PELAJAR -pelajar sekolah menengah itu begitu asyik memfokuskan lensa kamera untuk mendapatkan sudut terbaik fotografi. Kamera yang digunakan semua jenama terkenal.

Model yang menjadi fokus malam itu adalah tokoh terkenal - Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Perak. YAB sedang berucap sebelum memberi sidang media pada pelajar.

Beliau merasmikan Perhim-punan Kadet Wartawan Sinar di SMKA Sultan Azlan Shah, Seri Iskandar.

Program ini adalah satu usaha untuk melatih pelajar menjadi wartawan. Matlamat program ialah melahirkan ramai wartawan warga @ citizen journalist.

“Wartawan sekarang berdepan cabaran terutama dalam menangkis berita palsu yang disebarkan menerusi pelbagai media sosial,” kata Zambry sambil memuji langkah Sinar Harian kerana menganjurkan program ini.

Pelajar-pelajar dari beberapa sekolah pilihan itu begitu bersemangat menyoal MB, betul-betul macam wartawan di lapangan. Teringat saya ketika mula bertugas zaman remaja dulu.

Saya menjadi wartawan tanpa sebarang latihan formal. Minat mendorong saya untuk menulis.

Sebenarnya saya mula menulis sejak di tingkatan empat. Tulisan tangan - masa itu tidak ada mesin taip, jauh sekali komputer! - saya hantar ke Utusan Melayu.

Macam-macam saya tulis. Jalan kampung tidak berturap, kambing kena curi, ayam bertelur dalam tempayan. Tok imam ponteng solat subuh pun jadi bahan tulisan.

Berpuluh tulisan saya hantar, setiap kali hantar kena setem 15 sen, tidak satu pun disiarkan. Kerana minat saya tidak putus asa dan terus menulis.

Pertama kali tulisan saya disiarkan adalah mengenai cermin tingkap perpustakaan - dulu disebut khutub khanah - yang pecah tetapi berbulan tidak diganti.

Tulisan tujuh paragraf itu disiarkan dalam Utusan Malaysia di ruangan Surat Pembaca. Saya baca tulisan itu di perpustakaan waktu rehat.

Kembang hati saya melihat tulisan saya tersiar. Asalnya saya hantar tujuh paragraf, yang disiarkan - setelah diedit - hanya tiga para.

Tajuknya Cermin Khutub Kha-nah Pecah Tak Berganti. Paling saya suka di hujung tulisan itu ada nama penulisnya, Kelana Senja. Itu nama samaran saya, sempoi betul!

Berita saya pertama kali disiarkan di akhbar yang sama ketika saya naik tingkatan lima. Berita lima para mengenai kegiatan curi ayam dan curi getah keping di kampung saya.

Ketika itu selalu ada persembahan artis Pop Yeh-Yeh di padang sekolah. Harga masuk RM1. Orang curi ayam dan getah keping untuk tiket Pop Yeh-Yeh.

Banyak tulisan saya disiarkan sebagai berita kaki. Tidak ada byline tetapi setiap berita akan dibayar mengikut inci. Ada kalanya saya dapat RM10 sebulan. Lima puluh tahun dulu RM10 besar nilainya, sebab harga ABC hanya 15 sen.

Sebenarnya walaupun menulis secara sambilan saya dapat wang saku agak lumayan, membolehkan saya membeli buku, uniform sekolah dan lain-lain keperluan.

Walaupun rakan-rakan sekelas menyatakan cita-cita hebat - doktor, peguam, arkitek, jurutera dan lain-lain, saya bertekad untuk menjadi wartawan.

Saya rasmi menjadi orang surat khabar di Jalan Chan Sow Lin pada 2 Februari 1974, dilatih oleh wartawan kanan ketika itu, termasuk Zam (Tan Sri), Subky Latif, Suhaimi Mokhtar.

Selain menulis berita dan rencana saya juga menulis bahan-bahan kreatif - cerpen, skrip drama dan filem, novel - menggunakan berbagai nama samaran seperti Jasnilara, Mimi Hamidah, Boonlert Pratchai dan lain-lain.

Dulu-dulu wartawan serba kekurangan. Menulis menggunakan mesin taip. Ruang kerja pemberita bising dengan ketukan mesin taip.

Sekiranya bertugas di luar masalah utama ialah telefon untuk menghantar berita. Almaklumlah telefon awam tidak banyak, selalu rosak pula.

Sekarang wartawan menulis dan menghantar berita dan gambar di mana sahaja pada bila-bila masa hanya menggunakan gajet. Itu pun selalu terlepas deadline.

Diam tak diam saya sudah menulis hampir empat dekad. Dan saya terus ghairah seperti wartawan-wartawan kadet itu!