KERJASAMA strategik Pas-Umno mampu mengalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 kelak kerana hanya perubahan sekitar 11 peratus undi Melayu diperlukan Pas dan Umno untuk menguasai majoriti di Parlimen (kajian kuantitatif Ilham Centre).

Undi Umno dalam PRU14 lalu ialah 2.5 juta manakala undi Pas dalam PRU14 lalu pula ialah 2.04 juta. Undi popular kedua-dua Pas dan Umno ini jauh meninggalkan undi Parti Bersatu iaitu 700,000 dalam PRU14 lalu.

Undi Parti Amanah Negara pula sekitar 640,000 – dan rentetan kenyataan apologetik Menteri Amanah dalam isu sebatan LGBT dan ‘Hifz al-Din’ serta persepsi Syiah yang sukar ditepis, pengaruh parti tersebut dijangka terus merosot teruk. 

Demikian juga undi Melayu-Islam yang diperoleh PKR boleh digugat dengan pelbagai isu dalaman dan luaran yang bakal menjejaskan 2.1 juta undi popular mereka dalam PRU14 lalu.

Usaha PH mengubah sistem pilihan raya daripada ‘First Past the Post’ kepada ‘Proportionate Representative’ dalam PRU15 juga akan memberi kelebihan besar kepada gabungan Umno-Pas berdasarkan pola undi popular dalam PRU14 lalu.

Melalui kerjasama strategik Pas-Umno, mereka boleh melimpahkan lebihan undi mereka di Pantai Timur ke Pantai Barat melalui penempatan semula daftar pengundi dalam kalangan penyokong mereka. Malah penguasaan PH yang diterajui Parti Pribumi di Kedah juga berkemungkinan ditamatkan – dibantu kepimpinan Datuk Seri Mukhriz yang kini hangat dipersoalkan ahli bawahan Pakatan sendiri.

Kerajaan PH di Perak juga berdepan kemungkinan akan runtuh memihak kerjasama Umno-Pas. Ditambah pula dengan sikap DAP yang dikenang mendesak jawatan Speaker Dun dan tuntutan tanah 999 tahun.

Pergolakan dalaman PKR antara kem Anwar-Rafizi-Abdullah Sani-NurulIzzah-Saifuddin Nasution bertembung dengan Azmin-Zuraida Kamaruddin-Amirudin Shari-Tian Chua-Dr Afif Bahardin-Latheefa Koya bakal memungkinkan cah keting berlaku sesama PKR pasca Pemilihan 2018 menuju PRU15.

Isu peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir kepada Datuk Seri Anwar bukan sahaja bakal memberi impak kepada politik dalaman PKR, bahkan juga perpecahan antara sesetengah pemimpin dan ahli parti PH; terutama sekali antara PPBM dengan PKR, PKR dengan Amanah.

Kemungkinan besar ‘cah keting’ antara PPBM dengan PKR (Kem Rafizi-Abdullah Sani-Anwar) dalam PRU15 kelak juga sukar untuk dinafikan.

Tindakan Tun Dr Mahathir yang terus-terusan melempar tuduhan bahawa orang Melayu ‘malas’ dan ‘mengharapkan bantuan tongkat kerajaan’ – sedangkan keluarga beliau sendiri kaya-raya dilimpahi projek-projek kerajaan – bakal memberi kesan jangka panjang mengalih sokongan kepada Pas-Umno.

Kegagalan manifesto PH seperti Janji 100 Hari juga bakal mengalih sokongan PH kepada gabungan Pas-Umno sebagai satu-satunya blok pembangkang tunggal. Isu kegagalan menunaikan manifesto ini lebih terkesan ke atas undi PH di kawasan bandar dan separa-bandar – dijangka memberi impak di Selangor dan Johor.

Senario sebegini dibuktikan dengan jelas dalam PRK DUN Seri Setia di mana PH hilang 15,000 undi yang mereka peroleh dalam PRU14 lalu. Demikian juga kemerosotan teruk undi PH di Sungai Kandis.

Tindakan PH mengurangkan bantuan kepada segmen penerima BR1M – dengan cadangan jelas Tun Dr Mahathir untuk menghapuskan BR1M secara perlahan-lahan akan memberi kelebihan besar kepada kewujudan blok pembangkang Pas-Umno tanpa tiga penjuru.

Perkiraan undi yang tidak terpecah tiga juga bakal memberi impak ke atas kerjasama Pas-Umno. Selain PRK Dun Seri Setia baru-baru ini, keputusan PRU14 yang lalu juga boleh dijadikan rujukan. Sekiranya Pakatan Harapan mengekalkan sistem ‘First Past the Post’, selain 54 kerusi yang dimenangi Umno dan 18 kerusi yang dimenangi Pas, adanya 29 kerusi lagi yang berpotensi besar untuk dirampas ke tangan Umno-Pas.

Jumlah 101 kerusi ini (54 Umno, campur 18 Pas, campur 29 Pas-Umno) menyaksikan hanya 11 kerusi Parlimen yang perlu dirampas daripada Pakatan Harapan untuk mencapai angka 112 bagi membentuk kerajaan Persekutuan dengan majoriti mudah.

Kesimpulannya, kerjasama Umno-Pas menjelang PRU15 berpotensi untuk menjadi satu benteng kukuh yang menarik sokongan Melayu-Islam yang dominan di lebih 130 daripada 222 jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.

 

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)