DULU-DULU lagi sudah kerap didengar dari mulut ke mulut dan di muka akhbar kisah Pak Mat berparang dengan Pak Man kerana bersengketa akibat batas padi mereka berubah.

Pak Mat mempersoalkan kenapa permatang yang di hujung sekali telah berubah, banyak termakan tanahnya: bucu tanah di pangkal pokok nangka sebelah matahari turun berubah hingga ke pangkal pokok kelapa gading sebelah matahari naik. Kenapa pokok nangka masuk sebelah permatang Pak Man, menyerung ke sebelah kiri pokok jambu batu di sana?

Bukan saja kawasan dicuri, padi juga lebih banyak Pak Man boleh ditanam. Lima batang kelapa pun kena sapu. Ikan haruan yang banyak dalam lopak sebelah sana pun disapu sama. Sengketa meletup tiba-tiba.

Sebenarnya, beliau tidak begitu cakna sekian lama kerana pendapatan dari padi dan beras adalah lumayan; kos hidup pun tidak begitu tinggi. Apabila keadaan ekonomi sudah menjadi susah, barang-barang dan minyak petrol menjadi mahal - antara sebabnya ialah GST – maka mulalah sebab-musabab yang selama ini tidak ketara sengaja dicari.

Pak Man pun jatuh susah seperti Pak Mat. Api marah pun cepat bersemarak. Terpacullah parang panjang masing-masing sebagai satu cara penyelesaian masalah. Soal siapa betul siapa salah adalah soal lain. Hanya keputusan yang penting.

Itu ialah andaian berdasarkan realiti hidup di desa. Ia boleh dibandingkan dengan masalah politik yang dihadapi oleh pihak kerajaan dan pembangkang. Satu, BN; satu lagi, Pakatan Harapan (yang lain, tidak disebut).

Kalimat rasmi ‘persempadanan semula’ secara ringkasnya ialah ‘ubah batas’ seperti yang tercatat pada tajuk tulisan ini. Walaupun sengketa kekampungan Pak Mat-Pak Man tidak sama dengan politik ‘ubah batas’ di peringkat nasional, namun kesan dan tujuannya adalah sama: hendak mengaup kelebihan hasil.

Dalam mana-mana pertandingan, tidak ada yang lebih baik daripada kemenangan, apalagi jika kemenangan itu akan membawa kuasa memerintah negara dan negeri.

Jika Pak Mat-Pak Man berparang-parangan, parti-parti politik pula bermati-matian. Justeru usaha ubah batas ini sangat-sangat kritis. Ia bukanlah sesuatu yang baharu.

Istilah ‘gerrymandering’ atau ‘ubah batas’ yang dipakai di AS sejak 200 tahun dulu mencerminkan taktik untuk mendapatkan kelebihan hasil PRU sudah lama wujud di negara demokrasi teratas dan kuasa nombor satu dunia itu.

Pada awal abad ke-19, Gabenor negeri Massachusetts di AS bernama Gerry telah mengubah batas sempadan kawasan PRU. Hasilnya, pengundi-pengundi dipecahbelahkan menurut keturunan (seperti Irish, Inggeris, Itali dan Jerman) dan warna kulit (orang Latino dll.) untuk memastikan calon-calon pilihannya menang dan beliau boleh menubuhkan kerajaan dan kekal sebagai gabenor. 

Keputusan ubah batas sempadan itu direalisasikan oleh majoriti kerusi parti kerajaan dalam Parlimen Massachusetts itu. Sejak itu gerrymandering dianggap sebagai satu langkah demokrasi asalkan Parlimen meluluskannya.

Sekarang ini ia bukan senang dilakukan memandangkan kecerdikan pengundi membaca langkah begitu. Apabila taktik itu terlalu nyata dan rakus, ia sering ‘memakan tuan’. Itu ungkapan Melayu, justeru budaya ‘makan tuan’ memang kerap berlaku di bumi kita ini dan amat difahami benar-benar.

Gerrymandering adalah cantuman nama gabenor itu, Gerry, dengan mandering yang datangnya daripada salamander, iaitu mengkarung licin dan berkilat, sejenis cicak besar. Jelaslah taktik begitu adalah ‘licin’ dan ‘licik’ macam mengkarung.

Strategi untuk menang PRU oleh kedua-dua pihak, baik bak ‘mengkarung’ mahupun yang lain-lain, kita selalu dengar di kampung dan kota, begini: 'Siapa pun beri duit, kita ambik. Siapa kita undi, itu hak kita.’

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet