AMAT menyinarkan imaginasi saya apabila Pele dalam usia 17 tahun dimahkotakan sebagai pemain terbaik dunia selepas menolong Brazil menjuarai Piala Dunia 1958 di Sweden.

Kenapa begitu? Saya setahun lebih muda daripadanya sedang ghairah bermain bola untuk mendapat tempat dalam pasukan bola Sekolah Sultan Abu Bakar. Kuantan.

Kemerdekaan Malaya baru memasuki setahun. Dunia luas baru mula terbuka kepada semangat kebebasan. Seorang semuda Pele telah mencapai kecemerlangan bola begitu rupa, sedangkan kami yang dalam baya usianya masih lagi bertungkus-lumus untuk mencari tapak dalam sukan yang paling popular di planet ini.

Justeru, generasi saya ialah generasi Pele. Waktu itu tidak ada TV lagi. Radio Malaya didengari dari pagi sampai ke sut malam. TV hanya datang apabila Malaya menjadi Malaysia pada tahun 1963.

Namun untuk mengetahui secara terperinci tentang apa yang berlaku di Piala Dunia ialah dengan membaca akhbar dalam pelbagai bahasa: Inggeris, Melayu, Mandarin dan Tamil.

Perbezaan bahasa tidak menyekat kita untuk bercakap hal yang sama: bola. Pele di sana sini. Satu kepintaran Pele yang tidak habis-habis disebut ialah bagaimana dia menerima bola ketika gawang gol di belakangnya. Dia menerima hantaran dengan kaki kiri, ditenteng ke kaki kanan untuk melepasi kepalanya sebelum dia memutarkan badan merembat bola itu terus menerobos gawang gol pasukan lawan.

Untuk sekian lama ketika berlatih di padang sebelah petang, itulah yang dicuba-cuba. Namun dalam senario panas Piala Dunia, berlakunya situasi begitu amat mengagumkan. Ia membuktikan Pele seorang yang tenang, tidak gopoh, mengambil masanya sepersis mungkin.

Apabila ditonton filem Piala Dunia itu di pawagam sebulan kemudian, ternyata sekali tendangan keemasan Pele itu tidak kencang, malah ia satu tendangan sederhana yang mementingkan arah tuju bola di sudut tiang gol.

Sebenarnya dalam empat kali Brazil bersama Pele di Piala Dunia – 1858, 1962, (kandas 1966) dan 1970 – Pele hanya berperanan penting dua kali saja. Di Chile 1962, dia hanya bermain dua kali sebelum dia tercedera dibentes lawan. Begitu juga Piala Dunia 1966 yang berlangsung di England.

Selepas mengalahkan Bulgaria dalam perlawanan pembukaan sebagai juara bertahan, Pele digasak oleh pemain-pemain Hungary dan Portugal sehingga beliau digalang terhincut-hincut keluar padang. Tajuk utama berita dunia berbunyi: Raja Turun Takhta.

Walaupun pemain terbaik tahun itu ialah Eusebio dari Portugal, seorang kulit hitam dari Mozambique (tanah jajahan Portugal), namun England menjadi juara pertama kali dan terakhir setakat ini setelah mengalahkan Jerman Barat dengan gol yang dianggap kontroversi hingga sekarang.

Siaran radio langsung dari BBC ketika pameran MAHA diadakan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur membuatkan pengunjung pada malam itu (tengah hari di Stadium Wembley, London) lebih bertumpu kepada perlawanan akhir England-Jerman dan bukan pada pelbagai hasil agro, ternakan dan lain-lain lagi.

Brazil empat tahun kemudian, 1970, telah menghasilkan pasukan Piala Dunia yang paling baik dalam sejarah. Ini sering diulang tayang di pelbagai TV. Pita video dan DVD juga boleh didapati di mana-mana.

Ia mempamerkan kegemilangan Pele yang terakhir: percubaan menyumbat gol dengan tendangan tinggi dari tengah padang tetapi terbabas sedikit; tendangan gol ternganga tetapi tidak masuk; memperdaya ‘goalie’ dengan melompat untuk menerima hantaran bola, justeru niat ‘goalie’ hendak cederakan kakinya terselamat; juga tendangan langsung dan ‘heading’ yang luar biasa.

Malaysia baru ada stesen satelit bumi di Beserah, namun kita hanya mendengar Radio Malaysia. Keterbatasan siaran TV langsung ketika itu membataskan jumlah penonton. Hanya ketika Muhammad Ali melawan George Foreman di Zaire, 1974 dan Joe Frazier di Manila, 1975, jumlah penonton TV mengatasi 1 bilion.

Hujung minggu ini, Liverpool melawan Real Madrid untuk menjadi Juara Liga Eropah. Begitu berminat warga emas yang terdiri daripada mantan menteri, KSN, KSU dan kenamaan yang maha kaya tentang perlawanan ini ketika makan-makan dan minum-minum di Kelab Golf RSGC, kelab golf tertua di Malaysia.

Terbuktilah: ‘sekali bola di sekolah, selama-lamanya bola!’ Pada usia ‘senior’ ini, mereka tidak ada pilihan lain melainkan menggantikan bola dengan golf. Itulah ‘ajaibnya’ sukan bola ini!

Tidak berapa lama dulu saya pergi ke stadium Maracana di Rio de Janeiro, Brazil, dalam kunjungan ke Amerika Selatan. Kapasitinya dulu sebagai stadium terbesar dunia ialah 200,000, kini selepas renovasi hanya 70,000. Ia menjadi saksi gundah-gulana apabila Brazil kalah mengejut kepada Uruguay 2-1 untuk menjuarai Piala Dunia 1950.

Kapasiti yang jauh mengecil itu mengambil kira hakikat bahawa bola kini ialah sukan tontonan TV yang mencakup berbilion-bilion audiens. Justeru Presiden Fifa lebih penting daripada Presiden AS, China dan Rusia.                                                       

* Tan Sri Adam A Kadri mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet