dibatasi oleh ragu dan bimbang, justeru disendal dengan pelbagai langkah, termasuk langkah pencegahan.

Oleh itu bukanlah mengejutkan apabila Kassim berupa salah seorang yang tersendal dalam kehidupannya. Namun begitu, intelektualismenya terus berkembang.

Walaupun beliau pernah mengajar di sekolah tertentu sebagai guru tempelan, umpamanya, berbanding dengan rakan-rakan di Universiti Malaya dulu yang sudah menjadi pegawai kanan dan tinggi atau profesor di universiti, beliau mendapat kepuasan dalam aktiviti menulis dan politik.

Ketika media tidak menyiarkan tulisannya, beliau memilih menulis buku. Antara bukunya yang menimbulkan kon-troversi ialah penilaiannya terhadap Hadis.

Buku ini, menurut pengha-yatan ramai, bukan menidakkan Hadis. Kassim mengetahui isu Hadis telah menjadikan orang berpihak-pihak.

Maka, Kassim mencuba mewajarkannya. Betul atau salah, beliau berpendapat agar ketulenan Hadis dirujukkan kepada Quran adalah sesuatu yang didebatkan.

Seterusnya, demi keserasiannya dengan PM Dr Mahathir Mohamed, Kassim pun menjadi ahli Umno. Bagaimanapun, pemikirannya yang liberal diteruskannya melalui uca-pan dan tulisan.

Akibatnya, dari ceruk dan sut terdengar suara-suara tidak setuju dengan Kassim sebagai individu dan ahli Umno.

Dalam hal menghina Islam, kewajaran berikut memerikan secara tersendiri. Sebagai pelaras dan penyunting Hikayat Hang Tuah, sebuah karya agung pilihan Dewan Bahasa dan Pustaka, beliau mengatakan amuk Hang Jebat yang membunuh dan mencederakan beribu-ribu orang bukanlah perbua-tan munasabah walaupun ia diaki-batkan oleh kezaliman Raja. Kassim berpendapat memang sukar dihurai-kan kejadian itu secara logik.

Namun demikian, kata Kassim, "kita tidak harus lupa bahawa Tuhan itu Maha Adil."

Lalu Kassim perturunkan maksud ayat-ayat suci ini: "Berwaspa-dalah kalau-kalau sesuatu balasan datang dan menimpa bukan saja mereka yang jahat khususnya, dan ketahuilah bahawa Tuhan itu paling keras mengenakan hukuman." (al-Quran, 8:25)   

Tuhan hanya menghukum mereka yang salah: "Demikianlah Kami mendera mereka kerana mereka ingkar; adakah Kami mendera selain daripada mereka yang ingkar?" (al-Quran, 34:17)

Justeru, sukar bagi sesiapa yang wajar boleh mengatakan Kassim menghina Islam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DALAM seminggu yang lalu, kita telah melalui dua perkembangan yang menyayat hati dan mendebarkan. Pertama, pengumuman Presiden Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis (Jerusalem) sebagai ibu kota Israel.
  • WHATSAPP, Facebook, Instagram dan Twitter adalah antara media sosial yang paling popular. Ciri-cirinya yang utama ialah ramai orang boleh berkomunikasi dan ramai pula yang boleh menjawab pada satu masa. Ia berbeza dari ‘media industrial’, iaitu akhbar dan majalah berkertas; radio dan TV.
  • MACBETH ialah drama pentas karya William Shakespeare paling menarik. Justeru, ia salah sebuah drama kerap dipentaskan di seluruh dunia.
  • DI negara-negara maju, sukan adalah sesuatu yang penting biarpun di peringkat pemimpin negara dan kerajaan. Sesiapa yang menawarkan diri untuk dipilih dalam pilihan raya, prestasinya dalam mana-mana sukan di sekolah, maktab dan universiti diambil kira.
  • RAJA Arab Saudi dikenali juga sebagai penjaga Tanah Suci Makkah dan Madinah. Pada tahun 1979, satu kumpulan Muslim Saudi telah merampas Masjid Haram di Makkah kerana tidak bersetuju dengan pemerintahan Raja Arab Saudi. Antara sebab yang dikemukakan ialah kelemahan Arab Saudi tidak melaksanakan pemerintahan dan amalan Islam yang sewajarnya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.