MASIH ada lagi orang yang percaya dunia ini rata dan bukan bulat. Apabila manusia mendarat di bulan 50 tahun dulu, ramai yang tidak percaya, paling baik mereka hanya berkata ‘harus’.

Istilah ‘harus’ menjadi kunci kekayaan ALLAH SWT. ‘Jadi! Maka jadilah’ itulah firman-Nya. Namun sehingga sekarang masih terus ada mereka yang berkepercayaan begitu. Hakikatnya kita tidak boleh memaksa orang lain agar mempercayai sesuatu. Itu fungsi minda dan hati.

Dalam abad ke-15, kejumpaan Copernicus bahawa dunia ini bulat dan ia bergerak mengelilingi matahari adalah sesuatu yang dianggap menyesatkan oleh golongan paderi yang bukan saja mengetuai agama Kristian tetapi juga mengetuai pemerintahan negara. Ketakutan Copernicus untuk mengetengahkan kejumpaannya itu membuatkan beliau menyembunyikannya. Hanya apabila beliau meninggal barulah dibuka untuk orang ramai.

Walaupun ditentang oleh gereja, pengkaji-pengkaji selepas Copernicus mengesahkannya dan ia menjadi sumbangan besar kepada ilmu. Barulah Sepanyol dan Portugis, walhasil mungkin negara Cathay (kini China), berani menjarah lautan Atlantik dan Pasifik sehingga terjumpa Amerika Utara (AS dan Canada) dan Amerika Selatan (Brazil, Argentina dll), tidak kurang pula memungkinkan Portugal melanggar dan menawan Melaka (sinonim Tanah Melayu).

Orang Barat Kristian amat takut dengan dominasi gereja. Segalanya dikawal dan ditentukan oleh gereja. Sesiapa yang tidak akur akan dikenakan hukuman berat. Memenggal kepala dan mengenakan hukuman berat kerana mempertikaikan butiran agama atau mencuri ayam itik adalah sesuatu yang lumrah.

Terlalu ramai orang yang dikenakan hukuman begitu di England sehingga tempat-tempat tahanan tidak cukup ruang. Itu sebabnya Australia setelah dijumpai dijadikan tempat buangan pesalah-pesalah begitu.

Maka tidak mengejutkan Australia dikenali dengan panggilan bumi orang salah. Dengan senang selepas itu Inggeris di England memberikan gelaran selekeh yang berbunyi ‘sut di bawah’ (down under) untuk Australia. Kini, dalam banyak hal, Australia lebih baik daripada England dalam ciri-ciri hidup yang positif.

Jadi apa dia perbezaan di Barat antara zaman kegelapan (dark age) sebelum abad 15 dengan yang datang selepas itu? Definisinya terletak antara wajar dan emosi. Kewajaran menuntut supaya apa yang selama ini dianggap benar harus dikupas sedalam-dalamnya, dengan bukti yang nyata sehingga tidak boleh dipertikaikan lagi. Apabila berlaku ‘maut hitam’ (black death) yang mengakibatkan 60 peratus orang Inggeris mati, maka kajian rapi yang wajar dijalankan. 

Memang benar maut di tangan Tuhan, tetapi Tuhan menuntut supaya manusia menggunakan akal untuk mengenal pasti  punca kematian. Barulah didapati kekotoran akibat air kotor bertakung membiakkan tikus yang merebakkan penyakit; lalat-lalat berulat yang meracunkan makanan yang terdedah; pencemaran udara kerana rumah-rumah tanpa cukup tingkap dan berasak-asak serta lain-lain lagi dikenal pasti sebagai punca penyakit yang mengakibatkan ‘maut hitam’ itu.

Sedikit demi sedikit keadaan yang amat jelik itu diatasi dengan bertambahnya orang menjadi doktor dan pekerja perubatan. Ramai pula penyelidik menjumpai ubat-ubatan yang boleh mengubati banyak penyakit.

Itulah sebenarnya hasil pemikiran yang wajar. Sebagaimana adanya kekecualian dalam semua perkara dalam kehidupan manusia, begitulah juga kekalnya mereka yang tidak percaya terhadap sesuatu kejumpaan walaupun terbukti benar. Itulah sebabnya timbul ungkapan berbunyi  ‘semua orang percaya, kecuali satu dua’. Bagusnya kehidupan ini ialah, apa yang diterima oleh ramai lazimnya menjadi sesuatu yang dikuti secara terbuka. Itulah sebenarnya asas demokrasi.

Tergalak dengan kejumpaan-kejumpaan yang benar dan wajar, mereka terus meneroka tanpa batasan. Terjumpalah tenaga dari wap. Terciptalah mesin yang digerakkan oleh wap membuat benang dari kapas dan bulu biri-biri. Dari situ kain mampu dibuat dengan banyak untuk menampung seramai mungkin. Jadilah kain industri terbesar. Tenaga wap juga memungkinkan pembikinan keretapi untuk mengangkut orang dan barangan dari dalaman ke pelabuhan sebagai cetusan perdagangan antarabangsa.

Apabila sesak di atas, mereka membuat pula keretapi bawah tanah. Tenaga wap dari cucuhan pembakar memungkinkan pembikinan kereta yang kini jumlahnya kira-kira sama banyak dengan jumlah rumah di Malaysia. Terlalu lumrah. Tidak hairan lagi.

Ketika Perang Dunia pertama membakar Eropah, adik-beradik Wright mencipta kapal terbang di Kitty Hawk, AS. Kini kurang sekali orang yang belum naik kapal terbang. Sembilan puluh sembilan peratus jemaah haji berkapal-terbang ke tanah suci Makkah dan Madinah.

Itulah hasil kewajaran adik-abang yang mencabar golongan agama mereka yang berpegang bahawa manusia menempelak tuhan, berdosa tidak boleh diampun, jika ikut terbang seperti burung. Hakikatnya, banyak kemudahan dalam kehidupan kita datangnya dari tangan orang Barat. Sinonimnya: Kristian, Yahudi dan ‘kafir’.

* Tan Sri Adam Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet