SIDANG Kemuncak Kumpulan 20 (G20) yang baru sahaja berlangsung di Buenos Aries, Argentina menyaksikan pelbagai peristiwa yang menarik perhatian para pemerhati politik di seantero dunia.

Dari segi skala ekonomi dan ketenteraan, interaksi antara Amerika Syarikat dengan dua pencabar terkuatnya pada abad ke-21 ini iaitu China dan Rusia masih menjadi dua kisah yang paling utama kerana kali ini ada satu elemen penting yang terlibat – kekuasaan di lautan.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump akhirnya mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping sewaktu Sidang Kemuncak G20 kali ini.

Jika di meja rundingan, suasana kelihatan agak tenang dan diplomatik, sebaliknya jika diperhatikan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut – ditambah lagi dengan apa yang berlaku di Laut China Selatan sewaktu pertemuan antara kedua-dua presiden ini berlangsung – pastilah akan terserlah betapa getirnya pertembungan yang berlangsung antara Amerika dan China saat ini.

Apa yang terjadi sewaktu makan malam antara dua individu yang paling berkuasa di dunia ini – hinggakan ia memakan masa selama 2 jam setengah? Benar, Presiden Trump dan Xi Jinping telah bersepakat bahawa perang perdagangan antara Amerika dan China akan dikendurkan buat sementara waktu – namun ia tidak benar-benar melegakan para pemerhati.

Mengapa? Jawapannya kerana kedua-dua negara memutuskan tempoh 90 hari sahaja untuk rundingan selanjutnya dilaksanakan di mana jika tiada persepakatan selanjutnya dicapai, maka Amerika akan menggandakan tarif ke atas produk China yang bernilai USD200 bilion daripada 10 peratus sekarang kepada 25 peratus.

Antara agenda terpenting yang perlu dirundingkan segera oleh China untuk mengelak daripada dikenakan tambahan tarif yang sebegitu besar ialah berkaitan paksaan pemindahan teknologi, perlindungan harta intelek, halangan bukan tarif serta pencerobohan siber.

Adakah Trump hanya memberikan tekanan palsu ke atas China? Berdasarkan apa yang mengiringi makan malam beliau dengan Xi Jinping – khususnya di Laut China Selatan – ancaman Trump kali ini cukup serius.

Tentera Laut Amerika Syarikat telah dengan sengaja mengirimkan kapal USS Chancellorsville ke kawasan kepulauan Paracel (disebut Xisha oleh China) yang dituntut Beijing di Laut China Selatan menjelang pertemuan Trump-Xi Jinping, sedangkan baru beberapa minggu kapal tentera antara kedua-dua kuasa besar ini nyaris menghentam antara satu sama lain.

Secara tidak langsung, tindakan ini bukan sahaja memberi isyarat keras kepada Xi Jinping, tetapi juga kepada sekutu kuat beliau iaitu Presiden Rusia Valdimir Putin.

Jelas kelihatan bahawa hubungan Washington-Moscow sewaktu Sidang Kemuncak G20 kali ini adalah lebih tegang berbanding Washington-Beijing.

Setegang-tegang hubungan antara Amerika dengan China, Trump masih mengadakan pertemuan dan makan malam bersama Xi Jinping.

Sebaliknya Trump telah bertindak membatalkan terus pertemuan dengan Vladimir Putin. Apa yang terjadi sebenarnya adalah susulan daripada perisytiharan perang antara sekutu Amerika di sempadan Rusia iaitu Ukraine terhadap kerajaan Putin.

Sekali lagi, insiden di laut menjadi medan penentu hubungan di meja rundingan.

Tentera Rusia telah bertindak melanggar dan menahan kapal laut tentera Ukraine yang bertindak melalui Selat Kerch.

Selat berkenaan adalah cukup penting sebagai akses ke Laut Azov di Semenanjung Crimea. Sebaliknya, Rusia telah bertindak memonopoli Selat Kerch berkenaan dengan membina jambatan yang menjadi penghalang kepada akses Ukraine ke Laut Azov tersebut.

Lalu kini seluruh dunia sedang memerhati: sejauh manakah Amerika akan bertindak menyokong Ukraine sebagai langkah membendung kemaraan Rusia?

Adakah Ukraine akan diterima menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang terbaru? Adakah Amerika akan mengadakan operasi ‘Freedom of Navigation’ di sempadan laut yang dikuasai Rusia sebagaimana yang ia lakukan di Laut China Selatan?

Secara kebetulan, Kumpulan Tujuh negara (G7) yang mana enam daripadanya adalah anggota Nato – Amerika, UK, Perancis, Jerman, Itali, dan Kanada – secara sebulat suara mengecam tindakan Rusia ini.

Situasi ini kembali menjadikan medan tentera laut sebagai penentu keseimbangan kuasa besar global – dengan Amerika dilihat Barat sebagai satu-satunya kuasa yang berdepan dengan Rusia dan China secara serentak.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)