‘TAK ada taring lagi’ kata ungkapan Melayu. ‘Itik pengkang’ kata ungkapan Inggeris. Maksudnya sama: pemimpin yang sudah lemah. Kredibilitinya sudah terhakis. Apa yang tinggal hanyalah kuasa. Lambat laun, kuasa tanpa keyakinan ramai pasti akan berakhir dengan kekandasan.

Sudah banyak dalam sejarah ketua kerajaan, baik bernama presiden atau perdana menteri, berakhir dalam keadaan sedih dan hampa. Sebab utama ialah mereka enggan, malah degil, turun secara baik dan teratur. Apa yang berlaku kepada Presiden Marcos di Filipina, Mubarak di Mesir, Suharto di Indonesia - hanya menamakan beberapa orang – sudah menjadi sejarah yang patut dielak.

Tidak berapa lama dulu Perdana Menteri Britain, Cameron, telah menunjukkan satu tindakan berjiwa besar apabila beliau dengan sukarela meletak jawatan setelah rakyat memilih untuk keluar dari EU. Pilihan itu bertentangan dengan pendirian beliau yang mahu kekal dalam EU.

Setelah menjadi gagah dan gah, Marcos tidak puas hati dengan dua penggal menjadi presiden, seperti yang dibenarkan oleh perlembagaan. Beliau lalu mengisytiharkan darurat, menggantungkan pilihan raya presiden, lalu berkuasa secara kuku besi. Akhirnya AS yang menyokongnya menarik balik sokongan. Alasan berkuasa tanpa demokrasi kerana mahu menentang komunis hukbalahap tidak boleh dipakai lagi. Sayang rakyat kepadanya pada awal pemerintahannya bertukar menjadi benci yang amat sangat.

Disebabkan beliau sudah menjadi ‘itik pengkang’ yang amat lemah, maka untuk memastikan kuasanya kekal, beliau membunuh kawannya yang sangat ditakuti. Beliau bimbang jika kawannya, Aquino, berkuasa, beliau akan dibawa ke pengadilan kerana salah guna kuasa dan pembunuhan senyap-senyap yang meluas.

Hari-hari terakhir Mubarak di Mesir tidak begitu berbeza dengan nasib Marcos. Filipina lebih baik dari Mesir. Sejak merdeka daripada penjajahan AS, Filipina mempraktikkan demokrasi dalam pemilihan presiden dan juga ahli-ahli kongres dan senator. Sedangkan Mesir setelah King Farouk disingkirkan pada tahun 1952 terus dikuasai tentera, mula-mula Naguiib, selepas itu  Gamal Nasser.

Budaya tentera ialah pemerintahan dari atas, Kuasa datangnya dari pemegangan pangkat. Demokrasi adalah asing dalam budaya tentera. Maka apabila Nasser meninggal, Anwar Sadat menggantinya, dikuti Mubarak setelah Sadat terbunuh dalam satu upacara kehormatan tentera.

Sebagaimana Marcos memperlekehkan suara tidak puas hati rakyat, begitulah juga Mubarak. Kedegilan beliau untuk melepaskan kuasa secara teratur dan terhormat mengakibatkan beliau dinyahkan oleh pegawai-pegawai tentera di bawahnya. Penyingkiran itu berlaku setelah rakyat sudah terang-terang membenci Mubarak.

Tanpa pengalaman demokrasi menjadikan politik Mesir goyah sekali. Presiden Morsi yang menang melalui pilihan raya tidak diterima tentera. Ini kerana pembesar-pembesar negara selama ini adalah terdiri daripada pegawai-pegawai tentera dan bukan rakyat yang tidak berpangkat seperti Morsi. Lalu tentera di bawah Jeneral El-Sisi mengadu domba sesetengah pihak. Demonstrasi dianjurkan seperti yang dilakukan terhadap Mubarak.

Tamatnya Olimpik Rio disambut oleh perbicaraan Presiden Rousseff, presiden wanita yang pertama di Brazil. Walaupun beliau tidak berhenti secara sukarela, namun sistem pemerintahan di sana membolehkan presidennya dipecat oleh Senat jika presiden melakukan kesalahan yang boleh membuatkan presiden dipecat. Terbukti sekali kesalahan itu berupa satu tindakan menjejaskan bajet.  

Beliau bukan mengambil wang untuk berbelanja dalam pilihan raya. Apa yang beliau lakukan ialah meminjam banyak wang dari bank-bank kerajaan untuk membiayai pilihan raya untuk beliau menjadi presiden kali kedua. Beliau sudah didapati bersalah, terpaksa melepas jawatan dan digantikan dengan naib presidennya. Di satu pihak, ia boleh dianggap satu tindakan politik yang melampau; di pihak lain, ia menunjukkan seseorang yang menjadi ketua kerajaan tidak boleh menyingkir sesiapa atau menahan badan tertinggi yang termaktub dalam perlembagaan daripada menyingkirnya bila sudah  melakukan kesalahan.

Akhbar ini sering memuatkan secara lantang gejala ‘MO1’ (Malaysian Official No 1) atau ‘PM1’ (Pegawai Malaysia No 1) seperti yang dipakai oleh Peguam Negara AS ketika mengumumkan tindakan merampas harta 1MDB di AS. Siapakah gerangannya adalah ibarat ‘sudah terang lagi bersuluh’. Elaklah nasib Marcos, Mubarak dan Suharto. Berundur secara terhormat seperti PM Cameron adalah tindakan berjiwa besar yang disanjung rakyat.