SUATU ketika dulu saya pernah memperkatakan tentang penjualan ubat di radio di mana orang yang membuat promosi bercakap seperti seorang doktor pakar, tahu sangat inti-inti ubat yang dijualkan.

Ia berlaku begitu kerana tiadanya kawalan yang tegas daripada pihak berkuasa perubatan dan keselamatan  diri. Nyata sekali pihak penjual hendak melariskan ubat mereka, walaupun bukan benar-benar ubat, sedangkan pihak pembeli amat terpengaruh dengan kata-kata menarik yang didengari mereka.

Pemerian yang mengatakan kecantikan diri mesti datang dari dalaman yang kemudian melahirkan aura di wajah adalah satu ungkapan indah dan boleh meyakinkan.

Namun ubat yang dijual itu tidak semestinya mengubati dalaman diri sehingga terpancar di kulit dan wajah. Di negara-negara maju, antaranya AS, promosi begitu tidak dibenarkan.

Ia adalah satu pemalsuan. Akibatnya akan menjejaskan kesihatan pengguna. Banyak pihak, jika degil, dikenakan denda besar. Sering firmanya menjadi bankrap dan taukenya dihukum penjara dan denda atau kedua-duanya sekali.  

Akhir-akhir ini pihak berkuasa AS telah mendenda firma Jerman VW (Volkswagen) sebanyak 4 bilion dolar AS kerana memalsukan cara menguji kereta dieselnya.  Melalui satu manipulasi, ujian itu menghasilkan kesimpulan bahawa penggunaan minyak diesel tidak mencemarkan udara.

Begitu ramai orang membelinya kerana, pertama, minyak diesel lebih murah dari minyak petrol, sedangkan satu gelen diesel mampu pergi lebih jauh dari segelen petrol. Enjin pula diakui lebih terjaga.

Disebabkan persaingan yang sengit, maka terserlahlah pemalsuan itu. Ini amat memalukan firma VW yang berupa pembuat kereta paling besar di dunia. Saya percaya generasi orang muda pada tahun-tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an yang bertanggungjawab menjadikan VW paling popular di sini terasa rendah hati mengetahui nasib VW ini. Namun kita angkat tabik kepada AS kerana teguh dan utuh menjaga piawaian demi kebaikan pengguna dan rakyat keseluruhannya. Bila satu pesalah terlepas, banyak lagi akan mengekori perbuatan buruk begitu.

Inilah  yang dipanggil pengawalan mutu. Jika pengawalan begini menjadi satu budaya, maka hasilnya menimbulkan keyakinan pada diri orang ramai. Pihak berkuasa yang mendapat keyakinan orang ramai adalah dialu-alukan oleh semua. Cemikan dan perlekehan dapat dielakkan.  

Selain dari itu, kini timbul pula gejala beg keselamatan yang sangat berbahaya. Beg udara ini terletak dalam cakera stereng, betul-betul di hadapan pemandu. Bila berlaku perlanggaran atau kemalangan, beg ini akan terpacul keluar, lantas menyendal dada dari himpitan stereng.

Itulah yang sepatutnya berlaku. Sebaliknya apabila ia mengakibatkan kecederaan, maka kesan yang dialami oleh sebuah firma Jepun yang membuat beg begitu, bernama Takata, amat meruntuhkan.

Mahkamah AS menjatuhkan denda 1.5 bilion dolar. Bagaimanapun, untuk memastikan firma itu dapat membayar pampasan kepada mereka yang terlibat di seluruh dunia, termasuk di AS, ia dikenakan 25 juta dolar dulu.

Ratusan juta dolar diketepikan untuk menampung bakal keputusan mahkamah memberikan ganti rugi kepada mangsa.  Begitulah tegasnya pihak berkuasa menjalankan tugas demi kepentingan orang ramai.  

Bagaimana pula pemalsuan makanan mewah, katalah madu? Di AS, hasil ujian mendapati 75 peratus daripada madu yang dijual adalah berunsur palsu, ertinya ada campuran sirap, tepung, kanji dan sebagainya.

 Disebabkan permintaan amat tinggi, maka jalan keluar yang diberikan oleh pihak berkuasa ialah mensyaratkan pengusaha meletakkan nota yang mengaku madu berkenaan mengandungi campuran yang tidak asli seperti disebutkan di atas, tetapi selamat dimakan. Justeru harganya jauh lebih rendah daripada harga madu yang tulen.

 Di sini, agak sukar bagi madu menjadi satu perusahaan kerana tidak ada tempat besar-besaran yang boleh dijadikan tempat pembiakan lebah dan penghasilan madu. Apabila ada pengusaha yang mengaku madu yang dijual itu asli, maka jalan yang paling baik ialah melakukan ujian kepada madu berkenaan.

Menurut pihak yang berwibawa, caranya senang saja. Satu, titiskan madu ke dalam air segelas. Jika ia turun seperti manik, ia tulen. Dua, semut tidak menghurung. Ia takut terlekat kerana madu tulen adalah pekat dan bergam.

Tiga, jika kepala mancis dicelup, madu yang tulen tidak menyerap, maka kepala mancis menyala apabila digesek. Walaupun ketiga-tiga ujian itu mungkin bukan 100 peratus genap, sekurang-kurangnya kita dapat tahu sejauh mana ketulenan apa yang diakui madu asli itu.