TAJUK tulisan ini sebenarnya datang daripada ungkapan ‘hari mana bulan mana’ yang gemar digunakan oleh sasterawan dan pemantun suatu ketika dulu. Ari ialah Menteri DS Nazri Aziz, dan Det, seperti yang diketahui ramai, ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak pernah dirujuk dalam media atau secara terbuka bahawa Ari itu Nazri, tetapi dalam tahun 1968 ketika saya berada di pejabat Allahyarham bapanya, Tan Sri Aziz Yeop, selaku Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), beliau bercakap dalam telefon dengan anaknya ‘Ari’.

Lama kemudiannya apabila saya mengenali Nazri, maka saya percaya Ari itu tidak lain dan tidak bukan, Nazri. Saya menggunakan Ari di sini untuk memadankan satu panggilan mesra seperti kemesraan panggilan Che Det dalam kalangan keluarga dan rakan taulannya yang rapat di Kedah.

Sehingga artikel ini ditulis, nampaknya debat antara Det dan Ari akan berlaku pada 25 Mac - Sabtu ini, tidak sampai seminggu lagi. Ini tentunya satu sejarah, tidak pernah berlaku seorang menteri yang sedang bertugas akan berdebat dengan seorang mantan perdana menteri; apalagi seorang mengetuai Kabinet, sedangkan yang seorang lagi pernah berada dalam Kabinet itu.

Kedua-duanya adalah pengucap atau pendebat yang baik. Untuk sekian lama saya menyaksikan PM Che Det membuktikan ketangkasannya berdebat di Parlimen, baik di Dewan Rakyat mahupun Dewan Negara.

Pertembungan kata-kata antara beliau dengan mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang amat menarik. Sering humor dimasukkan untuk mendentingkan lagi hujah-hujah.

Sebagai contoh, Karpal begitu lantang menimbulkan gara-gara seks Vijendran, Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Maksud Karpal ialah untuk menghakiskan keberkesanan MIC dalam kalangan komuniti India dan kepimpinan Sammy Vellu dalam BN, khususnya dalam pengertian bahawa seorang seperti Vellu tidak layak memimpin komunitinya kerana gagal membuat pertimbangan yang betul sehingga seorang seperti Vijendran yang berwatak hodoh dipilih memasuki Dewan yang mulia itu.

Seks Vijendran itu menjadi sumbang kerana beliau mengambil gambar dari pelbagai sudut. Gambar-gambar itu pula tersebar luas. Salah seorang pasangannya dikatakan membunuh diri.

Apabila Karpal membawa sekeping sampul besar yang dikatakan mengandungi gambar-gambar itu, tetapi tidak ditunjukkannya, beliau berkata: “Gambar-gambar ini saya terima melalui pos. Saya tak tahu siapa hantar!".

Lalu pertikaman lidah yang hangat menjadi lucu apabila Che Det mencelah: "Mungkin Yang Berhormat dari Jelutong sendiri yang menghantar gambar-gambar itu." Karpal bangun menempelak, marah-marah.

“Saya kata, mungkin. Kenapa mahu marah kalau Yang Berhormat tidak buat,” jawab Che Det. Saya kira episod perdebatan itu menjejaskan teruk Vijendran sendiri yang ternyata tidak dipilih bertanding lagi, sedangkan BN dan MIC ternyata mendapat prestasi baik dalam PRU berikutnya.

Ketangkasan Ari berucap dan berdebat mula-mulanya dipamerkan di Dewan Negara setelah memasukinya di hujung 1990 atau awal 1991. Saya ketika mempengerusikan majlis Dewan itu amat cenderung membuka peluang baginya membuktikan kemampuannya berhujah. Beliau lancar.

Fakta-fakta yang dikemukakannya tidak dibuat-buat. Apabila aspek-aspek tertentu disendalkan dengan lunas undang-undang (beliau seorang peguam), hujah-hujahnya menjadi mantap.

Sebagai seorang yang kena duduk di kerusi jawatan berjam-jam, saya harus menghadapi suasana yang menyegarkan saya, tidak mengantuk, maka Ari berupa salah seorang yang memenuhi  kriteria itu.

Apa yang menaikkan kening saya, kagum tentunya, ialah Ari sebelum masuk Dewan Negara telah memenangi tempat dalam Majlis Tertinggi Umno tanpa menjadi Adun, MP atau Senator, sedangkan ada menteri yang kandas. Dipercayai, kemenangannya itu disumbangi pengaruh TPM Anwar Ibrahim.  

Namun dalam sebulan dua sebelum menyertai Dewan Negara (juga dipercayai atas rekomendasi Anwar), beliau telah mengumumkan akan berhenti dari politik, mungkin dari Umno, setelah berlaku salah faham antara beliau dengan PM Che Det. Kelantangan Ari kini sudah dikesani ketika itu. Beliau mengatakan sesuatu. Che Det menjentik balas.

Jadi, dalam debat nanti, Ari akan pulas habis-habisan skandal penyangakan RM22 bilion di Bank Negara pada pertengahan 1990-an ketika Che Det sebagai PM.

Sebaliknya, Che Det pastinya akan mengupas sedalam-dalamnya 1MDB yang implikasinya sangat luas, melibatkan AS, Switzerland, Singapura, Saudi Arabia, Britain dan Hollywood, antaranya, yang mencetuskan pemberhentian beliau dari Umno.

Moga-moga tidak ada tangan ghaib yang menahan debat ini dari berlaku. Dunia kini dunia informasi. Maka informasi yang akan terbit dari debat ini akan menguntungkan rakyat demi masa depan mereka. Saya ulangi, ia paling bersejarah. Sukar untuk berlaku lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kemeriahan Hari Raya dengan pelbagai hidangan makanan bagaikan satu kemestian bagi majoriti umat Islam di negara ini.
  • KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia harus merapatkan hubungan dan kemesraan sesama insan agar nikmat keamanan, kesefahaman dan kemuafakatan antara semua yang dapat dilihat di negara ini akan sentiasa dirasai hingga ke generasi akan datang, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.