KINI dunia bertumpu kepada AS atas sebab-sebab yang tidak betul. Sejak beberapa bulan dulu ia dilanda ribut taufan yang maha dahsyat.

Negeri-negeri Texas dan Florida yang masing-masing kaya minyak dan peranginan dilanda teruk, mengakibatkan banyak nyawa terkorban dan tercedera, selain rumah, bangunan dan harta benda runtuh - ranap berkecai.

Nilai kehancuran berbilion dolar. Wilayahnya di luar tanah besar, Puerto Rico, akhir-akhir ini menjadi ibarat padang jarak padang tekukur dengan segala keruntuhan dan keranapan.

Di tempat-tempat lain, AS terus mengorek dan mewujudkan permusuhan dengan Iran dan Cuba, tidak perlu disebut Rusia dan Korea Utara. Ribut taufan adalah kejadian alam.

Namun dalam legenda dan sejarah, malapetaka alam sering dikaitkan dengan kekayaan Tuhan menjatuhkan hukuman atas sebab kezaliman, kejijikan dan kehodohan. Malahan terdapat banyak episod dalam Silasatul Ambia atau Sejarah Nabi-Nabi yang menceritakan tentang petaka-petaka begitu.

Suatu ketika dulu dalam lawatan saya ke Pulau Canary yang terletak tidak berapa jauh dari Maghribi, terdapat satu maklumat yang amat menggerunkan. Sebuah gunung berapi jereguk yang dalam perutnya sentiasa menggelegak lahar lambat laun akan meletup.

Letupan itu akan mengakibatkan tsunami maha besar dan akan menggulung ke pantai timur AS dalam jarak 5,000 kilometer. Pantai sepanjang 2,500 kilometer dari Miami ke Boston akan kecundang sedangkan limpahannya seluas 5 kilometer dari pantai akan mengorbankan nyawa dan harta benda yang tidak terperi.

Apakah AS sudah bersedia menghadapi petaka ini tidaklah diketahui. Mungkin dunia tidak memberikan perhatian sangat memandangkan AS sebagai negara paling kuat dan paling kaya tentunya mempunyai sumber akal dan wang untuk menghadapinya.

Nasib buruk rakyat Puerto Rico hanya menjadi tontonan masyarakat dunia di TV. Tiada pihak luar yang menyumbang. Pendek kata, orang kaya tidak perlu sumbangan.

Bagaikan tidak cukup dengan masalah-masalah itu, AS di bawah Presiden Trump kini mengorek sebab untuk terus bermusuh dengan Iran dan Cuba.

Secara lantang Trump menuduh Cuba menggunakan gelombang bunyi (sonics) untuk menjejaskan kesihatan orang AS yang bertugas di kedutaannya di Havana, ibu kota Cuba. Oleh itu beliau mengarahkan staf kedutaan itu pulang ke AS dan kedutaan Cuba di AS ditutup.

Ramai orang yakin tindakan Trump itu semata-mata hendak mengambil hati orang-orang Cuba di AS, terutama di Florida yang anti-Castro, mendiang pemimpin ulung Cuba.

Kebanyakan mereka telah lari dari Cuba apabila Castro sebagai pemimpin gerakan komunis merampas kuasa di sana dalam satu revolusi pada 1959.

Dengan mengambil hati mereka, Trump terjamin mendapat sokongan mereka akan datang sebagaimana tahun 2016. Trump juga berupa penyokong totok Israel. Menantunya, Jared Kushner, ialah orang Yahudi.

Kushner dijadikan sebagai penasihat penting Trump. Dalam ucapannya di Persidangan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini, Trump secara lantang dan terbuka mengecam Iran bagi pihak Israel, kononnya perjanjian nuklear dengan Iran yang disertai AS, UK, Jerman, Perancis, EU, China dan Rusia tahun 2015, tidak mantap, berat sebelah, justeru Iran telah bertindak tidak selari dengan semangat perjanjian itu.

Walaupun Badan Pengawas Tenaga Atom Dunia mengesahkan Iran tidak melanggar terma dan syarat perjanjian itu, Trump berkeras menyokong Israel dan berkeras akan keluar dari perjanjian itu.

Dunia sedar Trump hendak menenteramkan Israel, bimbang kalau-kalau Iran akan memiliki bom atom. Israel hendakkan AS memastikan biar Israel saja mempunyai bom atom di Asia Barat. Pengesahan bahawa Israel mempunyai 300 bom atom telah dibuat Presiden Carter, Presiden AS (1976-1980), tiga tahun dulu.

Kunjungan saya ke Iran adalah satu kembara pembuka mata. Sumber minyaknya yang banyak telah menggalakkan UK dan US campur tangan hingga menjadikan seorang pegawai askar membentuk dinasti Pahlavi. Kedua-dua kuasa itu memastikan kepentingan minyak masing-masing dijaga dinasti itu.

Bagaimanapun, dinasti itu hancur menjelang 60 tahun akibat kebangkitan rakyat Iran pada 1979. Sejak itu, sebab demi sebab, alasan demi alasan, AS berazam melemah dan melumpuhkan Iran.  

Semangat Revolusi Amerika 1776 menentang British 'digemilangkan' sedangkan semangat Revolusi Iran 1979 diperlekehkan.

Nasib Cuba pun sama. Revolusi Rakyat Cuba 1959 juga dicemuh dan dipermurahkan sehingga sekarang.

Kesan yang tinggal pada diri saya selepas berkunjung ke Iran dan Cuba ialah: Mereka hendak dibiarkan hidup dengan cara sendiri. Orang Cuba lebih miskin daripada rakyat Iran, namun kedua-dua rakyat itu berpuas hati dengan kesederhanaan masing-masing.