JIKA peta dunia dibentangkan dan semua tempat yang bermasalah dibubuh asap berkepul, maka seluruh peta itu berasap. Dari UK ke Rusia; dari Afrika Selatan ke Tunisia; dari Venezuela ke AS; dari Yaman ke Turki; dari Pakistan ke Korea, dan lain-lain lagi.

Yang paling teruk ialah pertelagahan antara tiga kuasa dunia: AS, Rusia dan China. Soal konon campur tangan Rusia dalam pilihan raya umum AS 2016 berlarutan hingga sekarang, menelan belanja beratus juta dolar. Banyak yang sudah menjadi korban apabila penjawat-penjawat penting berhenti atau dibuang kerja. Pertelagahan terus berlaku antara penafian Presiden Trump dengan asakan FBI dan musuh politik.

Namun begitu, Trump telah mengumumkan akan bertemu dengan Presiden Rusia, Putin untuk mencari jalan demi mencapai titik persetujuan untuk memenuhi kepentingan bersama. Pada satu masa Trump menaikkan cukai import dari China. Kata-kata panas dan saling memberi amaran pun timbul. Dari situ berdenting pula pendapat yang mengatakan perang perdagangan begitu mungkin menjadi perang yang sebenar.  

Kebiasaan ketika berselisih faham ialah ungkit-mengungkit benda-benda lain. China mengatakan AS dan Trump bersikap tidak patut apabila perjanjian yang dimeterai bersama oleh banyak negara, termasuk AS, dilanggar oleh AS secara bersendirian semata-mata mengikut telunjuk Israel dalam permusuhannya dengan Iran.

Dalam pada itu Rusia dan China sedia maklum bahawa AS dan UK serta beberapa negara EU selalu berada di belakang pemberontak Syria dan beberapa buah negara Arab lagi. Mereka mencurahkan wang dan senjata kepada pemberontak dengan menamakan mereka sebagai golongan pembebas daripada pemerintah yang zalim dan tidak relevan. Ini bererti hanya kumpulan yang AS suka adalah golongan yang benar dan relevan.  

Di Iran, AS dan Barat mahukan pemerintah demokratik yang dipilih rakyat sekarang dibungkam dan digantikan dengan pemerintah yang sanggup menjadi boneka seperti yang diperankan oleh Shah dulu. Untuk maksud ini tidak kurang orang Iran yang tinggal di Eropah dan AS yang sanggup bekerjasama.

Mereka biasa dengan gaya hidup Barat maka mereka tidak mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan di Iran kini yang bersandarkan pada nilai keislaman. Mungkin lebih tepat lagi istilah ‘kerjasama’ itu digantikan dengan ‘menerima upahan’.

Di England (dalam UK), kecenderungan mencari salah Rusia sentiasa ada. Apabila tidak diketahui kenapa seseorang kena racun, maka Rusia terus dituduh melakukannya. Ini semata-mata kerana racun itu pernah dibuat di Rusia dalam zaman perang dingin lebih 20 tahun dulu. Logik ini samalah seperti seseorang ditembak mati dari tembakan senapang buatan British zaman darurat dulu, dan penembaknya pastinya seorang British.  

Memang racun atau senapang itu berkemungkinan besar berada dalam tangan bukan orang Rusia atau British selepas begitu lama.  Anehnya, prinsip keadilan yang berbunyi ‘seseorang itu tidak bersalah melainkan didapati bersalah’ diketepikan saja apabila tuduhan itu bukan terarah kepada diri sendiri.

Di Cuba, selepas Presiden Obama memeterai perjanjian untuk berbaik-baik selepas bermusuhan sejak 1961 tidak membawa hasil seperti yang dirancang, maka Presiden Trump mendapat alasan mengendurkan hubungan itu. Dituduhnya Cuba menggunakan sejenis teknologi halus sehingga mengakibatkan kesakitan kepada staf kedutaan AS itu.

Jadi tanpa melakukan penyiasatan dan mendapat kesimpulan, staf kedutaan AS itu dikurangkan dengan banyaknya dan pulang ke AS. Ini membuktikan AS hanya bergembira jika negara seperti Cuba itu berada dalam koceknya, tidak berdetik, dan bukan menjalankan dasar yang tidak sejajar dengan dasar AS. Jelaslah pemimpin seperti Trump dan pengikut-pengikutnya mementingkan maruah mereka sendiri dan bukan maruah orang lain.

Jiran dan sahabat rapat Cuba ialah Venezuela, salah sebuah pengeluar minyak terbesar di dunia. Walaupun kaya dengan minyak, Venezuela hidup dalam kemiskinan. Sebabnya ialah AS menghalang minyak Venezuela dari dijual sewajarnya di pasaran dunia.

Jual beli minyak di pasaran dunia mesti memakai Dolar AS dan harus melalui sistem bank AS seperti yang dilakukan oleh Arab Saudi. Apabila AS menyusahkan urusan bayar membayar minyak, maka bakal pembeli tidak tergalak untuk membeli minyak Venezuela.

Setiap kali berlaku kekurangan bekalan minyak di pasaran dunia, AS pastikan Arab Saudi, negeri-negeri Emiriah, Kuwait, Nigeria, Sudan dan lain-lain lagi menampungnya dengan menambah pengeluaran minyak. Inilah yang berlaku sekarang seperti yang dilaksanakan oleh Arab Saudi.

Di Korea Utara, adalah dijangkakan Trump tidak akan mendapat kehendaknya. Korea Utara tidak akan nyah bom nuklearnya dan bertelanjang bulat untuk menjadi mangsa AS. Korea Utara sedar AS tidak boleh dipercayai apabila membuat perjanjian. Pengalaman di Iraq, Libya, Cuba dan banyak lagi menunjukkan AS melanggar perjanjian apabila pentadbiran bertukar.

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet