Saya memperkatakan beberapa topik  berdenting kali ini, seperti  berikut.

Adventure Najib dan Rosmah. Begitu luas kita menonton media sosial dan TV yang menunjukkan bagaimana wang tunai RM114 juta, banyak jam tangan dan tas tangan yang maha mahal diangkut dari rumah dan apartmen mewah mereka di Kuala Lumpur oleh polis dengan menggunakan trak-trak yang besar menjalar.

Banyak pula kereta mewah, antaranya Rolls Royce, Mercedez dan lain-lain, terdapat di ‘basement’ kompleks Pavilion yang dikatakan tidak berdaftar dan dipercayai kepunyaan mereka, jika benar.  Dalam usia saya, tidak pernah kejadian begitu saya saksi di TV dunia, apalagi secara peribadi.

Teringat saya kepada drama Macbeth karya besar Shakespeare tentang Lady Macbeth mendorongkan suaminya Macbeth merampas dan menyalah guna kuasa di Scotland hingga membawa kehancuran. Shakespeare menjadikannya satu pengajaran untuk insan di dunia. Pemikir Santayana menggenapkan pengajaran itu dengan ‘sesiapa yang lupa sejarah akan dilaknati sejarah’. 

Memang benar  ‘seseorang tidak bersalah melainkan dia didapati bersalah’. Namun proses untuk tiba ke keputusan itu, seperti yang dialami oleh ketua-ketua negara dan kerajaan di Mahkamah Keadilan Dunia di kota Den Hague, Belanda, adalah sangat rumit dan susah seolah-olah ia satu hukuman tersendiri, sehingga bekas Presiden Serbia membunuh diri ketika menghadapi perbicaraan.

Drama keretapi. Keretapi laju KL-Kota Bharu dan KL-Singapura bakal menelan ratusan bilion ringgit. Jarak KL-KB melalui jalan ialah kira-kira 400 batu atau 650km. KL-Singapura pula ialah 250 batu atau 400km. Kedua-dua mengambil masa beberapa jam dengan kereta, tetapi kurang sedikit daripada kelamaan itu jika menaiki keretapi laju.

Dengan kapal terbang, masa yang diambil kurang sejam bagi kedua-duanya. Tambang kapal terbang kian menurun, tidak banyak beza kosnya dengan memandu kereta:  minyak, tol dan makan minum dalam perjalanan.

Jangan sangka naik keretapi laju itu enak dan romantis. Keretapi peluru Shinkansen telah berusia 55 tahun setelah bermula pada tahun 1963 sempena Sukan Olimpik Tokyo 1964. TGV kilat pula sudah berusia 35 tahun di Eropah. Pun begitu, AS masih ragu-ragu untuk benar-benar mempunyai keretapi begitu atau yang lebih terkini.

Kenapa? Orang lebih cenderung memandu kereta sendiri. Senang, bebas dan sesuka hati ke utara, selatan, timur dan barat;  jauh atau dekat. Tambang keretapi laju di mana-mana saja adalah mahal. Itu sebabnya TGV Euro Star yang melalui bawah dasar laut Selat Inggeris dari London ke Paris mengalami kerugian amat lama. Ini kerana penumpang  ada pilihan lain: udara, feri dan kenderaan jalan.

Rata-rata perkhidmatan keretapi yang paling berjaya ialah di Jepun. Itupun setakat balik modal saja. Negara-negara maju menggunakan keretapi laju  lambang kemajuan teknologi demi berkhidmat untuk rakyat yang sentiasa menghendakkan perubahan terbaik.

Jika Malaysia sebagai negara yang kekurangan wang dan banyak berhutang pula, ia akan membebankan rakyat. Untuk mengatasinya, cukai langsung dan tidak langsung, baik yang ketara atau tidak ketara, akan dikenakan kepada rakyat. Justeru kenaikan harga barang dan perkhidmatan tidak dapat dielakkan. Tunggu hingga rezeki kita pulih menggunung.

Rafizi Ramli.  RR atau Rafizi Ramli ialah wajah yang amat ketara sekarang ini. Petah bercakap dengan penggunaan fakta yang baik serta kesimpulan yang logik menjadikan beliau seorang tokoh politik muda yang meningkat naik. Pendedahan beliau terhadap skandal lembu yang dikaitkan dengan Shahrizat, Ketua Wanita Umno dan suaminya, yang merakuskan RM250 juta, adalah satu tindakan berani yang terpuji.

Keberaniannya itu membawa akibat. Beliau dihukum penjara kerana melanggar undang-undang  kerahsiaan bank apabila mendedahkan akaun suami isteri itu. Kini RR bebas untuk bertanding PRU setelah mahkamah mendengar rayuannya. Ini bererti beliau boleh dilantik sebagai Senator untuk membolehkannya menyertai Kabinet.

Deraan pertama sudah beliau lalui: dilarang bertanding dalam PRU14 yang baru lalu. Kelantangan beliau kini terhadap PM Tun Mahathir harus disederhanakan demi solidariti kerajaan baharu yang beliau sendiri usahakan.

Jika RR terus bersikap bebas dan terus lantang terhadap kerajaan yang ada, satu perkembangan tidak harmoni dengan realiti semasa akan timbul. Anwar Ibrahim sendiri pasti mementingkan tuntutan politik apabila menjadi Perdana Menteri.

Tolak ansur, kompromi  dan layan-melayani pelbagai pihak akan menjadi pegangannya. Kepentingan individu, walaupun dia RR, akan jadi kurang relevan. Berbahaya untuk RR. Maka perlulah RR berubah jika perubahan yang dikehendakinya tidak datang kepadanya.                                                           

* Tan Sri Adam A Kadir mantan Presiden Senat dan ahli Kabinet