DUA badan yang sangat mengerikan di AS kini ialah Jabatan Keadilan atau DOJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan atau FBI.

Bagi peminat-peminat filem mata-mata gelap atau detektif dan intip-mengintip atau ‘spy’, nama FBI lebih dikenali. Suatu ketika, mereka yang dikenali sebagai G-Men adalah terdiri daripada detektif FBI.

Baru-baru ini, FBI telah mendedahkan tuduhan terhadap  beberapa orang yang rapat dengan Presiden Trump sebagai pembelot yang bersekongkol dengan Rusia.

Antaranya persekongkolan itu menolong Presiden Trump mengalahkan Hillary Clinton dalam Pilihan Raya Presiden AS tahun 2016.

Cara yang digunakan ialah mendedahkan maklumat buruk tentang Hillary yang mempengaruhi keputusan pengundi memilih sama ada Trump atau Hillary.

Tuduhan terhadap orang-orang rapat Trump oleh FBI itu berlaku di bawah hidung Trump.

Ertinya, beliau sebagai Presiden AS tidak berkuasa menahan segala itu walaupun orang yang terlibat pernah bekerja untuk dirinya.

Perkembangan ini amat membimbangkan takut kalau-kalau kes 1MDB yang sedang ditangani oleh dua badan itu akan mengakibatkan petaka seperti itu.

Maksudnya, mereka yang dituduh oleh FBI dan DOJ dalam penyangakan dan salah laku kewangan sekitar 1MDB mungkin ditangkap dan dikurung sehingga tiba hari perbicaraan di mahkamah.

Itulah nasib yang dialami oleh Paul Manafort, bekas ketua kempen Trump, dan rakan rapatnya, Rick Gates, juga penyokong Trump.

Nyata sekali dua orang itu digunakan sebagai denak untuk mencekup yang lain-lain lagi, termasuk Presiden Trump sendiri.

Ini adalah ulangan taktik skandal Watergate yang menjatuhkan Presiden Nixon pada 1974. Perlu diingat bahawa tindakan FBI dan DOJ terhadap 1MDB dan salah laku kewangan sudah bertukar kepada tindakan jenayah, sedangkan tindakan sivil ditangguhkan dulu.

Menurut sumber dua badan itu, penangguhan itu bertujuan memudahkan tindakan jenayah.

Jika tindakan sivil lebih menekankan kepada usaha mendapatkan balik wang salah laku, tindakan jenayah pula boleh mengakibatkan pelaku-pelaku salah laku ditangkap, dituduh dan dikurung seperti yang dikenakan kepada Manafort dan Gates itu.

Tuduhan salah laku kewangan di 1MDB menghasilkan istilah kleptokrat yang bererti sebarang pemimpin yang mencuri sumber kekayaan negara.

Apa yang berlaku amat menyusahkan. DOJ sudah memaparkan bagaimana wang salah laku dimasukkan ke dalam sistem kewangan AS; kemudian dipindahkan ke dalam akaun peribadi, selain digunakan untuk membeli pelbagai jenis harta yang mahal-mahal, juga membuat filem kos tinggi.

Mutu dan hasil penyiasatan FBI dan DOJ dihormati dunia. Maka  maklumat yang didapati menjadi asas bertindak seperti anjing Rottweiler – tidak akan lepas.

Satu kes suatu ketika dulu yang diketahui dunia secara meluas melibatkan seorang yang bernama Marc Rich yang melakukan penyangakan wang di AS.

Beliau sempat melarikan diri ke Switzerland dan tinggal di sana lebih kurang 20 tahun. Dengan pertolongan kawan-kawannya yang rapat dengan Presiden Clinton, Rich mendapat keampunan.

Namun beliau meninggal tidak berapa lama kemudian. Beliau tidak begitu senang untuk pulang ke AS.

Penangkapan dan tuduhan terhadap orang rapat Presiden Trump itu pula menjadi bayangan terhadap apa yang akan dialami mereka yang dinamakan oleh DOJ AS. Walaupun nama-nama itu masih berbentuk samaran, namun batang tubuh orang yang sebenar sudah nyata di sisi DOJ dan diketahui secara meluas.

Bercakap tentang bayangan, datang pada ingatan saya lagu Dalam Air Terbayang Wajah, nyanyian P Ramlee dan Saloma dalam filem Masam-Masam Manis, sebuah filem humor-romantis yang diminati ramai.

Wajah yang terbayang dalam air itu sebenarnya bukan bayangan semata-mata, tetapi wajah orang yang sebenar. Justeru jika kita sangka FBI dan DOJ hanya bermain wayang dengan bayang-bayang, sangkaan itu mungkin meleset.

Robert Mueller yang menjadi penyiasat dan pendakwa kes sekongkol dengan Rusia itu ialah bekas Pengarah FBI yang berkhidmat amat lama dan amat dihormati. Dia terkenal kerana kegigihannya bertindak terhadap sesiapa yang disyaki bersalah. Adalah sesuatu yang menyedihkan kalau beliau dilantik pula mengetuai pasukan yang menangani kes jenayah 1MDB.

Beliau mampu menggunakan CIA dan FBI menyiasat di seluruh dunia dan hasilnya boleh digunakan untuk maksud pertuduhan dan perbicaraan.

Menurut rekod, jarang sekali yang dituduh boleh terlepas walaupun perbicaraan mengambil masa kadang-kadang tersangat lama.

Amalan politik dan pentadbiran AS boleh melemahkan Presidennya seperti terbukti berlaku sekarang: jarinya tidak terangkat untuk menolong orang yang menolongnya atau meminta pertolongannya.

Seperti Presiden Nixon, beliau sendiri mungkin mengalami nasib yang sama – meletak jawatan.