RAKYAT Malaysia dikejutkan dengan pendedahan Datuk Seri Najib Razak tentang derma dari Arab Saudi yang beliau terima – namun pendedahan beliau itu sebenarnya sama sekali tidak ‘membersihkan’ nama 1MDB, malah sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan dan kecurigaan yang besar.

Pendedahan Najib juga sebenarnya tidak menghairankan sama sekali – sebaliknya membenarkan satu pertiga daripada tuduhan Wall Street Journal (WSJ) sejak 2016 yang lalu dalam laporan bertajuk ‘How $1 Billion Made Its Way to the Prime Minister’ bertarikh 1 September 2016.

Pada fasa pertama, 1MDB meminjam sekitar USD1.8 bilion untuk usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd. USD1 bilion daripada wang berkenaan telah dipindahkan ke sebuah syarikat di Seychelles yang bernama Good Star Ltd.  

Wang tersebut kemudiannya didakwa dipindahkan ke akaun Najib melalui dua Putera Arab Saudi iaitu Putera Turki Bin Abdullah dan Putera Faisal Bin Turki Bin Bandar al-Saud di mana USD24.5 juta daripada wang yang dipindah ke Good Star tadi telah dimasukkan ke akaun Putera Turki.

Daripada USD24.5 juta itu, sebanyak USD20 juta telah dipindahkan ke akaun Razak melalui Putera Faisal. Nah, hal inilah yang dinyatakan oleh Najib iaitu sebanyak USD20 juta yang dipindahkan ke akaun beliau adalah daripada Putera Faisal.

Apa yang tidak Najib terangkan ialah dakwaan transaksi USD24.5 juta dari Good Star ke akaun Putera Turki dan seterusnya USD20 juta dari akaun Putera Turki ke akaun Putera Faisal itu.  

Pada fasa kedua pula, ia adalah melibatkan pembiayaan projek loji jana kuasa di mana dua bon yang bernilai USD3.5 bilion telah dijual oleh Goldman Sachs bagi pihak 1MDB. 1MDB sepatutnya membayar jaminan ke atas bon tersebut kepada syarikat Aabar Investments PJS, iaitu sebahagian daripada Abu Dhabi’s International Petroleum Investment Company (IPIC).

Sekitar USD1.37 bilion yang sepatutnya dimasukkan ke akaun ‘Aabar Investments PJS’ sebaliknya telah dimasukkan ke akaun ‘Aabar Investments PJS Ltd.’, iaitu sebuah syarikat di British Virgins Island (BVI) yang menyamar dengan nama hampir sama dengan syarikat asal yang sama sekali tiada kaitan dengan IPIC.  

Daripada USD1.37 bilion yang dimasukkan ke syarikat yang palsu itu (Aabar Investments PJS Ltd), sekitar USD637 juta telah dimasukkan ke akaun syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners (juga di BVI).  

Sebanyak USD463 juta pula telah disalurkan ke dua dana bersama (mutual funds) di Caribbean sebelum kedua-duanya menyalurkan kembali dana tersebut kepada Blackstone Asia Real Estate Partners. Blackstone Asia Real Estate Partners inilah yang kemudiannya didakwa memindahkan sebanyak USD170 juta ke akaun peribadi AmBank Najib melalui beberapa transaksi pada 2012.  

Fasa ketiga pula melibatkan usaha sama hartanah 1MDB dan Abu Dabi. Bon bernilai USD3 bilion telah sekali lagi dijual bagi pihak 1MDB oleh Goldman Sachs untuk usaha sama ini.

Daripada USD2.72 bilion yang 1MDB peroleh selepas membayar kepada Goldman Sachs, sekitar USD1.27 bilion telah dimasukkan secara berperingkat-peringkat, melalui beberapa syarikat perantara di British Virgin Island dan Caribbean, ke akaun sebuah lagi syarikat di British Virgin Island (BVI) iaitu Tanore Finance Corp. Tanore Finance Corp kemudiannya didakwa menyalurkan sebanyak USD680 juta ke akaun peribadi AmBank Najib sekitar pada 2013.  

Maka, jumlah keseluruhan dana yang dimasukkan ke akaun Najib ialah USD1.05 bilion di mana seperti menurut WSJ.

Maka, Najib kini perlu menjawab persoalan berikut: mengapa tidak Datuk Seri bersama-sama Putera Turki dan Putera Faisal dari Arab Saudi menyaman ABC News dan Wall Street Journal hingga bankrap jika mereka melaporkan kepalsuan yang sebegini besar? Mengapa 1MDB terpaksa membayar sebesar USD602 juta kepada IPIC sedangkan sepatutnya 1MDB pertahankan bahawa mereka sudah pun membuat pembayaran kepada ‘Aabar Investments PJS’?  

Bukankah jelas di sini bahawa 1MDB telah ditipu (atau pun menipu) pada siang hari?

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)