BAKAL menteri AS (dipanggil Setiausaha) di bawah pentadbiran Donald Trump yang bermula pada 20 Januari nanti, kini sedang disoal jawab oleh Senator-Senator sebelum disahkan dalam jawatan masing-masing. Ini bererti bukan semestinya mereka akan diterima memegang jawatan.

Sudah ada berlaku penolakan, meskipun tidak begitu ramai. Kali ini bakal Setiausaha Negara dan Setiausaha Pertahanan ditanyai hebat tentang sikap mereka terhadap negara China terutama berkaitan dengan pemegangan China pada beberapa buah pulau kecil di Laut China Selatan yang sama-sama dituntut oleh Filipina, Malaysia, Vietnam dan lain-lain lagi di Asia Tenggara.

AS menganggap pemegangan itu sebagai ancaman terhadap kebebasan perkapalan memandangkan sejumlah besar bahan-bahan dagangan dunia melaluinya. Justeru ia menjejaskan keselamatan antarabangsa. Itu pemegangan haram, kata bakal Setiausaha Negara, menteri paling kanan. Tentunya kata-kata tajam itu tidak diterima dengan baik oleh China.

Pun begitu, China pastinya sudah tahu dan bersedia menghadapi sikap begitu. Dengan kata-kata lain, China tidak berharap untuk berada seperti ketika berbulan madu setelah melakukan tindakan begitu. Perang mulut akan terus berlaku. Namun angkatan laut AS sudah banyak beredar di sebelah sini dunia. Kapal-kapal induk dengan berpuluh kapal terbang penyerang masing-masing sudah hadir. Mungkin juga kapal selam yang membawa bom nuklear sudah berlegar dalam perut laut Lautan Pasifik.

Selagi perkembangan ini dapat diuruskan dengan baik, selagi itu kita rasa selamat. Kalau tidak, bukan saja perang dingin (kecam mengecam, pemulauan dan pemencilan) akan berlaku, malah perang panas mungkin juga meletus. Dikatakan, jika berlaku peperangan antara dua gergasi ini, ditambah dengan Rusia, ia mungkin menjadi Perang Nuklear, beribu-ribu kali ganda tragedi Nagasaki dan Hiroshima. Andaian ini amat sut, dan dunia yang bijaksana tidak mahu langsung kekiamatan ini berlaku.

Cuba kita lihat perihal hubungan AS, China dan Malaysia sejak abad ke-19. Sejarah ekonomi mengatakan China ialah negara terkaya di dunia pada abad ke-18, tetapi disebabkan menyusupnya rasa tidak selamat akibat kedatangan kuasa Barat, China mula menutup tabirnya. Bermulalah kejatuhan ekonominya kerana perdagangannya dengan dunia amat terjejas. Kelemahan ini menggalakkan Inggeris, Perancis, Sepanyol, AS dan Portugis bertandang.

Cengkaman berbentuk penjajahan ke atas Macau dan Hong Kong menjadi amat ketara. Kehadiran Inggeris dan AS di bumi China mencetuskan Perang Candu dan pelbagai peristiwa hodoh. Kota Shanghai menjadi kota ala Barat yang sangat popular. Syarat-syarat sosial, tidak boleh itu dan ini, dikenakan kepada Pribumi China seolah-olah Shanghai itu terletak di England atau AS.

Latar begitu menimbulkan keadaan di mana begitu ramai rakyat susah di selatan China (sekitar Hong Kong dan Canton) digalakkan pergi ke AS dan Asia Tenggara, terutama di sini, Malaya. Di AS, mereka bekerja melombong emas dan membuat landasan keretapi. Di Malaya, mereka melombong bijih timah dan emas. Di Singapura, mereka menjadi pekerja pelabuhan, kelasi kapal, pekedai kecil, penarik beca dan pelbagai kerja lain yang memudahkan kehidupan penjajah Inggeris. Dari situlah orang Cina berkembang ke status sekarang. Dominasinya ke atas kegiatan ekonomi tidak perlu diperikan lagi.  

Di sini, Laksamana Cheng Ho berkunjung ke Melaka dalam abad ke-15. Sultan Melaka membalas kunjungan itu dengan menghantar Datuk Bendahara. Demi pematerian muhibah, Hang Li Po dijodohkan dengan Sultan Mansur. Kejatuhan Melaka kepada Portugis dan Belanda yang bermula pada 1511 menyekat kedatangan orang Cina sehingga Pulau Pinang diduduki Inggeris pada hujung abad ke-18.

Bila giliran Singapura dan Tanah Melayu didatangi semula sejak awal abad ke-19, sauh orang Cina mula dilabuhkan semula seperti yang disebutkan di atas. Apa yang berlaku selepas itu sudah menjadi sejarah.

Sejak 25 tahun dulu apabila China keluar dari kepompong komunis dan mengamalkan perdagangan menurut cara kapitalis, ia kini menjadi salah satu pemain terbesar di dunia. Wangnya sudah bertebaran seantero bumi. Di Kuala Lumpur dan Iskandar, pembelian dan pelaburannya amat luas. Bakal pembikinan keretapi laju moden dimungkinkan oleh wang China juga. Maka tidaklah begitu salah jika dikatakan, wang China akan mencari sasarannya dalam semua aspek ekonomi Malaysia. Justeru, ekonomi Malaysia tidak ragu-ragu lagi akan menjadi lebih genap dari segi tuntutan pengurusan ekonomi dan politiknya.

* Tan Sri Adam A Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet* Tan Sri Adam A Kadir, mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet