MENGIKUTI kempen dan debat dalam persaingan untuk menjadi presiden AS antara Donald Trump dan Hillary Clinton meyakinkan saya bahawa segala kesilapan kecil dan besar, lama dan baharu, menjadi perhitungan. Hakikat ini bukan baharu. Ada presiden dan naib presiden terlucut jawatan. Pada tahun 1972, seorang calon presiden, Senator Eagleton, terencat dan terhapus peluangnya apabila rahsia beliau mendapat nasihat seorang pakar psikologi terdedah.

Demikianlah ketatnya tuntutan ke atas mereka yang berhasrat untuk memimpin rakyat dan negara. Sebaliknya apa yang berlaku di Malaysia amat jauh sekali perbezaannya. Bukan saja banyak kesilapan dibiarkan saja, atau ditimbus di bawah alasan-alasan yang tidak meyakinkan. Berlaku juga diskriminasi dalam layanan terhadap pihak-pihak yang bersalah. Bila berlaku kesilapan, ahli-ahli politik dikenakan tindakan perit dan hodoh. Ada yang dibuang jawatan tinggi atau rendah. Ada yang tidak dibenarkan bertanding lagi, kalau mereka menjadi wakil rakyat.

Membandingkan ini dengan apa yang berlaku dalam badan-badan korporat rakyat, kita dapati banyak eksekutif bukan saja terlepas daripada hukuman apabila membuat silap, malah mendapat kenaikan pangkat dan penambahan gaji. Di mana perdana menteri (PM) yang juga Menteri Kewangan menjadi pengerusi, maka mereka sentiasa berada di bawah dagu PM, pemegang kuasa terbesar. Tidak siapa yang berani untuk bersikap kritis terhadap mereka, atau menegur.

Tidak ramai ahli politik, kiranya ada, yang melalui nasib baik seperti seorang penjawat tinggi dalam Khazanah Nasional Berhad. Dunia tahu bahawa beliau melakukan rogue trading (menyangak wang) di Bank Negara suatu ketika dulu. Jika beliau seorang ahli politik, pastinya kerjaya politiknya ranap dan hancur; namun beliau dijadikan penasihat dan diberikan gelaran tinggi. Selepas itu beliau dinaikkan pangkat sebagai seorang ketua pengarah, sebelum dijadikan senator dan diberikan jawatan menteri. Khabarnya, beliau bernasib begitu baik kerana ada ahli politik besar yang menebus kesilapan diri. Keadaan sekeliling kini menjadikan beliau sangat berkuasa. Betapa tidak. Aset kewangan di bawahnya lebih besar daripada yang ada dalam Perbendaharaan Malaysia.  

Seorang hakim kanan yang masih bertugas menyatakan bahawa beliau pernah dipinjamkan ke Kementerian Kewangan untuk mengendalikan masalah penyangakan itu. Jumlah yang terlibat ialah RM22 bilion. Sebagai seorang ahli politik yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan, saya terasa ada sesuatu yang tidak betul dalam perkara layanan antara mereka yang dipilih oleh rakyat dengan mereka yang dilantik oleh ahli politik sendiri.

Beberapa bulan lepas, seorang lagi eksekutif tinggi Khazanah membuat pengumuman tentang prestasi Khazanah. Jumlah puluhan bilion ringgit disebut-sebut memasuki saku Khazanah. Memang betul. Tetapi segala itu dimungkinkan oleh layanan baik oleh pemimpin politik yang memayunginya. Kiranya beliau disingkirkan setelah kerugian RM20 bilion dalam pelaburan Khazanah pada tahun 2008, maka beliau tentunya ternafi daripada membuat pengumuman itu.  

Kini Pos Malaysia (PM) sudah lama dijual kepada DRB. Khazanah Nasional Berhad yang menaungi Pos Malaysia sejak 2006, setelah dipindahkan daripada Kementerian Kewangan, telah melakukan penjualan itu dengan harga lebih sedikit RM500 juta. Apa yang tidak terlepas daripada rekod hitam ialah adanya 40 juta saham firma Transmile milik Pos Malaysia yang sudah lumpuh dan tidak boleh diurusniagakan. Saham-saham itu dibeli dengan harga lebih kurang RM250 juta. Ia hendak dijualkan dengan harga lebih kurang RM560 juta pada tahun 2007; sudah ada pembelinya. Bakal keuntungan besar lebih RM300 juta. Namun jualan itu ditahan. Ia satu misteri besar sampai sekarang.   

Dalam demokrasi yang matang di mana-mana, membuat sesuatu yang betul ialah tuntutan biasa terhadap mereka yang bertanggungjawab. Apabila kesilapan dibuat, baik berbentuk kewangan atau salah guna kuasa, mereka mestilah dihukum, demi maruah rakyat. Institusi-institusi perundangan (Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan-Dewan Undangan Negeri) mesti meneliti rapi, berterusan terhadap apa yang terjadi kepada wang rakyat yang ditangani badan-badan korporat. Rakyat mesti diberitahu. Tidak ada kesilapan – lama atau baharu, besar atau kecil – yang boleh terlepas daripada jaring keadilan. PM seorang diri tentu tidak berdaya melakukannya!