HINGGA ke hari ini, kebimbangan para sarjana Politik antarabangsa sebenarnya masih lagi tentang akibat dahsyat kegagalan pengurusan isu perkauman dan ras selepas Perang Dunia Pertama.  

Mereka tidak henti-henti untuk mengingatkan generasi hari ini tentang faktor yang membawa kepada bangkitnya Nazi di Jerman, fasis di Itali, dan imperialisme di Jepun, yang akhirnya mengakibatkan meletusnya Perang Dunia Kedua.

Hakikatnya kita di Malaysia pasca PRU14 juga perlu mengambil iktibar daripada senario Perang Dunia Kedua ini. Tidak, semestinya kita rakyat Malaysia yang cintakan keamanan tidak akan berperang antara satu sama lain seperti mana yang terjadi dalam senario di atas.  Sebaliknya, pengajaran tentang ‘pengurusan politik perkauman’ itu yang perlu diperhatikan.  

Mesyuarat Dewan Rakyat kali ke-14 akhirnya selamat dirasmikan minggu ini. Buat pertama kali dalam sejarah politik tanah air, ahli parlimen Melayu-Islam lebih ramai berada di blok pembangkang manakala ahli Parlimen bukan Melayu lebih ramai di blok kerajaan.  

Tentulah, kedudukan kerusi di Dewan Rakyat semata-mata tidak memberi apa-apa isyarat yang signifikan. Tetapi lain halnya apabila menyentuh mengenai implikasi kedudukan tersebut ke atas psikologi orang Melayu-Islam.

Hari ini Pakatan Harapan (PH) menguasai 58 kerusi Melayu-Islam, disaingi Umno yang memiliki 51 kerusi. Pas pula memiliki 18 kerusi.  Maka pastinya setiap gerak langkah kerajaan PH akan diperhatikan dengan teliti – sejauh mana mereka mampu mentadbir dengan lebih baik berbanding Umno, khususnya dalam pemerkasaan Melayu-Islam.

Kemudian timbul pula satu lagi pertimbangan yang perlu diambil kira – sejauh mana benarnya tudu-han bahawa kedudukan kerusi bukan Melayu yang lebih besar bakal memberi kesan kepada dasar-dasar kerajaan PH?  

Kesemua persoalan ini cukup sensitif dan kontroversi namun ia sama sekali tidak mengejutkan. Persoalan-persoalan yang berkait dengan agama, ras, dan kaum ini akan tetap relevan, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia. Lihat sahaja kemenangan Donald Trump di Amerika Syarikat, lihat sahaja kemenangan parti haluan kanan di banyak tempat di Perancis dan Jerman, lihat sahaja sentimen anti-Kesatuan Eropah (EU) hingga terjadinya Brexit di UK.  

Sejarah mengajar kita bagaimana Perang Dunia Kedua meletus. Sekali lagi, isu-isu yang dibawa gerakan haluan kanan terbukti tidak boleh dipandang rendah; Adolf Hitler berjaya memainkan sentimen bangsa Aryan hinggakan Nazi yang sebelumnya tidak begitu mendapat tempat di Jerman dengan tiba-tiba menjadi penyatu seluruh warga Jerman untuk berarak menyerang Balkan dan Mediterranean serta menakluk Perancis.  

Selain Mussolini yang mengiringi Jerman di Eropah, Jepun turut menyertai pakatan ini – dengan slogan ‘Asia untuk orang Asia’, angkatan Matahari Terbit mara ke seluruh Pasifik hingga menenggelamkan ego Amerika di Pearl Harbor.  

Tidak kurang meresahkan para sarjana ialah kegagalan pakatan Great Britain-Perancis-Rusia yang tidak ditubuhkan pada tahun 1930-an lagi untuk mencegah ketiga-tiga kuasa tersebut. Sedangkan mereka sudah mengetahui jauh lebih awal lagi bahawa sekiranya dibiarkan lebih lama, kuasa Nazi akan semakin kuat di bawah karisma Adolf Hitler di Jerman, seperti mana juga pengaruh Benito Mussolini juga semakin berleluasa di Itali.

Tentu sekali kita di Malaysia hari ini mengharapkan kerajaan PH tidak mengulangi kealpaan sebegini.

Kerajaan tidak boleh sama sekali mengulangi kesilapan negara-negara Berikat dahulu. PPBM jangan ulangi kesilapan Great Britain. PKR jangan ulangi kesilapan Perancis. DAP jangan ulangi kesilapan Rusia.

Perdana Menteri Tun Mahathir hari ini tidak seharusnya melakukan khilaf seperti Perdana Menteri Britain Neville Chamberlain pada 1930-an yang memandang rendah keperluan untuk menangani keresahan sentimen bangsa Jerman yang dimalukan selepas Perang Dunia Pertama – lantas memberi ruang kepada kemaraan Hitler dan Nazi.

Usah pandang rendah keupayaan Umno (dan Pas) untuk menggembleng pengaruh undi di 120 kerusi Parlimen Melayu-Islam. PRU15 bakal menjadi medan yang perit buat PH seandainya isu UEC, LGBT, desakan pengusiran Dr Zakir Naik, penstrukturan Jakim, RUU355, dan sebagainya tidak ditangani dengan cekap.

* Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)