MENINGGALKAN terowong di genting Selangor-Pahang di kaki Genting Highlands,  serta-merta melintasi Bukit Tinggi, sebuah kawasan yang agak rata.

Di situ terdapat beberapa taman perumahan dan ceruk-ceruk kampung tradisi. Ke arah utara sedikit terdapat perkampungan sukan golf. Kampung Janda Baik juga termasuk dalam Bukit Tinggi; terletak di sebelah kanan Lebuh Raya Pantai Timur, di tepi jalan lama, kira-kira selari dengan lebuh raya itu.

Untuk sekian lama Janda Baik ialah kampung tradisi, bermula pada zaman kolonial British. Cuacanya agak sejuk kerana ketinggian tanah yang dipenuhi rapat-rapat dengan pelbagai jenis pokok kecil dan besar, apalagi dibelah oleh sungai berair bersih bersumberkan tadahan di puncak.

Pertama kali saya melalui Janda Baik ialah ketika saya dan seorang rakan sedarjah berbasikal ke Singapura dari Kuantan, tempat tinggal dan tempat kami bersekolah.

Pada hari kedua, kami amat tenat mengayuh kerana pendakian jalan tinggi di Bukit Bentong. Bila tidak terkayuh, kami menyeret basikal. Terlihatlah kami tanda jalan dalam tulisan jawi: ‘Janda Baik 1 Batu’. Ia menggelikan kami.

Walaupun baru mengambil LCE, kami menghayati erti ‘janda’. Adakah janda yang baik tinggal di sebuah rumah atau pondok di tepi jalan? Pertanyaan begini ada logiknya kepada kami.

Kuantan, seperti juga Kuala Terengganu dan Kota Bharu, terkenal dengan budaya ‘orang bujang’ (panggilan Pantai Timur untuk pelacur) dan pelayan: terdiri daripada mereka yang muda dan berhias cantik, bekerja di kedai kopi yang kebanyakannya milik India Muslim.

Mereka diberi gaji murah untuk melayan pelanggan, pada satu masa melakukan pelacuran dengan pelanggan tertentu di bilik hotel murah, dekat dengan kedai dia kerja.  

Segalanya berlaku jelas dan terbuka. Kini, kita tidak terbayang keadaan itu yang pernah berlaku begitu sewenang-wenang dalam tahun 1950-an dan 1960-an. Sebenarnya itulah yang berlaku rata-rata di seluruh Malaya, termasuk Singapura.

Di Kuantan, sebut saja ‘Tanah Putih’ dan semua tahu itulah sarang pelacur. Kini Tanah Putih di pinggir Sungai Kuantan ialah tapak perdagangan dan tempat tinggal yang baik.

Apa yang terbukti ialah Janda Baik berupa desa terpencil bila saya tiba di situ buat pertama kali 60 tahun dulu.

Ketika berhenti di sebuah gerai tepi jalan, belum lagi habis saya bertanya, pekedai lantas berkata: "Tak ada orang tahu siapa janda baik tu. Khabarnya, dulu ada janda tua, baik orangnya, menjual kuih cari rezeki selepas kematian suami.

Agaknya orang bila nak sebut tempat janda tu, disebutlah baiknya dia. Lekatlah nama Janda Baik".

Memanglah suatu ketika dulu, istilah ‘balu’ untuk isteri kematian suami belum wujud. Hasil perceraian atau kematian pasangan hidup, seseorang dipanggil ‘janda’, waimma lelaki atau perempuan.

‘Duda’ dan ‘balu’ hanya wujud selepas berlaku perkembangan bahasa Melayu, mungkin ditimba dari bahasa Indonesia.

Saya merujuk ‘Janda Baik’ di sini kerana ia hampir-hampir menjadi tempat tinggal, kompleks pejabat atau pusat perkedaian jika Bukit Tinggi menjadi Putrajaya, ibu kota Malaysia, dan bukan Putrajaya di Sepang sekarang ini.

Dengan restu jemputan DYTM Tengku Mahkota Pahang, saya sebagai ahli Kabinet menumpang helikopter baginda dari Kuantan ke Kuala Lumpur selepas upacara perasmian sebuah taman perumahan oleh Baginda. Tiba di Bukit Tinggi, keadaan jerebu tebal tidak mengizinkan helikopter melepasi banjaran Titiwangsa di sempadan Pahang/Terengganu.  

Atas kehendak Baginda, helikopter turun di sebuah tanah lapang, dekat petak-petak penternakan ikan, sebelum Baginda diberi izin pemilik sebuah kereta yang kebetulan berada di situ memandu sendiri dan membawa kami semua ke Kuala Lumpur.

Ketika berputar dua tiga kali di udara sebelum turun, Baginda ceria mengatakan Bukit Tinggi mungkin dipilih menjadi ibu kota Malaysia, menggantikan Kuala Lumpur.

Saya pernah dengar berita itu, tetapi tidak jelas. Memandang Bukit Tinggi terletak dalam negeri Pahang, maka kerajaan Persekutuan di bawah Tun Dr Mahathir harus berunding tegar dengan Pahang sebelum keputusan muktamad tercapai.  

"Kita tengok dulu", ujar Baginda. "Lebih jelas selepas pilihan raya nanti". Itu dalam bulan Oktober 1990. Tidak berapa kama kemudian, PRU ke-8 diadakan.

Apa yang berlaku selepas itu sudah menjadi sejarah. Hakikatnya ibu kota Malaysia Putrajaya berada di tempatnya kini.  

Apa yang berlaku sudah berlaku dalam keadaan prihatin dan kebajikan semua pihak. Tidak begitu ramai yang benar-benar maklum tentang apa yang berlaku. Wallahuaklam.