KITA berada dalam keadaan ekonomi duaan atau dwiekonomi apabila merdeka tetapi setelah merdeka 60 tahun kita masih tidak dapat menguakkan dwiekonomi itu.

Untuk sekian lama Malaya dikenali dunia sebagai negara pengeluar getah nombor satu tetapi gambarannya yang sebenar ialah satu pihak mendapat kekayaan berlimpah dan satu pihak lagi tergolong dalam kemiskinan atau pihak yang berpendapatan rendah.

Estet-estet besar kepunyaan British, Perancis, BelanAda dan lain-lain lagi wujud bersama-sama dengan pekebun-pekebun kecil yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu.

Orang bukan Melayu, khususnya Cina, ada yang berladang besar tetapi sedikit jumlahnya. Mereka juga pekebun kecil, tetapi kurang angkanya berbanding Melayu. Apabila estet dan ladang besar itu 'disandingkan' dengan pekebun-pekebun kecil, ia dipanggil dwiekonomi.

Pembahagian ini digenapkan pula dengan pembahagian bandar dan kampung. Di bandar, terdapat 90 peratus bukan Melayu, sedangkan di kampung 90 peratus Melayu.

Bandar rata-rata menampung orang yang lebih berada sedangkan kampung rata-rata lebih membelai mereka yang kurang berada dan miskin.

Justeru, dwiekonomi apabila dicantumkan dengan dwitempat bermastautin membuatkan Melayu tergolong dalam tidak berada sedangkan bukan Melayu pihak berada.

Letusan 13 Mei 1969 telah menyumbangkan kepada penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di bawah PM kedua Tun Razak.

Gagasannya ialah untuk menghapuskan kemiskinan tidak mengira kaum dan menyusun semula rakyat agar kaum-kaum dalam negara tidak dikenali menurut pekerjaan mereka.

Dari situlah dirancang akan berlaku sama rata dalam keadilan rakyat. Selepas itu sedikit demi sedikit firma besar British, Perancis dan lain-lain dibeli secara terbuka dengan wang rakyat dan jadilah firma-firma itu bertaraf Bumiputera, sementara menunggu Melayu/Bumiputera menjadi mampu membelinya kelak.

Hasilnya, walaupun nama estet-estet besar itu kekal, namun pemiliknya sudah berubah. Mungkin Menteri Kewangan Berhad (MKB), atau nama-nama lain di bawah MKB, menjadi pemilik baharu.  

Soalnya, apakah DEB itu berjaya? Kejayaannya tidak boleh dinafikan tetapi ia terbatas dan tertakluk. Lebih ramai Melayu Bumiputera menyertai lapangan swasta, tidak lagi bertumpu dalam perkhidmatan kerajaan; berkali-kali ganda pula mereka memasuki dan lulus universiti, ramai pula bertaraf pemegang saham kontrol dalam firma-firma yang tersenarai.

Bagaimanapun penambahan penduduk dan penghijrahan mereka dari kampung ke bandar secara meluas telah mengurangkan peratusan mereka di kampung tetapi pada satu masa menambahkan peratusan mereka di bandar.

Akibatnya timbul pula keadaan baharu. Walaupun mereka sudah kurang dari 90 peratus di kampung, namun penambahan mereka di bandar menimbulkan satu ragam baharu: besar peratusan mereka yang kurang berada berbanding dengan kaum lain yang lebih berada. Seolah-olah keadaan sebelum DEB kekal hingga sekarang.

Anak Tun Razak, PM DS Najib, menggantikan pula DEB dengan Model Ekonomi Baru (MEB) pada tahun 2010, sebaik saja beliau menjadi PM, betul-betul 40 tahun selepas DEB. Pelancaran MEB itu diasaskan kepada hakikat bahawa DEB terlencong dari matlamat sebenar pelaksanaannya.

Untuk membaikinya perlu diadakan satu pembaharuan. MEB yang berasaskan istilah ‘model’ bertujuan menolong semua kaum menurut keperluan masing-masing, bukan satu kaum saja, dan pada masa sama menaikkan pendapatan mereka sesuai dengan rakyat sebuah negara maju. Kenapa dipakai istilah ‘model’ agak sukar difahami.

Kamus Dewan dan Oxford memberi erti ‘model’ sebagai (contoh, reka bentuk, ragam dan peragawati) seperti dalam ayat ‘beliau itu ialah tokoh model’ atau ‘rumah model terletak di atas meja arkitek itu’ ataupun ‘Twiggy ialah seorang model Inggeris terkenal tahun-tahun 1970-an’.

Tentunya lebih kental lagi kalau MEB itu pada sebutannya saja sudah cukup untuk bermaksud lebih daripada contoh dan ragam. Mungkin satu istilah yang lain daripada ‘model’ lebih menepati semangat MEB itu.

Walaupun kejayaan DEB tidak menyeluruh, namun kesan-kesan positifnya dapat dilihat dengan nyata seperti disebutkan di atas. Kini selepas tujuh tahun MEB, dua tahun sebelum sasaran kita menjadi negara  maju, gara-gara 1MDB mengekang kita.

Buat pertama kali dalam sejarah, ringgit jatuh teruk, lebih RM4 untuk satu dolar, satu kadar pertukaran yang membeliakkan mata. Ia bukanlah satu model yang diragami MEB.