BUKAN sekarang saja Arab Saudi menunjukkan tanda bahawa ia sudah kekurangan wang apabila meminjam 10 bilion dolar dari IMF (Tabung Wang Antarabangsa) di AS.

Dalam tahun-tahun 1950-an pun negara itu ditolongi AS dan Barat mengatasi masalah kewangan. Pada waktu itu ia menjadi sebuah negara hanya selama 20 tahun sejak 1932.

Penubuhan negara itu ialah ganjaran yang diberikan kepada keluarga Saud setelah bekerjasama dengan Barat, terutama British dan AS, mengalahkan Kerajaan Uthmaniah di Turki yang memerintah sebahagian besar bumi Arab begitu lama.

Untuk menegapkan ekonominya, Saudi memasuki perjanjian jual-beli minyak dengan AS pada 1938 ketika Presiden Franklin Roosevelt menjadi Presiden AS.  

Dikatakan duit yang begitu banyak daripada hasil minyak itu dibazirkan tanpa mengikuti prinsip pelaburan yang baik.

Sinisme yang digunakan ialah kerajaan Abdul Aziz Saud, Raja Arab Saudi pertama, belum pandai berpindah dari belakang unta kepada keselesaan kapal terbang.

Selepas beliau meninggal pada 1953, enam anaknya daripada isteri-isteri yang berlainan telah menaiki takhta, termasuk King Salman yang memerintah sekarang.

Soalnya sekarang, apa akan jadi kepada Arab Saudi dan negara-negara Arab lain apabila sumber tenaga lain menggantikan minyak?.

Soalan ini timbul memandangkan Tanah Suci Makkah dan Madinah terletak dalam Arab Saudi.

Ertinya, apabila ia menghadapi kesulitan kewangan, ia akan mengakibatkan masalah sosial dan ekonomi, dua aspek yang krusial untuk Muslim seluruh dunia pergi ke sana menunaikan Rukun Haji.

Dipercayai Arab Saudi telah mula dan dengan perlahan-lahan menunjukkan sikap sederhana kepada musuh-musuhnya yang sebenar dan yang dibayangkan.

Penentangan terhadap Syiah bukanlah satu penentangan yang senang dan murah. Ia memerlukan sumber mental, tenaga, politik dan duit yang mahal.

Iraq pasca Saddam Hussein sudah didominasi Syiah, sedangkan Iran dengan Syiahnya terus kuat membesar, tidak takut kepada AS. Jumlah penduduk Iran dan Iraq sebanyak kira-kira 120 juta, dengan pengalaman kental berjuang dengan AS, bukan calang-calang untuk ditangani Saudi yang berpenduduk hanya 33 juta.

Penglibatan Saudi dalam pengeboman di Yaman meragut nyawa orang yang tidak berdosa begitu banyak.

Ia juga mengetuai percaturan politik di Qatar. Semuanya itu meletakkan Saudi di bawah teropong mikroskop.

Qatar diasak ke tembok sehingga tidak ada pilihan lain melainkan berbaik dengan Iran dan Turki, dua musuh Saudi, berjumlah penduduk 160 juta. Kedua-duanya pernah menjadi kuasa besar dunia dalam sejarah, berkurun-kurun sebelum Saudi wujud.

Dalam penunaian fardu haji baru-baru ini, diberitakan bahawa pihak berkuasa Saudi telah mengalu-alukan 60,000 jemaah dari Iran secara terbuka, satu tindakan yang tidak pernah dilakukan.

Dengan berlatar-belakang itu semua, ditambah dengan prospek masalah minyak, Saudi sayugia bersikap wajar begitu. Kempen bahawa Syiah itu bukan Islam, umpamanya, tidak mungkin sampai ke mana-mana.

Muslim seantero dunia sudah cukup tercabar oleh bukan Muslim. Barat tidak hiraukan itu sangat. Mereka hanya pentingkan ragutan wang. Apa dan sesiapa saja yang boleh menjaminkan keselamatan ragutan itu akan disokongnya. Lagi pula, kini Barat sudah berada dalam proses menggantikan minyak dengan sumber tenaga lain.

Saudi dan seluruh Arab yang tegak di atas duit minyak sudah pun tahu.

Baru-baru ini jenama kereta utama dunia – VW, BMW, Mercedez dan Daimler – telah mengumumkan kepada dunia secara lantang bahawa dari sekarang hingga 20 tahun lagi semuanya akan berpindah daripada penggunaan minyak kepada elektrik.

Lambat laun rakan taulan mereka di AS, Jepun dan Korea akan menunjukkan sikap sama.

Selain elektrik, air pun sedang difikirkan secara serius. Air mengandungi hidrogen yang boleh menjadi sumber tenaga. Masalahnya sekarang ialah proses hendak mengeluarkan hidrogen dari air adalah amat rumit dan mahal.

Selepas beratus tahun minyak menjadi sumber tenaga, manusia yang terlibat mencari rezeki dengannya baik langsung atau tidak berjumlah jutaan orang, selain daripada individu, kompeni dan kerajaan yang mendapat untung dan hasil lumayan.

Di sinilah letaknya kesukaran untuk meniadakan penggunaan minyak. Namun begitu, bumi dan manusia Arab yang hanya bergantung kepada minyak untuk kemakmuran mereka harus benar-benar bersedia, lebih bersedia daripada berjuta-juta mangsa yang dilanggar ribut taufan di Texas dan Florida di AS dan pulau-pulau di laut Caribbean,