JELAS sekali kalimah ‘Insya-ALLAH’ atau ‘dengan izin ALLAH’ amat sebati dengan lidah orang Islam malah terdapat juga orang bukan Islam memakainya. Ini kerana dalam kehidupan hari-hari mereka selalu mendengar kalimah itu dipakai oleh kawan-kawan Islam dalam banyak senario hidup.

Seorang supir India beragama Hindu, kini sudah meninggal, yang berasal dari Kedah, tidak lekang dengan lafaz ini apabila beliau menerima tugas.

Bukan itu saja, beliau juga tidak ketinggalan menyebut ‘mintak-mintak’ apabila mengharapkan sesuatu agar tidak menjadi cacat cela. Bagi saya mintak-mintak itu adalah kependekan kepada mintak-mintak kepada ALLAH untuk maksud yang baik dan positif. Lagu Insya-ALLAH nyanyian Maher Zain menjadi sangat popular dan laku dalam pasaran sehingga dikatakan beliau menjadi kaya kerananya.

Kehidupan di Kuala Lumpur dan sekitarnya sentiasa disiratkan dengan pemanduan kereta dalam keadaan macet memberi peluang luas kepada penghuninya untuk mendengar siaran radio dari pelbagai stesen. Boleh dikatakan, siaran-siaran itu dipenuhi dengan kalimah Insya-ALLAH di hujung kata-kata nasihat ataupun setelah promosi ubat-ubat dilafazkan demi melariskan ubat-ubat yang dimaksudkan. Apakah lafaz yang amat kudus ini boleh digunakan sewenang-wenangnya sehingga boleh mencetuskan keraguan? Tentunya tidak.

Di negara-negara maju (pasti kebanyakannya berupa negara yang tidak mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi), sebut saja AS, UK, Jepun, Australia, Perancis dan kebanyakan negara Eropah Barat, ubat yang boleh dipromosikan kepada orang ramai harus melalui ujian oleh institusi perubatan yang berwibawa tidak kurang lima tahun, sering pula selama 20 tahun.

Selepas diluluskan, ubat yang relevan tidak boleh dicanangkan dengan pengakuan mujarab yang lebih daripada sepatutnya. Ini kerana apa yang dikatakan ubat yang masuk ke perut kita boleh menjadi racun.

Maka ia sudahlah tidak boleh menyembuhkan, malah menjadi agen yang boleh membawa maut pula. Justeru apakah dengan iringan Insya-ALLAH sudah cukup untuk mengatasi segala ujian ketat yang dimaksudkan itu?

ALLAH SWT meletakkan tanggungjawab kepada umatnya untuk memastikan sesuatu itu berlaku melalui penelitian dan pengamatan yang paling tinggi. Ubat ialah untuk maksud menolong hayat manusia, sedangkan hayat ialah anugerah ALLAH yang paling besar.

Anugerah ini mesti dihormati. Tentunya menawarkan ubat yang belum pasti kemujarabannya, malah lebih dekat kepada kedurjanaannya, bukanlah cara untuk menunjukkan sikap hormat itu. Dengan kata-kata lain, pihak berkuasa perubatan, seperti Persatuan Perubatan Malaysia (Malaysia Medical Association atau MAA) yang diberikan kewibawaan untuk membuat rekomendasi kepada Kementerian Kesihatan, mesti benar-benar tegas melarang sebarang ubat dijual dan dipromosikan secara terbuka.

Malah jika penguatkuasaannya lemah dan longgar, Parlimen harus diminta meluluskan undang-undang untuk maksud itu. Penggunaan Insya-ALLAH berkali-kali tidak cukup untuk menjamin kebaikan ubat dan kebaikan diri manusia.  

Jika kita beredar kepada pengalaman hidup selain gara-gara promosi ubat yang banyak Insya-ALLAH ini, nescaya didapati lafaz Insya-ALLAH lebih banyak untuk maksud menutup nawaitu yang sebenar, atau dengan kata-kata kasar yang lain, untuk memperdaya.

Contohnya, apabila seseorang tertentu diminta dengan cara baik, maka Insya-ALLAH lantas terloncat keluar dari bibirnya. Jika apa yang berlaku bertentangan dengan apa yang diminta, maka penerima lafaz Insya-ALLAH itu pada umumnya mencemikkan saja. Ia meloyakan!

Sebaliknya, bahasa badan atau body language ketika Insya-ALLAH itu dilafazkan adalah lebih bermakna daripada bunyi lafaz itu semata-mata. Insya-ALLAH untuk memperdaya ini patut dihindarkan daripada bibir Melayu yang beragama Islam. Kalimah yang mengandungi dua suku kata ini amat senang menyebutnya dan amat mendalam penerimaannya dalam kalangan orang Islam.

Insya-ALLAH, kita akan diberkati ALLAH SWT jika kekudusan kalimah ini dijaga sebaik-baiknya dan tidak disalahgunakan untuk maksud memperdaya.