GENAP 100 hari Pakatan Harapan, tentulah ada pelbagai kebaikan dan kekurangan yang boleh diperhatikan. Tulisan ini memberi fokus kepada ruang di mana penambahbaikan adalah wajib dilakukan secara agresif dan segera oleh kerajaan.  

Perspektif pertama ialah kos sara hidup rakyat: Harga minyak hakikatnya perlu diturunkan, biar pun sedikit; kadar tol perlu dikaji semula (atau dimansuhkan secara bertahap); hutang yang dipaksa ke atas peneroka Felda perlu dihapuskan; harga ubat perlu diturunkan; tarif elektrik janganlah dinaikkan; gaji kakitangan awam seeloknya disemak untuk gred tertentu; gaji minimum wajib segera diperkasakan; cukai SST 10% campur 6% perlu ditangguhkan; KPDNKK perlu lebih proaktif dengan mekanisme pencegahan inflasi terbaharu; harga rumah perlu diturunkan dengan agresif.

Aspek sosial pula menyaksikan beberapa iktibar: Menteri perlu cermat dalam melontarkan pandangan seperti isu istilah ‘Hifz Din’ dan pemulihan LGBT; menteri bukan Islam tidak sepatutnya perkecilkan usaha pakaian patuh syariah; menteri juga perlu segera memohon maaf seperti dalam isu tuduhan Melayu ‘pendatang’; kenyataan akhbar tidak perlu lagi diedarkan dalam bahasa Mandarin dan Tamil; tarik-tali pengiktirafan Sijil UEC jangan lagi diulangi; janji 30% wanita dalam Kabinet juga seharusnya ditepati.

Dari segi keselamatan negara pula, isu-isu berikut perlu diberi perhatian: Menteri perlu berhenti mendedahkan situasi pertahanan dalaman negara seperti jumlah Sukhoi yang boleh beroperasi; pembocoran Surat MEIO kepada CIA tidak boleh diulangi kerana beri kesan kepada perisik negara; kes P. Ramasamy dan pengganas LTTE; pendekatan unilateral seperti menamatkan KSCIP perlu dielakkan pada masa hadapan; kemaraan China di Laut China Selatan wajib diambil serius; Menteri Luar tidak perlu buka ‘kotak Pandora’ dengan menandatangani semua Konvensyen Hak Asasi Manusia; visi baharu Malaysia dalam Asean dan OIC perlu dibentangkan; Menteri MITI perlu cekap tangani Perang Perdagangan Amerika-China; tindakan menyerah Pulau Batu Puteh begitu sahaja kepada Singapura jangan diulangi dalam rundingan HSR dan semakan harga air.

Pengurusan aset negara juga perlu dibebaskan daripada retorik politik seperti kes memburukkan Khazanah di bawah Tan Sri Azman Mokhtar, yang akibatnya Khazanah hilang RM2 bilion dalam satu malam; reformasi institusi juga terencat dengan pelantikan Tun Mahathir sendiri menjadi Pengerusi Khazanah dan Azmin Ali dilantik Pengarah Khazanah.

Dari segi fokus mengurangkan jurang antara kaya miskin, isu-isu berikut perlu ditangani: ketiadaan cukai ke atas orang kaya seperti ‘Higher income tax’, ‘Capital gain tax’, dan ‘inheritance tax’; tiada rancangan pemerkasaan kontraktor kecil Bumiputera setakat ini; kawasan Parlimen pembangkang dianaktirikan dengan peruntukan RM100k berbanding Pakatan (RM500k); tiada alternatif monopoli Bernas; tarik-tali’ royalti petroleum kepada 4 negeri; penoreh getah perlu dibantu.

Dari sudut tadbir urus pula, kerajaan PH perlu segera untuk isytiharkan harta secara terbuka; sesetengah timbalan menteri perlu berhenti daripada lebih sudu dari kuah berbanding menteri; kuasa Majlis Penasihat (CEP) perlu dibatasi; anggota CEP tidak wajar memonopoli jawatan ekonomi politik; Suruhanjaya Siasatan Diraja Mara, Felda, Tabung Haji perlu ditubuhkan; reformasi struktur Mara, Felda, dan Tabung Haji tidak perlu dilengahkan; amalan mengutus individu bukan eksekutif seperti Tun Daim ke China, mengetepikan Menteri Luar dan Menteri Kewangan, perlu dihentikan; amalan ‘bulldozer’ di Parlimen seperti kes SST perlu dihentikan.

Dalam sektor pendidikan pula, beberapa isu berikut perlu disantuni: mekanisme isu ‘Guru Duka Lara’ belum komprehensif; hidupkan semula MyBrain dan MyPhD; ‘tarik-tali’ peminjam PTPTN; TVET masih kabur; Reformasi UA masih tidak kelihatan; isu ‘kiri’ dan komunisme dalam silibus Sejarah.

Pokoknya, setakat 100 hari pertama ini, mata wang Ringgit masih gagal untuk diperkasakan; pelan pengangkutan awam PH juga tenggelam dek projek kereta nasional ketiga; pelaburan asing masih perlu untuk ditingkatkan.

Maka, alasan hutang RM1 trilion untuk kerajaan tidak menunaikan manifesto perlu dihentikan segera – berhenti salahkan kerajaan terdahulu, fokus pada usaha jana pendapatan baharu.  Semoga 100 hari mendatang lebih baik buat Malaysia baharu.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)