ANDAINYA Amerika Syarikat (AS) dan Korea Utara (KU) berperang nuklear, apa jadi pada kita?

Bom atom dan bom hidrogen adalah bom nuklear, tetapi disebabkan bom hidrogen lebih kuat dari bom atom, maka bom nuklear tidak semestinya bom atom. Ini boleh diumpamakan seperti kereta dengan lori bertayar 18; kedua-duanya kenderaan bermotor; namun lori jereguk itu bukan sebuah kereta.

Bom atom yang digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki, Jepun pada 1945 telah membunuh dan mencederakan kira-kira  250,000 orang.

Kini Israel yang merupakan negara kuasa nuklear yang paling kecil mempunyai 300 bom atom – bomnya yang paling kecil berkekuatan 300 kali ganda daripada yang diletupkan di dua kota Jepun itu. Kemungkinan AS berperang nuklear dengan Korea Utara (KU) kini diletakkan pada 50:50. Ada pula yang berkata: 51:49.

As dan Korea Selatan sengaja menerbangkan kumpulan kapal terbang perang masing-masing yang paling sofistikated dekat dengan sempadan udara KU. Justeru KU memberi amaran: KU menganggap itu satu ugah perang, maka KU berhak menembak.

Bila berlakunya tembakan itu, AS dengan sendirinya mendapat alasan untuk menyerang KU. Menurut perhitungan perang, KU akan kalah teruk dalam satu jangka yang singkat.

Penduduknya seramai 2.5 juta akan terbunuh serta-merta daripada jumlah 25 juta. KU mempunyai kurang 10 buah bom nuklear, sedangkan AS mempunyai lebih 1,100 buah yang terletak di bumi besarnya, dalam kapal-kapal selam di Lautan Pasifik dan Atlantik.

KU mengaku boleh menembak bom atomnya sampai ke Los Angeles dan Alaska, tetapi AS enggan membuat sebarang pengakuan. Sikapnya: orang kaya dan orang kuat tidak perlu menepuk dada.

Besar kemungkinan AS akan melancar serangan udara hebat dari sebuah tempat 100km dari sempadan KU lalu mengebom kota Pyongyang, gunung-gunung yang menyimpan senjata-senjata penting KU, diikuti dengan curahan askar AS dan Korea Selatan yang bersenjata paling canggih, menyerap KU.

Satelit-satelit AS di angkasa lepas setiap saat mengesani pergerakan KU. Meneliti setiap bakal pelancaran bom atom KU adalah langkah AS. Persiapan untuk pelancaran memerlukan masa tidak kurang lima minit. Maka dalam jangka begitu, kapal selam AS sempat menangkis tembakan atom KU dan sempat menembak balik.

Semuanya ini berbunyi seperti satu adegan dalam filem jenis ‘Star Wars’. Sebenarnya, ia bukan lagi satu khayalan kreatif tetapi yang sudah menjadi nyata.

Dalam hal ini, China dan Rusia sudah membuat perhitungan bahawa kedua-keduanya, baik bersama atau bersendirian boleh menyaingi AS, tetapi sikap wajar mereka menghasilkan pertanyaan: mengapa harus membuat sesuatu yang boleh menghancurkan dunia semata-mata hendak membela KU? Apa lebihnya KU sebagai sebuah ekonomi dan pasaran?

Jawapan kepada soalan-soalan itu mendesak China agar akur kepada keputusan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu memencilkan KU dalam hal ehwal ekonomi dan pasaran. Itu adalah tindakan China, rakan rapat KU dalam ideologi komunis dan kejiranan.

Robohnya KU akan juga membawa masalah besar kepada China, seperti berjuta pelarian melangkah sempadan. Namun begitu, kita harus menerima hakikat bahawa orang yang terdesak boleh membuat apa saja. Ditelan mati emak, dikehek mati ayah, kata pepatah kita.

Katalah Kim Jong-un, ketua Korea Utara, berkeras hendak melawan AS. Berlakulah perang nuklear. Walaupun berlakunya hanya sebentar saja, kesannya sangatlah luas. Perang nuklear ini akan menjejaskan kita. Jarak Malaysia dengan KU ialah 5,000 km atau 5 jam penerbangan. Jarak itu adalah kira-kira sembilan kali ganda antara jarak Johor Bahru dengan Kayu Hitam, iaitu 600km.

Radiasi yang membawa debu nuklear dari KU boleh tiba dalam beberapa hari ke Malaysia. Radiasi ini akan menjejaskan apa saja: yang cair, keras dan lembut; yang terjejas teruk ialah manusia dan air. Kecacatan pada badan dan dalaman badan akan berlaku. Air minuman pula akan beracun.  

Mujurnya. rekod arah pergerakan angin di udara KU menunjukkan ia menuju ke dua arah: satu, ke selatan Jepun dan ke tengah-tengah Lautan Pasifik; dua, ia menghala ke kutub utara. Ini bererti radiasi nuklear dari KU ke Malaysia akan menjadi lambat. Kita berdoa agar ia tidak langsung sampai ke bumi kita, ataupun kalau sampai juga, ia sudah menjadi amat lemah dan senang ditangani. Wallahuaklam.