TEMPOH seminggu pertama pentadbiran Pakatan Harapan menyaksikan terdapatnya beberapa kebaikan dan kelemahan yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir. Antara beberapa isu kritikal adalah seperti berikut.

Tindakan Pakatan menerima Adun dan ahli Parlimen BN yang melompat tanpa sebarang tapisan atau pengesahan bebas rasuah menjadi kebimbangan tentang sejauh mana agenda reformasi institusi benar-benar menjadi prioriti Pakatan.  

Tindakan melantik Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan tanpa terlebih dahulu diisytiharkan bebas rasuah sepenuhnya turut menimbulkan persoalan. Beliau masih dibelenggu tuduhan yang wajib dibuktikan bebas sepenuhnya iaitu kes banglo dan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

Sekiranya langkah siasatan bebas tidak dilaksanakan, dan dengan mudah terus dilantik ke jawatan menteri kanan, maka sejauh mana bezanya iltizam politik Pakatan berbanding BN yang dituduh sering kali memberikan amanah kepada individu yang tidak disiasat secara komprehensif seperti Tan Sri Isa Samad Pengerusi Felda yang gagal menjadi Pengerusi SPAD.  

Pelantikan YB Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan menimbulkan persoalan yang meluas dalam kalangan anggota tentera. Beliau yang berkelulusan Seni Kulinari dikenali dengan siri kenyataan kontroversi tentang Parti Komunis Malaya (PKM) dan pemerolehan aset ketenteraan negara.

Ahli Parlimen Port Dickson Laksamana Muda (B) TLDM Datuk Danyal Abdullah lebih sesuai kerana berpengalaman berkhidmat dengan TLDM mulai 1971 dan bersara pada 2006 sebagai Ketua Penolong Staf (Strategik) Markas ATM.

Tindakan Perdana Menteri Tun Mahathir membuat pengumuman tiga ahli Kabinet kerajaan Pakatan dalam keadaan belum mendapat persetujuan parti komponen terbesar iaitu PKR menimbulkan persoalan kritikal.  Kenyataan Media Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengesahkan kelemahan proses pembuatan keputusan Pakatan yang perlu diperbaiki.

Tindakan Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian bahawa beliau tidak akan memberi peruntukan kepada Adun pembangkang pula bukan sahaja menjadikan tiada beza antara pentadbiran Pakatan dan BN, malah menafikan mandat yang diberikan rakyat kepada wakil rakyat pembangkang di kawasan mereka.  

Pelantikan YB Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak tanpa sebarang pengalaman pentadbiran juga menimbulkan persoalan. Calon yang lebih layak ialah Datuk Seri IR Nizar Jamaluddin dengan pengalaman pentadbiran kerajaan Pas Perak 2008-2009 dan juga lebih berwibawa dari segi latar pendidikan serta profesion.

Kenyataan Lim Guan Eng tentang ‘Bangsa Malaysia’ pula berpotensi mewujudkan persoalan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia tentang pembezaan takrif ‘Orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak’ serta kedudukan istimewa dan perizaban mereka. Definisi ‘Bangsa Malaysia’ yang dipegang Guan Eng sebaiknya diperjelaskan.

Pelantikan Tan Sri Robert Kuok sebagai salah seorang ahli Majlis Penasihat turut menimbulkan tanda tanya. Mujurlah, keanggotaan beliau dalam majlis berkenaan turut diimbangi dua sarjana yang tegas menentang ‘crony capitalism’ iaitu Prof Jomo Kwame Sundaram dan Dr Muhammed Abdul Khalid.

Mesyuarat pertama Majlis Presiden Pakatan Harapan selepas Tun Mahathir mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri telah dilangsungkan di premis milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.  Sekali lagi timbul persoalan, tidakkah ia menggambarkan potensi berlakunya ‘conflict of interest’ kelak apabila Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary menyertai persaingan tender awam/kerajaan?

Walau bagaimanapun, tentulah ada aspek positif dalam seminggu pentadbiran Pakatan ini berbanding kerajaan BN terdahulu. Buktinya kesanggupan PM Tun Mahathir untuk menjalankan sesi sidang akhbar secara terbuka, tindakan pantas untuk menyiasat salah laku BN seperti menghalang Datuk Seri Najib dan isteri ke luar negara, komitmen mengganti ketua-ketua jabatan kerajaan terdahulu yang didakwa bersubahat dengan kleptokrat, komitmen penghapusan undang-undang yang didakwa bercanggah dengan semangat demokrasi, serta penubuhan Majlis Penasihat (Council of Eminent Persons).

Dari segi geopolitik pula, PM Tun Mahathir jelas memberi isyarat tegas berkenaan kemungkinan tidak membenarkan kapal perang Tentera Laut China untuk berlabuh di Malaysia lagi. Demikian juga jawapan beliau tentang ECRL di mana ia akan dikaji agar tidak hanya memanfaatkan China semata-mata tetapi juga Malaysia.  

Sama-sama kita berharap minggu-minggu yang berikutnya akan menyaksikan lebih banyak penambahbaikan kerajaan baharu Malaysia.

 * Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)