TIGA  akhbar yang rapat dengan hati saya begitu lama ialah Utusan Malaysia (UM), New Straits Times (NST) dan Berita Harian (BH) yang terangkum dalam apa yang disebut sebagai media arus utama di Malaysia.

Jelas sekali saya tidak menamakan mana-mana akhbar dalam bahasa Cina dan Tamil.

Ini kerana saya tiada pengetahuan dalam bahasa-bahasa itu walaupun Nanyang Siang Pau, Sin Chew, China Press, Tamil Nesan, Nanban dan Tamil Osai selalu disebut-sebut. Banyak lagi akhbar lain yang wujud, ada yang kekal lama, ada singkat usia, bergantung pada faktor jumlah pembaca ataupun tindakan pihak berkuasa.

Melihat pada data jumlah naskhah pengedaran yang terakhir, agak mengejutkan NST yang pernah menjadi akhbar top untuk semua ras di Malaysia begitu lama amat menurun pengedarannya.

Nasib BH yang sekeluarga dengan NST (penerbit yang sama) juga selari dengan NST, sedangkan UM (setali perut dengan Utusan Melayu) agak boleh bertahan walaupun turut melorot.

Umumnya kita boleh menerima alasan bahawa dalam keadaan letusan media yang luas dan pelbagai di seluruh dunia, akhbar sudah kurang dibaca.

Alasan satu lagi ialah kualiti sesebuah akhbar pada tekanan berita dan hal-hal yang menjadi liputan.

Penasihat akhbar ini, Datuk Abd Jalil Ali, tidak berapa dulu berkata, trend itu menjejaskan semua media termasuk akhbar Sinar Harian ini sekali.

Kejatuhan jumlah edaran antara 20 hingga 50 peratus sudah menjadi lumrah. Lebih intriging lagi, Abd Jalil menegaskan kedudukan ini membawa bahaya kepada kerajaan BN memandangkan maklumat yang hendak disampaikan kepada publik terutama penduduk kampung menjadi terhad.

Benar sekali. Ini belum diambil kira kurangnya orang mendengar radio dan menonton TV kerajaan/BN seperti RTM dan TV3 sebab disaingi radio-radio dan siratan TV Astro.

Kita tidak boleh mempertidakkan faktor tahap pendidikan publik kini. Radio Malaya ketika kebanyakan rakyat hanya bersekolah di peringkat rendah sedangkan universiti belum wujud adalah paling berkesan.

Berita dan maklumat yang disiarkan diterima bulat-bulat dan menjadi panduan hidup harian.

Kini dengan jumlah universiti lebih 100 buah di negara ini, dengan beribu-ribu buah sekolah menengah menyelinap hingga ke ceruk-ceruk kampung, maka tahap celik maklumat dalam kalangan generasi kini amat tinggi. Jika generasi dulu agak kurang mengetahui, anak-anak mereka pula tidak kering lidah bercakap begini begitu kepada ibu bapa mereka menurut fakta dan persepsi mereka.

Bagaimanapun, taktik menggunakan fakta untuk memesongkan kesimpulan adalah satu taktik dalam pertarungan maklumat.

Sekarang ini pihak yang anti kerajaan BN tidak lekang menggunakan isu 1MDB yang terus dipedihkan dengan maklumat baharu dari London, Zurich Switzwerland, Washington DC AS, Singapura dan lain-lain lagi.

Ini bukan saja terdapat dalam akhbar-akhbar bukan aliran utama seperti Sinar Harian ini tetapi juga di media sosial di internet.

Pihak-pihak dalam PH nyata sekali menggunakan maklumat itu meluas sekali; tentulah mereka meneruskannya lagi bersungguh-sungguh setelah terbentuknya PH secara rasmi.

Apa yang saya maksudkan penggunaan fakta untuk memesongkan fakta ialah begini. Media bukan arus utama (BAU) menyiarkan baur-bauran 1MDB yang menjejaskan DS Najib, sedangkan media arus utama (MAU) mengutil Tun Dr M kerana kononnya mengayakan anak dan kroninya dulu.

Sekurang-kurangnya inilah yang berlaku kepada saya apabila seorang rodong dari kampung mencuba serius mengubah fikiran saya.

Jelas sekali orang-orang di kampung amat terbatas pendedahan mereka kepada maklumat.

Apa yang didapatinya melalui saluran terbatas itu dicurahkan kepada saya. Jika benar ada kesilapan dulu, ia harus diungkitkan dulu, tanpa takut hilang jawatan atau peluang ekonomi.

Dua kesilapan tidak menjadikan satu betul.

Rekod menunjukkan anak Tun Dr M mendapat projek tertentu dan beliau meminjam duit bank untuk meneruskan bisnes.

Untung rugi adalah risiko bisnes. Anak buah Tun Daim juga diberi projek dan mereka meminjam duit bank untuk maksud yang sama.

Iri hati dan dengki daripada pihak lain adalah lumrah. Ini dibandingkan dengan 1MDB yang maklumatnya sudah melimpah ruah di atas meja; tidak perlu ditambah dan diulangi lagi.

Justeru, media MAU dan BAU akan terus bersilat dan bergayung.

Publik yang menjadi pengundi PRU14 nanti akan menentukan siapa yang membuat langkah sumbang dan  sengelat dan siapa yang lebih munasabah.