"FELDA mesti tegap dan teguh. Kalau semata-mata ubah mengubah seperti tuntutan Yang Berhormat, maka Felda pastinya tidak tegap dan teguh", jawab saya di Dewan Rakyat kepada Hu Sepang, seorang MP DAP dari Negeri Sembilan. Itu berlaku pada tahun 1989.

Waktu itu Felda menghadapi cabaran yang pelbagai, bukan saja pada amalan peneroka dengan pengurusan Felda, malahan dalam percaturan politik antara Umno dan Pas.

Pengurusan Felda dan senario politik masih bertumpu kepada masalah kehidupan ekonomi peneroka generasi pertama.

Dalam jawapan itu, saya mengambil kesempatan memberikan pandangan tentang prospek generasi kedua Felda.

Begitu ramai anak-anak mereka sudah bersekolah menengah dan menjengah ke institusi pengajaran tinggi.

Jika ibu bapa mereka berasal dari tempat-tempat berlainan, seperti Kelantan, Terengganu, Perak, Johor, Kedah dan lain-lain lagi, mereka ketika itu tidak berminat dengan tempat asal-usul orang tua mereka, malah apa yang mereka tahu ialah mereka berasal di projek Felda di mana mereka lahir dan membesar.

Justeru, satu perancangan rapi perlu diwujudkan agar generasi kedua Felda tidak terjebak dalam putaran rezeki penerokaan seperti yang dilalui generasi pertama. Kemudahan pra-pendidikan tinggi dan pendidikan tinggi harus disediakan secara sistematis.

Sekolah yang sepadannya hendaklah ada kemudahan setimpal, malah asrama yang selesa seperti disediakan untuk golongan lain di luar projek Felda. Dipercayai langkah-langkah begitu telah dilaksanakan secara berkesan, tanpa digembar-gemburkan.

Sejak awal abad 21, sudah ramai mereka dalam generasi kedua Felda menjadi CEO korporat; ada juga yang menjadi pemilik korporat, selain daripada menjadi profesional seperti doktor perubatan, jurutera, akauntan, peguam dan lain-lain.

Di kalangan rodongan hidup saya kini, terdapat beberapa orang daripada generasi kedua Felda bergelar Tan Sri yang mencerminkan pencapaian kerjaya yang tinggi.

Seorang isteri yang saya kenal rapat, berusia awal 30-an, seorang doktor perubatan dari Felda Jengka, amat menceriakan saya. Saya menghadiri perkahwinannya dengan seorang teknokrat di Kuala Lumpur.

Bapanya yang berusia sebaya dengan saya masih mengenali saya ketika saya menjalankan tugas berkunjung ke projek-projek Felda di Jengka dalam tahun-tahun 1980-an. Beliau sudah meninggal lima tahun dulu.

Sungguhpun saya - bagi pihak Kementerian Tanah dan Wilayah di mana Felda bernaung - kerap berkunjung ke projek-projek Felda di seluruh negara, namun saya banyak bertumpu ke projek-projek Felda dalam kawasan Parlimen saya, Kuantan, di mana terdapat projek-projek Bukit Goh, Bukit Kuantan, Bukit Sagu dan beberapa buah lagi di persekitaran.

Dalam perjalanan ke Kuantan dari Kuala Lumpur, saya mengambil kesempatan berkunjung ke banyak projek Felda Jengka, di mana terdapat satu himpunan projek Felda yang terbesar di Malaysia. Gabenor Melaka Tun Khalil Yaakob pernah menjadi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Jengka dalam tahun-tahun 1970-an.

Dengan bilangan dan saiz projek yang banyak dan besar, maka jalan-jalan pun banyak di Jengka: ke selatan, utara, barat dan timur.

Saya tidak pernah sesat di Kuala Lumpur, tetapi saya beberapa kali sesat di Jengka. Salah satu sebabnya ialah, ia kelihatan serupa saja di kiri kanan jalan, semuanya pokok kelapa sawit.

Kini, jika tercetus sikap kritis dan nostalgia pada diri saya terhadap ehwal Felda, ia bermula pada apa yang saya perikan di atas. Sudah terdedah Felda di bawah Tan Sri Isa Samad dikatakan terjebak dalam kegiatan rasuah melalui pembelian aset berharga beratus juta ringgit dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga yang ditawarkan dalam pasaran terbuka.

Beliau seolah-olah sudah bersalah dalam mahkamah pendapat umum. Beberapa kota besar luar negeri telah disebut sebagai lokasi rasuah itu dikatakan berlaku.

Selain daripada pembelian yang dipersoalkan itu, Felda juga membeli sebuah kompleks komersil besar di Kota Damansara, dekat Kuala Lumpur, dengan harga ratusan juta ringgit, mengandungi pusat beli-belah (mall) dan kedai-kedai berderet.

Pembelian ini dikatakan amat mahal menurut pasaran semasa. Justeru, penjual diibaratkan ‘ketawa besar membawa wang jualan ke bank’. Sebelum kompleks itu dijual kepada Felda, penjual difahami berada dalam keadaan tertekan sebab sukar hendak menjual kompleks tersebut, sedangkan tanggungan pinjaman bank sangat membimbangkannya.

Mungkin media boleh menggali info jual-beli ini lebih mendalam selaras dengan info lain yang sudah digali.