USTAZ sudah menjadi satu institusi. Orang yang dirujukkan sebagai ustaz adalah mereka daripada pelbagai latar belakang, semuanya positif.

Ini kerana komuniti Melayu yang boleh dikatakan semuanya Muslim mengaitkan ustaz dengan peranan keagamaan yang patut dicontohi tua dan muda; watak dan peribadinya menepati nilai-nilai hidup murni. Sekurang-kurangnya, itulah yang dianggapkan.

Meskipun asalnya daripada bahasa Arab, ustaz diberi makna oleh Kamus Dewan sebagai 1. tuan, dan 2. guru agama (lelaki).

Pengertian inilah yang menjadi asas bagaimana ustaz berkembang menjadi institusi.

Masih saya ingat ketika dalam usia belasan tahun, ada seorang ustaz di Kuala Terengganu selalu berbasikal di Jalan Batas Baru. Terbelingas saja beliau, akan terdengarlah kata-kata kagum dan hormat daripada orang kampung mengiktiraf kehadiran beliau, sedangkan beliau pula membalas balik dengan gelagak yang setimpal, penuh kemesraan.

Beliau sudah naik Haji dengan kapal laut beberapa kali atas ongkos daripada mereka yang tidak mampu secara individu menunaikan rukun utama itu, tetapi diterima memadai diwakili oleh ustaz itu ke Makkah melalui sumbangan sepadannya itu.  

Di Kuantan pula, ada seorang jejaka yang pernah menuntut di sebuah sekolah Arab dipanggil ustaz juga, namun panggilan itu tidaklah sama dengan panggilan kepada ustaz di Kuala Terengganu itu.

Apa yang dikatakan ustaz di Kuantan itu ialah cetusan gurauan yang agak sinis memandangkan pengetahuannya dalam agama tidak sebagaimana dan peranannya dalam komuniti belum lagi wujud.

Sesudah begitu lama mengharungi hidup dewasa, kini untuk sekian lama saya kerap mendengar rujukan ‘ustaz kata’ terutama daripada golongan wanita. Tidak kurang juga daripada golongan lelaki, tetapi jumlahnya tidak seramai wanita. Tingkah laku atau pemakaian yang boleh diterima atau sebaliknya diberikan ukuran menurut ‘ustaz kata’.

Begitu juga ukuran melakukan ibadat agama yang diasaskan kepada ‘ustaz kata’.  

Ungkapan ‘ustaz kata’ ini sebenarnya adalah satu atribut yang amat membanggakan kepada golongan ustaz. Namun begitu, harus diingatkan bahawa atribut itu juga menjadi satu beban besar untuk dipikul ustaz, dan ia menjadi cabaran berterusan.

Jika cabaran ini tidak dapat dipikul disebabkan perkembangan baru dalam komuniti, seperti ajaran baru yang lebih berdenting, maka kedudukan sesetengah ustaz boleh terhakis. Sudah banyak contoh berlaku.

Beberapa haris lepas saya mendengar olahan daripada seorang yang saya tidak sempat mengetahui namanya melalui siaran FM sebuah stesen radio di Kuala Lumpur.

Beliau tidak menyentuh tentang dosa pahala, tidak juga, umpamanya, tentang Nabi SAW dengan 20 helai uban yang berinai di janggut.

Dari pengamatan saya, beliau ialah seorang yang sudah melalui pengajian akademik yang setimpal. Sudut analisis beliau mengenai agama lebih mendekati cara ustaz Dr Asri, Mufti Perlis.

Antaranya, katanya, menyampaikan aspek-aspek agama kepada orang ramai haruslah diasaskan kepada ilmu.

Ertinya, tidak cukup dengan  pengajian agama biasa semata-mata. Ia hendaklah mencakup ilmu-ilmu ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, sosiologi dan antropologi, elektronik malah banyak lagi (seperti yang boleh dilihat pada senarai subjek yang ditawarkan oleh pusat-pusat pengajian rendah dan tinggi).

Mustahil bagi seseorang mempelajari banyak ilmu begitu, tetapi sudah cukup dengan memilih satu atau dua, jika dia mahu menjadi ustaz yang memimpin komuniti.

Umpamanya, apabila bercakap tentang usaha mencari rezeki, ilmu ekonomi boleh mewajarkannya. Yang bagus, dipakai. Yang sebaliknya, ditinggalkan.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan dalam ruang yang terbatas ini.

Sesudah menjangkau hayat 70-an, saya sudah melihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana mereka ketika dalam usia belasan dan 20-an enggan mengaji Quran, tidak tahu langsung tentang haram dan halal, pahala dan dosa; tetapi ketika memasuki usia nenek dan datuk, mereka bertukar 360 darjah, seperti malam berganti siang.

Kekosongan mereka dulu dipenuhi dengan kecenderungan mengajar orang: tidak boleh buat itu dan ini; yang boleh hanya ini dan itu. Jika tidak diikuti, mereka akan menunjukkan sikap bermusuh, bagaikan hayat kita sebagai anugerah ALLAH SWT yang terpenting ini harus dikongkong seerat-eratnya bagaikan digari.

Mereka kata, itu ustaz kata, konon. Inilah bahayanya kekurangan atau ketiadaan ilmu. Inilah beban cabaran yang dihadapi ustaz, atau institusi ustaz, untuk menggelapkan minda mereka yang seperti itu.