KETERBUKAAN Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang mengisytiharkan komitmen kerajaan pusat menyalurkan royalti petroleum secara terus kepada kesemua negeri ‘Opec Malaysia’ iaitu pengeluar minyak – Terengganu, Kelantan, Sabah, dan Sarawak – selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara baru-baru ini perlu diterima baik semua pihak.

Pengisytiharan ini selaras dengan manifesto Pakatan Harapan dalam Buku Harapan menjelang PRU14 yang lalu. Rujuk Janji 3 Buku Harapan, halaman 21:

"Negeri-negeri pengeluar minyak dan gas akan diberi royalti atau nilai bersamaan yang sewajarnya. Kezaliman Umno dan Barisan Nasional yang memberi dana berdasarkan perkiraan politik akan dihentikan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil.

Ini akan membolehkan negeri-negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri."

Hakikatnya, pemberian royalti kepada kerajaan negeri pengeluar secara terus ini termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.  

Akta berkenaan memberi kuasa pengeksplorasian dan pengeksploitasian petroleum sama ada di pantai atau di luar pantai kepada satu perbadanan iaitu Petronas di mana Petronas pula akan membayar sebanyak lima peratus daripada pendapatan minyak kepada negeri-negeri yang berkenaan seperti yang termaktub dalam Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Perjanjian yang ditandatangani kesemua kerajaan negeri di bawah akta tersebut jelas mengarahkan Petronas membuat pembayaran setiap enam bulan sekali iaitu pada Mac dan September setiap tahun (Akta 144) (4).

Dalam kes Terengganu pula, Tun Mahathir sendiri mengaku bahawa beliau bertanggungjawab menyekat pembayaran royalti berkenaan kepada kerajaan negeri apabila Pas menguasai Terengganu dalam Pilihan Raya Umum 1999.  

Pengakuan ini tercatat dalam memoir beliau Doktor Umum halaman 856, Bab 56: Pilihan Raya Paling Sukar:

“Pada waktu itu dan sehingga sekarang, Terengganu adalah pengeluar terbesar minyak di Malaysia dan kerajaan negeri memperoleh lima peratus daripada hasilnya yang berjumlah hampir RM1 bilion setahun.

Kita tahu kalau kerajaan baru Pas mendapat wang itu sudah pasti mereka akan menggunakannya untuk mempertingkatkan populariti dan memperluaskan perjuangan mereka.

 Oleh itu, satu cara perlu dicari bagi menyekat mereka daripada memperoleh dana tersebut.”

 Pastinya, pemberian royalti secara terus ini bakal memberi limpahan yang positif buat ekonomi keempat-empat kerajaan negeri berkenaan.

Kerajaan Pas Terengganu sebagai contoh, kini menggerakkan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) yang menyasarkan penjanaan pendapatan kerajaan melebihi RM1 bilion setiap tahun.  

Maka dengan gabungan hasil PITAS 2030 dan royalti petroleum yang bakal mencecah RM2 bilion setahun, pelbagai pelan pembangunan negeri boleh dijayakan seperti peningkatan kualiti hidup rakyat, pemulihan produk pelancongan, pemerkasaan industri maritim, gas dan petroleum.  

Demikian juga impak royalti petroleum yang bakal menjadi game-changer dalam pembangunan negeri Kelantan.

Seperti mana kenyataan bekas Exco kerajaan negeri Kelantan sebelum ini iaitu Husam Musa, kerajaan Kelantan dianggarkan telah dinafikan pembayaran hampir RM13 bilion hasil royalti yang sepatutnya mereka peroleh sejak 2004.

Turut menerima impak positif pastinya usaha mengekang kemaraan gerakan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) yang digemakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.  

Oleh hal yang demikian, pemberian royalti kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) di Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang baru dibentuk di Sarawak perlu dilihat positif dalam memperkasakan rakyat Borneo dan dalam masa sama mengekang gerakan pemisah (separatist).

Maka langkah Tun Dr Mahathir hari ini boleh diterima sebagai pembetulan kepada kekhilafan beliau menyekat pembayaran royalti dahulu – khususnya dalam kes kerajaan Pas Terengganu.

Demikian juga penafian pembayaran royalti yang berjumlah hampir RM13 bilion kepada kerajaan Pas Kelantan oleh BN era Pak Lah sejak 2004.

Hak Sabah untuk berusaha mendapatkan 20 peratus seperti mana terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan juga perlu dihormati, seperti mana juga tindakan pemimpin Sarawak menubuhkan GPS dalam melindungi kepentingan negeri mereka.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)