BUKAN semua tindakan British betul; tidak semua pula perbuatan British salah. Campuran salah dan betul itu membawa lebih 50 buah negeri ke dalam taklukannya.

Tiga dari kalangan negeri yang paling besar di dunia – India, Australia dan Kanada – tercekup ke dalam kolonialismenya.Tanah-tanah jajahan British mendepang dari birai timur ke hujung barat dunia. Itu sebabnya terdapat ungkapan yang berbunyi “matahari tidak turun di empayar British”.

Mungkin. Matahari yang turun di Kanada barat ialah matahari yang naik di Hong Kong. Begitu juga matahari yang naik di Jamaica ialah yang turun di Ireland. Jika parlimen di Westminster, London, dipanggil induk segala parlimen, maka pasti ia banyak yang boleh dicontohi dunia.

Di Malaysia sistem pentadbiran British atau UK dilaksanakan dari peringkat daerah ke Putrajaya. Amalan demokrasi ala UK terpancar di situ.

Kerajaan setempat di bawah nama majlis bandar raya, majlis perbandaran dan majlis bandaran adalah bercirikan kerajaan setempat (local goverment) di UK. Begitu juga pembentukan Dewan Undangan Negeri dan Parlimen pusat melalui pilihan raya.

Sejak 40 tahun dulu, apakah paling ketara di mata rakyat terhadap induk parlimen di Westminster  London itu? Jawapannya: siaran langsung sidang Dewan Rakyatnya (House of Commons) di TV.

Dalam jangka itu, Speaker paling berkesan dan paling dihormati ialah Betty Boothroyd. Selepas bersara pada tahun 2000, beliau dianugerahkan oleh Queen Elizabeth dengan gelaran Baroness, sama dengan gelaran Lord untuk orang lelaki, gelaran tertinggi di UK.

Saya pernah berjawatan sama dengannya di Parlimen Malaysia sangat kagum dengan prestasinya. Saya menjadi tetamu Dewan Rakyat UK pada tahun 1992, tahun pertama beliau menjadi Speaker setelah dipilih menjadi MP sejak 1973.

Sejak itu beliau menunjukkan bakat seorang yang adil, tegas dan tidak berat sebelah terhadap MP dari parti-parti berlainan, walaupun beliau ahli Parti Buruh. Pada tahun itu juga kami bersama-sama menghadiri persidangan di Cyprus anjuran Persatuan Parlimen Commonwealth. Apresiasi saya terhadapnya bertambah.

Selepas itu ketika berkunjung ke London, saya banyak kali melihat beliau di TV mempengerusikan majlis Dewan Rakyat UK. John Major dari Parti Konservatif dan Tony Blair dari Parti Buruh menjadi Perdana Menteri UK ketika Betty menjadi Speaker.

Mereka tidak terlepas daripada ditegur Betty apabila mereka tidak menjawab apa yang ditanyai mana-mana MP atau jika mereka terlencong daripada pokok persoalan. PM-PM itu mengaku kesilapan mereka dan meminta maaf. Cepat-cepat mereka membetulkan keadaan. Orang ramai pun suka menonton Betty mempengerusikan majlis parlimen di TV.

Itu sebabnya saya terdengar ramai orang, termasuk orang Malaysia, naik geli hati mengajuk Betty menyebut "Here! Here!" ketika mendisiplinkan Dewan.

Mujurnya waktu itu saya tidak perlu bertindak begitu di sini memandangkan majoriti ahli-ahli Dewan di sini, baik daripada pihak kerajaan mahupun daripada pihak pembangkang, termasuk perdana menteri dan ahli-ahli Kabinet, adalah agak tertib. Mereka mungkin rata-rata kurang bermaklumat seperti rakan-rakan mereka di London itu.

Bagaimanapun, bila ada rang undang-undang yang harus dibetulkan, saya meminta ahli-ahli tertentu ketika di luar Dewan membuat pembetulan secara aman dan teratur, dengan mengambil kira prihatin Kabinet yang sesama parti.

'Bila tarik rambut dalam tepung, pastikan rambut tidak putus, tepung tidak berkecai'. Bila berlaku begitu, grup ahli pergi berjumpa PM di kediamannya waktu malam selepas Dewan bersidang. Tercapailah penyelesaian baik. Pindaan berlaku dulu sebelum rang undang-undang disetujui.

Salah satu rang undang-undang begitu ialah berkenaan kebajikan wanita dalam hal pengguguran.

Kini Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia diakui menghadapi soal jauh lebih berat dari hal pengguguran itu. Hal 1MDB disifatkan banyak pihak sebagai skandal global. Ia diperkatakan media terkemuka seluruh dunia - tidak perlu diulang satu persatu.

Namun apabila Speaker Pandikar membiarkan soalan 1MDB tidak berjawab di sidang terakhir parlimen baru-baru ini, rakyat terkilan tidak dapat mendengar PM mereka menjawab terperinci sewajarnya demi kepentingan mereka. Pandikar saja tahu kenapa jadi begitu, tidak seperti dibuktikan di induk parlimen oleh Baroness Betty Boothroyd. Wallahuaklam.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet