“ENGLAND tiada kawan dan musuh yang kekal. Apa yang kekal ialah kepentingan bersama,” kata seorang negarawan ketika England sedang membesarkan empayarnya untuk menjadi kuasa nombor satu dunia. Ternyata dalam proses pembesaran itu Tanah Melayu yang dipanggil Malaya, terangkum sama. Ungkapan politik itu disuarakan sewaktu England (atau UK atau Britain) rancak mengaup dan 'mengehek' beberapa buah negara di Afrika dan bumi Arab.

Ada yang mula-mulanya musuh, bertukar menjadi kawan. Ada yang asalnya kawan, berpaling tadah menjadi musuh. Malah, kerap terdapat taraf musuh dan kawan itu bertukar ganti. Itu tidak menjadi masalah kepada England. Kepentingannya ialah England perlu mendapat bahan-bahan mentah untuk industrinya setelah melalui Revolusi Industri. Pasaran juga diperlukan untuk menjual hasil-hasil industrinya. Itulah asas England mahu berkawan. Negara-negara yang menghalang akan menjadi musuh England. Maka, peranglah menjadi akibatnya. Sejarah membuktikan baik kawan mahupun musuh, akhir-akhirnya statusnya berubah jadi koloni atau tanah jajahan, baik secara langsung atau tidak langsung.

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Umno 2016 beberapa hari lepas, DS Mohd Najib Tun Razak selaku presidennya mengungkit lantang tentang ungkapan ‘Melayu mudah lupa’ yang pernah dicanangkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia. Dalam pada itu, Najib juga 'menyengkehkan' Tan Sri Muhyiddin Yassin dan DS Shafie Afdal kerana menubuhkan parti baharu dan menentang Umno, sambil menyeru mereka di Johor dan Sabah terus kekal dengan Umno dan tidak mengikuti kedua bekas pemimpin tertinggi Umno itu.

Apa yang berlaku ialah ungkapan politik England yang disebutkan di atas, diulang di tempat lain, termasuk di sini. Pada asasnya, sikap begitu sudah ada bersama kita. Ambil saja senario di kampung tradisi dan kampung baharu Cina malah perkampungan India. Musuh Ali akan jadi kawan Nik kerana Ali dan Nik bermusuh. Begitu juga sebaliknya. Musuh Nik jadi kawan Ali. Tentunya ada kekecualian dalam contoh ini, namun pada umumnya itulah yang menjadi realiti. Gantikan saja Ali dengan Goh atau Maniam dan Nik dengan Lee atau Siva.

Tidak siapa patut terkejut, malah patut menganggarkan Muhyiddin dan Shafie akan bertaut kerana mereka sudah mempunyai Najib sebagai musuh bersama. Berkenaan Tun Dr Mahathir sebagai aktivis Umno sejak selepas Perang Dunia Kedua, turun naik dalam keceriaan dan kepahitan membentuk negara, memilih untuk keluar Umno setelah semua cara untuk membaiki kerosakan Umno menemui jalan buntu. Apabila ketiga-tiga mereka berpadu dalam kepentingan bersama, ia tidak lagi satu kekejutan, malah ia satu jangkaan. Oleh sebab mereka mempunyai penyokong dan pengikut ramai, maka sokongan luas yang mereka tarik tidak patut membelalakkan mata sesiapa.

Saya secara peribadi tidak sempat daki begitu tinggi dalam kepimpinan Umno, tetapi ketika berada kepimpinan tidak tinggi, saya selalu mendengar kata-kata bestari daripada ahli-ahli di akar umbi bahawa menjejaskan sebarang ahli bukanlah sesuatu yang mudah.

Orang buta dan orang pekak pun ada pengaruh. Kalau tidak kepada orang jauh, sekurang-kurangnya kepada kawan-kawan rapat dan sanak saudara. Salah satu pengaruh datangnya daripada simpati terhadap mereka.

Apabila DS Najib menyingkirkan Muhyiddin dan Shafie, bulu leher saya meremang. Besarnya risiko yang diambil. Masalah 1MDB sudah cukup besar. Pastinya tidak tertanggung lagi beban ditambah, kata hati saya. Namun, segala-galanya sudah berlaku. Maka, baik apa sekalipun, Najib tidak ada pilihan melainkan memikul risikonya.

Demi masa, ada perkembangan politik terkini yang relevan. Kes-kes lama tidak perlu diulang. Presiden Park - Korea Selatan sudah memulakan langkah meletak jawatan kerana skandal seorang rakan rapatnya membuli dan mengerok wang. Untuk jaga kelicinan perubahan kuasa, beliau serah tugas itu kepada Parlimen. Lambat laun, beliau akan menjadi mantan presiden. Di sini, skandal 1MDB tidak perlu diulang. Jika di darat, ia setinggi gunung, jika di air, ia membuak banjir. Jika Tun Razak pernah jadi PM besar, meninggal 1976, maka bapa Presiden Park, sama-sama bernama Park, juga pernah jadi presiden besar Korea, meninggal 1979.

Demi kuasa, amat relevan dikutip di sini ungkapan bestari Shakespeare, pujangga agung Inggeris yang menjadi dialog Brutus dalam drama Julius Caesar.