‘YAKJUJ-MAKJUJ’  menurut Kamus Dewan bererti  ‘dua suku bangsa yang dipercayai akan membinasakan dunia apabila hampir kiamat’. Untuk maksud ruangan ini, saya suka mengambil pengertian yang biasa saya dengar sejak kecil-kecil lagi.

Sebutannya lebih rIngkas:  Juj Makjuj. Kita tahu erti tradisi spontan kampung lebih kurang ‘sesuatu yang amat hodoh sebagai tanda dunia akan kiamat’.

Semasa kecil  ketika mengaji Quran, pengertian itu kerap terdengar diulang-ulang. Tidaklah diketahui dengan pasti ayat manakah yang mengandungi pengertian begitu.

Disebabkan saya tinggal di kejiranan tepi pantai, maka timbul ungkapan gurau-gurau yang berbunyi ‘Juj-Makjuj jalan tepi pantai, jumpa kulat busuk buat sentil tembakau’. Sebenarnya, ‘kulat’ itu mengganti perkataan mencarut di anatomi manusia.

Bagaimanapun di sepanjang hidup saya tidak pernah saya berpeluang mendengar atau membaca secara khusus tentang apa itu kehodohan yang dimaksudkan. Yang nyata ulasan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak, dalam bahasa Melayu dan Inggeris, ialah kehodohan  itu boleh berbentuk individu atau sesuatu peristiwa yang sangat-sangat hodoh.

Kelangsungan daripada itu, dari satu masa ke satu masa, dikatakan ada seseorang pemimpin sesebuah negara dijelmakan Tuhan sebagai Juj-Makjuj, suka berperang, membunuh beribu-ribu orang yang tidak berdosa, terutama orang Islam.

Maka dalam tahun-tahun 1970-an Juj-Makjuj itu dikatakan Mosye Dayan, ketua Yahudi Israel, yang kebetulan sesuai dengan penyifatan Juj-Makjuj sebagai lembaga yang bermata satu.

Dayan ialah bekas askar yang buta sebelah ditutupi penutup hitam, bak watak-watak dalam filem Pirates of the Caribbean. Kehodohan itu sering diselang-selikan dengan kezaliman yang amat sangat. Si jahat atau si budak terlalu nakal dipanggil ‘jahat macam Firaun’.

Kini kita tahu bahawa Firaun ialah dinasti dan bukan manusia tertentu. Jumlahnya banyak. Mereka hidup dalam jangka dua ribu tahun di bumi Mesir hingga ke Cleopatra, sebagai Firaun wanita yang terakhir sebelum menjelang zaman Masihi, kira-kira 2100 tahun dulu.

Dipercayai Firaun yang  amat zalim itu ialah Ramses. Beliaulah yang menzalimi dan mengejar keluar Nabi Musa AS dengan bani Israel yang dipimpinnya. Dengan kekayaan Tuhan, baginda berjaya membelah Laut Merah dengan tongkat hikmatnya yang dimakbul Tuhan, terselamat ke Semenanjung Sinai, kira-kira 3,500 tahun dulu.

Walaupun banyak bahan bacaan wujud yang menceritakan kisah hebat ini, namun yang paling jelas ialah adegan-adegan relevan dalam filem The Ten Commandments terbitan Hollywood oleh Cecil B. De Mille pada tahun 1956. Kiranya filem itu terdapat kekurangan, pada keseluruhannya ia memberikan fahaman kasar terhadap cabaran yang tidak terhingga dialami oleh seorang Nabi besar kita.

Kini Moshe Dayan sudah jadi arwah, sedangkan Benjamin Netanyahu sedang aktif menjadi Perdana Menteri Israel. Seorang yang digelar ‘hawk’ atau helang yang ganas, Netanyahu tidak kunjung padam berusaha agar Amerika Syarikat (AS) berpihak kepada Israel sepenuhnya walaupun majorit dunia membenci Israel.

Muncullah Trump sebagai Presiden AS. Dengan menjadikan menantunya Kushner, seorang Yahudi, sebagai penasihat nombor satu, maka dasar AS berubah 180 darjah.

Menyedari kawasan-kawasan yang menyokongnya di AS terdiri daripada rakyat yang mentalnya sempit, atau konservatif, yang menyokong Yahudi dan menentang Arab, maka Trump sudah pun mengiktiraf Baitul Muqaddis sebagai bumi Israel. Kedutaan AS pun dipindahkan ke situ. Pengunjung Masjid Al-Aqsa diberi laluan tetapi ia tetap terletak di atas bumi Israel.

Sebagaimana Moshe Dayan, Trump juga dikatakan Juj-Makjuj. Dengan kehodohan yang berlaku di Palestin akibat tindakan Yahudi Israel, suasana sudah menjadi terlalu hodoh. Ia adalah campuran hodoh  manusia dan hodoh suasana.

Sebaliknya, Trump sudah memulakan perkelahian dengan negara China atas hal-hal perdagangan, juga terus mencekik ekonomi Rusia agar terduduk. Kesayangan AS kepada anak emasnya Shah Pahlavi yang dinyahkan oleh rakyatnya pada tahun 1979 menjadikan AS tidak kunjung padam membenci  Iran dan para pemimpinnya yang dipilih secara demokratik oleh rakyat.

Perjanjian nuklear dan perdagangan yang dimetrai oleh Iran dengan EU, China dan Rusia tiga tahun dulu diperkecaikan sewenang-wenang oleh Trump atas desakan Netanyahu-Kushner. Israel bimbang kalau-kalau Iran akan dapat membuat bom nuklear yang boleh melawan Israel yang sudah lama memiliki lebih 300 biji bom atom.

AS mahukan Israel jauh mengatasi Iran dalam persenjataan maha besar ini. Dibimbangi, apabila Iran, Rusia dan Korea Utara tercekik oleh AS, jalan yang terbuka ialah perang nuklear.

Pasti  ia 1000 kali lebih teruk daripada nasib Nagasaki dan Hiroshima, Jepun, pada 1945. Dunia  akan lebur tetapi  orde baru dunia akan wujud, dan  AS  sebagai  ‘super power’ tunggal akan tamat.  Itulah yang dikehendakinya!                                    

*Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet