NO COMMENT ialah dua patah perkataan Inggeris yang selalu dimuatkan dalam ruangan ‘soal jawab’ dalam majalah Bintang apabila seseorang bintang filem, termasuk P Ramlee, mendapati jika dijawab ’ya’ salah, dijawab ‘tidak’ pun salah.

Yang ditakuti ialah mana satu jawapan itu diberi mungkin mencetuskan banyak cerita lain yang tidak menentu dan tidak diingini. Itu ialah dalam persekitaran Pilihan Raya Malaya yang pertama dalam bulan Julai tahun 1955.

Bertolak dari situ, saya juga suka membuat reaksi NO COMMENT terhadap terbatalnya debat antara Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Nazri Aziz. Kemungkinan bakal debat itu mengalami nasib begitu akibat tonyohan ‘tangan ghaib’ telah saya bayangkan dalam ruangan ini pada 19 Mac yang lalu.

Bagaimanapun, seperti yang pernah saya katakan, rakyat Malaysia kini merupakan manusia cerdik dan celik info, justeru mereka rata-rata mengerti apa yang berlaku, baik tersirat mahupun tersurat.

Dalam perkembangan politik negara, saya amat kagum dengan debat antara parti Gerakan dengan parti DAP, antaranya diwakili Dr Lim Chong Eu (pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang) dan Dr Syed Najib Al-Attas, di pihak Gerakan, dan Lim Kit Siang serta dua orang lagi, bagi pihak DAP pada awal 1968.

Tajuk yang didebatkan ialah perihal kebudayaan nasional. Ia bertempat di Dewan Mara di Bangunan Mara yang baru dibuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Memandangkan julung-julung kali debat sebegitu diadakan, maka kehadirannya adalah di luar dugaan.

Berlainan dengan Parlimen yang menggunakan bahasa Melayu untuk berhujah, debat Gerakan-DAP itu ialah dalam bahasa Inggeris.

Dalam hujah-berhujah itu, Gerakan berpaut kepada hakikat bahawa kebudayaan Melayu harus menjadi teras kebudayaan nasional, sedangkan DAP tidak bersetuju dengan konsep itu. Memandangkan Syed Najib ialah seorang pensyarah kebudayaan di Universiti Malaya, maka apa yang beliau lahirkan bunyinya sangat meyakinkan.

Oleh sebab itu, dalam keadaan tertekan, pendebat-pendebat DAP jadi kepanasan dan mula melepaskan kata-kata hentaman peribadi. Orang yang serba salah dan bergemuruh ialah Dr Lim Chong Eu, Timbalan Pengerusi Gerakan waktu itu, kerana apabila ditanya, beliau tergagap dan teragak-agak untuk menyatakan beliau bersetuju dengan pendirian Syed Najib.

Nyata sekali debat itu dimenangi Gerakan, namun pilihan raya kecil yang diadakan tidak lama selepas debat itu memberikan kemenangan kepada DAP. Banyak pihak berpendapat: Gerakan menang debat, kalah pilihan raya. DAP kalah debat, menang pilihan raya.

Di Universiti Malaya dalam bulan Mei 1965, juga buat pertama kali Lee Kuan Yew dan Dr Tan Chee Khoon berdebat di Dewan Kuliah A. Lee waktu itu ialah Ketua Menteri Singapura yang sudah menyertai Malaysia dan mewakili partinya, PAP, dalam Parlimen Malaysia.

Dr Chee Khoon pula sudah terkenal sebagai Mr Opposition atau Bapak Pembangkang di Parlimen, mewakili Parti Keadilan Rakyat. Itulah debat yang paling hebat pernah saya ikuti secara peribadi.

Dengan pengucapan Inggerisnya yang licin melalui suara yang garau, Lee menggonyoh Chee Khoon atas pelbagai isu seolah-olah esok sudah tiada.

Sebaliknya, Chee Khoon, juga dengan bahasa Inggeris yang baik, tetapi disebabkan sebutan perkataan yang tidak persis, beliau agak tersangkut-sangkut, namun satu godamannya terhadap Lee membuatkan audiens ketawa terbahak-bahak.

Bunyinya begini (saya terjemahkan ke bahasa Melayu): “Ini Harry Lee, saya angkat topi. Bunyinya hebat, tetapi saya tidak tahu di mana pendiriannya sebenar. Di Parlimen hari itu, di sebelah pagi dia kata tidak, membangkang keras; tetapi di sebelah petang dia menjadi lembik; dari geleng kepala  ‘tidak’ bertukar kepada angguk ‘ya’.

Saya tahu dia sudah diberi ‘ubat kuat’ semasa waktu makan." Muka Lee bertukar menjadi merah macam udang kena bakar, sedangkan Chee Khoon tersenyum lebar, sinis.

Meskipun hanya 300 orang yang muat dalam dewan itu, namun seluruh negara mengikutinya. Apa yang tersiar dalam akhbar semua bahasa keesokannya membuktikan hakikat itu.

Walaupun rakyat rata-rata kurang pendidikan formal dan masih amat ramai yang hanya berpendidikan sekolah rendah ataupun buta huruf langsung, namun ekoran dua debat yang sensitif itu tidak langsung membawa kesan yang tidak diingini. Tiada perbalahan atau rusuhan.

Dengan pulur rakyat kini yang tegak di atas beribu-ribu sekolah rendah dan menengah dan beratus universiti, adalah wajar dikatakan bahawa rata-rata rakyat tahu membezakan antara intan dengan kaca.

Apa yang membimbangkan ialah ‘kalau kaca menjadi intan’ seperti lirik lagu P Ramlee dalam filem Nujum Pak Belalang. Jika berlaku begitu, kaca bertukar intan, nescayalah ia satu penipuan ataupun sihir semata-mata.

*Tan Sri Adam A Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet