BERIKUT ialah serangkap lirik sebuah lagu yang tajam perlambangannya:

Hasan budak jaga lembu

Hari-hari curi jambu

Kalau nampak Tok Penghulu

Tentu dia kena palu

Ia stanza lagu Hasan dan Hasnah dalam filem Air Mata. Ahmad Mahmud menjadi hero dan Rosnani heroin. Pada era itu, filem Melayu untuk laku harus mempunyai cerita sedih di mana hero terseksa meskipun benar dalam sikapnya. Dia sentiasa menerima simpati dan kasih sayang daripada heroin yang tentunya tidak diperkenankan oleh ibu bapanya.

Tahun 1955 ketika filem itu diedarkan terasa amat sut dari sekarang, ketika saya berusia 13 tahun dalam Form 1 (T 1) di sekolah Inggeris Abdullah School, Kuantan, tetapi ia amat segar dalam ingatan saya kini. Tidak perlu diulangi plot ceritanya tetapi yang penting ialah apakah pengertian lambang-lambangnya menurut keadaan semasa nusa kita Malaysia.

Ia membawa kita kepada apa yang berlaku di Dewan Rakyat akhir-akhir ini. Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengemukakan usul menyemak dan menyiasat semula institusi-institusi seperti Bank Negara, Juru Audit Negara (JAN), SPRM, Peguam Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) yang mengendalikan perihal 1MDB.

Selepas usul itu dikemukakan, lantas Hassan Ariffin, Ahli Parlimen Rompin, selaku Pengerusi PAC dari BN yang terakhir sebelum PRU14, bangun menjawab. Dengan sendirinya beliau menjadi lambang Hasan dalam lirik itu.

Lambang ‘lembu’ mengikuti dua perkataan kemudian. Ia boleh dikaitkan dengan skandal lembu yang berupa satu masalah paling besar bagi mantan menteri Shahrizat dan suaminya Dr Salleh. Perihalnya sudah diketahui luas.

Prospek yang mereka hadapi akibat kemungkinan pecah amanah lebih  RM200 juta itu ialah hukuman  penjara yang lama. Ini selain daripada denda berjuta-juta ringgit, dan pemulangan wang yang lebih banyak jutaannya.

‘Curi jambu’ ialah lambang inti kata yang boleh diertikan pencurian wang rakyat berbilion ringgit oleh DS Najib dan 1MDB seperti yang diulangkan beratus kali oleh Tun Dr Mahathir ketika berkempen menghadapi PRU14.

‘Tok Penghulu’ pula ialah PM Tun Mahathir yang bertanggungjawab memastikan segala kehodohan dan penyamunan itu dibongkar ke akar umbi. Sesiapa bersalah akan ditentukan oleh mahkamah melalui proses undang-undang dan perlembagaan. Itulah maksud ‘kena palu’!

Berbalik kepada lambang ‘Hasan’ yang dipikul oleh Hassan Ariffin. Tup-tup selepas bangun dari kerusi selepas LGE mengemukakan usul, beliau lantang mengatakan Laporan PAC yang ada di tangannya mengandungi tiga suku daripada laporan yang diserahkan oleh JAN.

Berapa kali pun disemak, katanya, kesimpulannya tetap sama. Apabila beliau meminta MK LGE buktikan dari mana hakikat firma Red Granite (pembuat filem The Wolf Of Wall Street) dimiliki Jho Low, AP Petaling Jaya Tony Pua, selaku bekas ahli PAC di bawah Hassan, menegaskan bahawa beliau pernah membaca surat dari BNM yang menyatakan Red Granite ialah kepunyaan seorang individu dan bukan firma Arab Petro-Saudi.

Katanya, BNM memberikan nama Jho Low secara sulit sebagai pemiliknya kepada PAC yang dipengerusikan Hassan. Namun Hassan memadamkan walaupun rujukan kepada seorang ‘individu’ sebagai pemilik Red Granite daripada laporan PAC. Tony Pua bertegas menuduh Hassan sengaja meminda teks yang sudah disetujui muktamad oleh ahli-ahli PAC.

Tindakan begitu menghina institusi PAC dan Parlimen, katanya. Hassan lantas mencadangkan agar Select Committee (Jawatankuasa Terpilih) Parlimen ditubuhkan demi menentukan siapa yang bersalah antara beliau dengan Tony Pua.

"Saya bersetuju agar ‘Select Committee’ ditubuhkan untuk mencari kebenaran," sambut Tony Pua. Demi maruah diri dan Parlimen, sesiapa yang didapati berbohong mesti meletak jawatan dan pilihan raya kecil diadakan untuk memilih penggantinya.

Hassan ketika membela diri, berulang-ulang kali bertanya: "Kalau memang ada bukti, kenapa DS Najib masih tidak di‘charge?"  Jawapannya meniti di semua bibir mereka yang faham seperti peribahasa ‘Jauhari saja yang kenal manikam.’ Tunggulah selewat-lewatnya enam bulan lagi, apabila semua bukti genap terkumpul. Sekurang-kurangnya itulah yang diberitahu rakyat oleh kerajaan melalui Peguam Negara.   

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet