SAYA menerima WhatsApp yang menghina Islam dan orang Islam. Segala tindakan dan kejadian buruk yang dilakukan Muslim sejak dulu hingga sekarang, dari timur dunia ke barat dunia, dikutip dan dirangkaikan satu.

Kebencian dikatakan begitu lantang dan kasar, seolah-olah Muslim tidak membuat kerja lain melainkan mengebom, membunuh, menyerang di semua tempat, tidak kira tempat itu dihuni Kristian atau penganut agama lain.

Antara yang dikutip ialah pengeboman menara kembar World Trade Center, New York tahun 2001 dan letupan beberapa buah kapal terbang dan bangunan-bangunan di Eropah, Afrika, Amerika dan di bumi Arab, apalagi mengorbankan banyak nyawa.

Anak perempuan saya yang berumah tangga di St Louis, AS, mengatakan Islam fobia atau kebencian Islam sudah lama berlaku secara senyap-senyap sebelum Trump menjadi Presiden lagi, dan kini setelah beliau menjadi Presiden, fobia itu sudah jadi terbuka dan lebih lantang.

Fobia bererti ketakutan tegar terhadap sesuatu atau kebencian tegar terhadap sesuatu yang tertentu. Pengertian yang kedua itu menepati fobia terhadap Islam.

Disebabkan terkejut dengan fobia begitu, saya menjawab dengan bahasa terus terang yang sama. Kutipan kejadian-kejadian yang tidak ada kaitan antara satu sama lain – masa yang lain dan tempat yang lain – samalah jika disebutkan bahawa Kristian yang menyebabkan dua perang dunia yang mengorbankan 50 juta nyawa; membunuh 1.5 juta orang Iraq, Afghanistan, Libya, Syria dan lain-lain dalam abad ke-21 di bumi mereka sendiri.

Mengapa diulangi Iran mengurung staf kedutaan AS di Teheran, kemudiannya dibebaskan tanpa cedera, sedangkan 280 orang Iran yang tidak berdosa terkorban apabila Kristian AS menembak jatuh kapal terbang Iran Air A300 pada tahun 1988.

Bukan itu saja, pada tahun 1511, Portugis Kristian menyerang dan menakluki Melaka, dan 10 tahun kemudian Filipina (masa itu namanya lain) mengalami kezaliman yang sama di tangan Sepanyol Kristian.

Selepas itu, Kristian Belanda pula mengulangi perbuatan Portugis dan Sepanyol itu di Hindia Timur (kini Indonesia), sebelum Francis Light mencekup Pulau Pinang dan Stamford Raffles memperdayakan Kesultanan Johor-Riau dengan menggenggam Singapura.  

Dosa Kristian yang paling besar ialah memecahbelahkan dunia Melayu, bukan saja melalui sempadan tetapi juga melalui agama. Di Malaysia dan Indonesia kini banyak terdapat orang bernama Muhammad, Malik, Hidayat, Ali dan Kamarudin; di Filipina pula terdapat Ramos, Marcos, Carlos, Aguinaldo dan Carpio. Banyak sekali penjajah Kristian mengkristiankan orang Islam secara paksa.

Tentunya ada yang masih ingat filem The Passage to India yang dibuat di England. Filem itu menunjukkan bagaimana bos-bos Kristian di India sebelum merdeka memerintah orang-orang Hindu di bawah mereka menembak beribu-ribu orang India di bumi mereka sendiri kerana mereka enggan terus ditekan.  

Di negara China pula, Kristian dari jarak 10,000 batu sengaja campur tangan di negara China sehingga meletusnya Perang Candu yang mengakibatkan China terpaksa menyerahkan bumi mereka bernama Hong Kong.

Iskandar Zulkarnain dan Genghis Khan bukan Muslim, masing-masing menyerang dan menakluki setengah dunia, mengakibatkan malapetaka yang tidak terhingga kepada berjuta manusia. Di seluruh Amerika pula, dari sut Argentina selatan ke birai Kanada, kejadian membunuh anak watan berlaku berleluasa jika mereka enggan memasuki agama Kristian.

Dua puluh juta orang Aztec di Mexico terkorban di tangan Kristian Sepanyol. Apa yang dipanggil Indian atau Red Indian adalah wataniah di sana.

Seteruk-teruk kezaliman Kristian Potugis, Brazil yang dijajahnya dibuka untuk mereka berkulit hitam dan ciku masak; tetapi Kristian Sepanyol di Argentina menutup pintu kepada mereka.

Wataniah di situ dibunuh habis-habis. Itulah sebabnya maka boleh dikatakan tidak ada pemain kulit berwarna dalam pasukan Argentina.

Bagi orang Kristian, cakna utamanya ialah Muslim. Hanya susun-galur dunia  ada yang kita ada, mereka tak ada; ada yang mereka ada, kita tak ada – menimbulkan sikap live and let’s live atau hiduplah kita sama-sama hidup.

Tentunya saya tidak suka memberikan jawapan kepada video ‘benci Islam’ itu begini. Dua yang buruk tidak menjadikan salah satu cantik.

Namun memandangkan video Islam fobia itu dibuat seperti Trump berdebat di TV, maka tidak salah cara Trump itu dipakai. Ia terbukti berkesan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.