YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammd V menceriakan Dewan Rakyat pagi Selasa, dua hari lalu. Sebelum duduk baginda bertitah: “Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sila duduk, dan jangan lari!” seluruh Dewan ketawa dengan gurauan diraja itu.

Mungkin benar hanya satu gurauan. Tetapi pesanan DYMM sebelum merasmikan sidang Parlimen-14 itu perlu diambil lebih dari sekadar gurauan, khasnya kepada ahli-ahli Yang Berhormat.

Hakikatnya ialah sehari sebelum itu – Isnin – Parlimen yang pertama kali bersidang selepas PRU14 telah digamatkan dengan tindakan meninggalkan Dewan oleh anggota pembangkang.

Kesemua – kecuali dua – anggota BN dan Pas, beramai-ramai keluar Dewan sebagai protes selepas mendakwa bahawa pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker tidak mematuhi prosedur.

Dua YB pembangkang yang tidak menyertai protes tersebut ialah wakil Rembau, Khairy Jamaluddin, dan wakil Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.

Sebenarnya tindakan keluar Dewan bukan perkara baharu dalam Parlimen kita. Sebelum peristiwa awal minggu itu pun sudah acap kali rakyat melihat wakil pilihan mereka lari memboikot persidangan.

Maka bukan luar biasa apabila kali ini para YB BN pun bertindak sama. Apa yang luar biasa ialah ini adalah pertama kali sejak merdeka, BN menjadi pembangkang.

Agaknya YB-YB BN pilihan pengundi itu ingin membuktikan kepada Malaysia bahawa mereka sekarang menjadi pembangkang, maka boleh ‘lari’ dari persidangan.

Tetapi, boikot dan keluar Dewan bukanlah ‘trade mark’ yang baik untuk menjadi pembangkang. Semasa menjadi kerajaan sebelum ini BN selalu mencemuh pembangkang yang bertindak keluar Dewan.

Anggota pembangkang yang meninggalkan Dewan dianggap sebagai tidak menghormati majlis, kurang ajar, mempersenda demok-rasi, tidak menghargai sokongan pengundi.

Kali ini setelah beralih tempat duduk di dalam Parlimen, wakil BN, khasnya Umno, sepatutnya tidak mengulangi apa yang mereka cemuh sebelum ini.

Sebaliknya wakil-wakil rakyat Umno – juga anggota bukan kerajaan yang lain, termasuk Pas – perlu membuat ‘branding’ baharu sebagai pembangkang. Umno sebagai parti tersohor orang Melayu telah ditolak oleh rakyat pada PRU14. Parti yang mendominasi kerajaan sejak lebih 60 tahun lalu sudah diketepikan dari arus perdana.

Tetapi imej dan ‘ketuanan’ parti itu mungkin boleh dipulihkan sekiranya YB-YB mereka dapat betul-betul berperanan sebagai pembangkang terbaik di Parlimen.

Lagi pun dengan lebih 50 kerusi di Dewan Rakyat, wakil-wakil Umno sepatutnya menjadi contoh pembangkang yang tegas, terbuka dan bertanggungjawab.Lupakan kemegahan, keseronokan dan nostalgia menjadi kerajaan sebelum ini, wakil-wakil Umno di Parlimen mesti betul-betul memperjuangkan nasib rakyat yang me-ngundi mereka.

Lihat dan dengar rintihan pengundi, kemudian suarakan hasrat rakyat menerusi perbahasan dalam Parlimen. Berhujahlah dengan fakta, bukan auta dan hubaya-hubaya silam. Ketengahkan isu-isu semasa rakyat, tegur secara rasional bukan emosional melulu. Sekiranya kerajaan tidak betul, tegur dengan jujur.

Lagipun kerajaan hari ini telah memberi jaminan bahawa anggota-anggota Dewan – tidak kira pembangkang atau kerajaan – boleh menyuarakan apa-apa sahaja isu, tidak ada sekatan.

Harapan seluruh rakyat ialah pembangkang pasca tsunami 9 Mei benar-benar menjadi suara semak dan imbang dalam Dewan yang mulia.

Tetapi sekiranya hanya pandai – dan bersemangat – untuk boikot dan lari meninggalkan Dewan itu bukan pembangkang yang dikehendaki rakyat. Tidak sahaja pandai boikot dan lari, Parlimen-14, mesti menunjukkan kematangan yang tinggi, bukan sikap kebudak-budakan.

Maka menjerit, tumbuk-tumbuk meja, ‘boo’, kata-kata kurang sopan, mencarut dan sebagainya, itu bukan cara berhujah orang Yang Berhormat. Itu perangai budak-budak kelas longkang! Lebih penting lagi, pembangkang era baharu mesti bersuara dan memperjuangkan hak rakyat dengan kewibawaan yang tinggi. Tidak kira parti mana, pembangkang dihormati kerana wibawa.

Mungkin timbul kesangsian, dan pertanyaan: bagaimana hendak membangkang dan berhujah penuh wibawa, sekiranya rakyat melihat pembangkang sendiri memang tiada wibawa?

Memang ada sesetengah pembangkang dilihat sifar wibawa, berikutan terlibat dalam beberapa kes. Pembangkang jenis ini, makin banyak berhujah hanya menjadi bahan ketawa.

Tetapi, pasti ada dalam kalangan pembangkang yang masih tinggi kewibawaan. YB jenis inilah yang diharap dapat meningkatkan jenama baharu pembangkang dalam Parlimen kita.

ABD JALIL ALI

abd.jalil@karangkraf.com.my