MEDIA Malaysia kurang atau tidak bebas. Itulah kesimpulan forum tentang kebebasan media yang dianjurkan oleh akhbar ini beberapa hari lepas. Kesimpulan ini memang diduga. Jika dalam pentadbiran Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Hussein Onn yang dirasakan mengharung ketika-ketika yang baik dalam kebebasan akhbar – pun dicap terkongkong – ini pula dalam keadaan yang nyata tertekan.  

Ada media yang digantung penerbitannya kerana kononnya memuatkan info anti-kerajaan yang palsu. Banyak pula dikenakan tindakan undang-undang kerana dipercayai memalukan pihak-pihak tertentu tanpa asas. Ini belum dikira ada yang dibuang kerja dari media besar aliran perdana.

Dalam tahun-tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an, sebuah akhbar bahasa Inggeris arus perdana dianggap salah sebuah firma terbesar kerana para pembacanya amat ramai, untungnya lebih, dividennya besar, dan sahamnya di bursa sebagai ‘cip biru’ (tegap dan teguh). Wartawan-wartawan terbaik bekerja dengannya dengan gaji lumayan.

Bukan itu saja, wartawan dari Britain dan Australia juga menjadi staf akhbar ini. Kini akhbar ini sama saja, atau lebih teruk, daripada akhbar-akhbar lain. Para pembacanya amat kurang sekali berbanding dengan hari-hari terbaik dulu. Kerugian menggantikan keuntungan. Rasa kagum yang mengharuskan kita membacanya tiap-tiap hari untuk ‘menggenapkan’ info pada hari itu sudah tiada lagi. Membaca akhbar-akhbar lain dalam bahasa lain sudah lebih daripada cukup.

Membaca sebuah akhbar aliran perdana adalah sama dengan yang lain-lain. Untuk itu terdapat kata-kata sinis yang berbunyi: ada ketua pengarang aliran perdana di sebuah pejabat di sekitar Kuala Lumpur yang mengawal berita-berita yang hendak disiarkan di pelbagai akhbar aliran perdana.

Tentunya kata-kata sinis begitu, walaupun dinafikan oleh orang-orang yang berpangkat besar, menyengat. Ia senang diterima oleh audiens pembaca yang terdiri daripada mereka yang sekurang-kurangnya berpendidikan menengah, berbanding dengan darjah enam atau lebih rendah lagi 40 tahun dulu.

Biar apa pun, apabila media tidak diminati, jalan yang tinggal hanyalah keranapan. Dulu di AS, sejak Perang Dunia 1 hingga akhir abad ke-20, terdapat ungkapan yang berbunyi publish or perish. Ertinya, ‘terbit atau hanyut’. Ia bermaksud menerbitkan akhbar, majalah dan buku untuk menjadi maha kaya, atau, jika kandas, akan hanyut berputih mata. Kata-kata itu membezakan antara penerbit yang cekap dengan penerbit yang selekeh.

Untuk sekian lama, manusia maha kaya AS terdiri daripada penerbit-penerbit media, di samping saudagar minyak, keretapi dan kemudiannya, pembuat kereta. Bangunan-bangunan yang gah dan tinggi di kota New York adalah sempena nama-nama dan firma mereka. Kini cucu cicit mereka masih kaya, tetapi sumber dan penjanaan  kekayaan mereka sudah menjadi beraneka rupa.

Dengan kata-kata lain, akhbar-akhbar yang memilih untuk menyebarkan berita-berita yang sedap didengar oleh pemilik-pemiliknya sudah terbukti menghadapi hakisan modal. Kehilangan pembaca bererti kehilangan pendapatan. Ia terbukti bergantung kepada sumber wang yang lain daripada pemilik masing-masing. Kata Datuk Kadir Jasin dalam forum itu, ‘hanya akhbar ini, Sinar Harian, akan terus hidup dan berkembang’. Insya-ALLAH. Sikapnya yang relatif bebas, memuatkan berita pro-kerajaan dan pro-pembangkang. Rencana-rencana dan tulisan-tulisan adalah dari tangan mereka di kedua-dua pihak. Mereka bebas memilih pendirian masing-masing. Pembaca atas taliannya berjumlah 3 juta di samping pembaca akhbar sebenar sebanyak 500 ribu, setiap hari.

Buruk mahupun baik, AS sering dijadikan perbandingan atas sebab-sebab yang nyata. Beberapa tahun selepas AS mencapai kemerdekaan dari Britain pada tahun 1776, Presiden ketiganya Thomas Jeffersen menyatakan kekagumannya terhadap kebebasan akhbar dalam mewajarkan kebaikan rakyat. Katanya, ‘kalau saya harus memilih antara kerajaan dengan kebebasan akhbar, saya akan memilih kebebasan akhbar’. Ditambahnya di ketika dan tempat lain: ‘Akhbar adalah ibarat dewan keempat selepas Perundangan, Eksekutif dan  Judisiari (mahkamah).  

Tambahnya: ketiadaan ‘dewan keempat’ yang penting itu boleh mencacatkan kerajaan. Kata-kata bijaksana Presiden Jeffersen itu bermaksud begini: membataskan sewenang-wenang kebebasan akhbar/media pastinya tidak akan membawa hasil yang baik kepada rakyat dan negara. Melainkan kita mahu menafikan logik dan bukti perjalanan sejarah.