MINGGU lalu saya di Padang, menyertai rombongan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menghadiri Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia.

HPN yang diadakan setiap tahun adalah perayaan khusus untuk wartawan di republik itu. Selama tiga hari pelbagai acara diadakan untuk mengakrabkan hubungan pengamal media dengan masyarakat.

Tahun ini acara kemuncak diadakan di bumi penuh adat, dihadiri oleh kira-kira-kira 4,000 wartawan mewakili pelbagai organisasi media seluruh Indonesia dan dirasmikan oleh Presiden Jokowi.

Rombongan dari KL, diatur kementerian dan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia – Indonesia (ISWAMI), terdiri daripada kira-kira 20 ketua pengarang dan pengarang kanan, termasuk Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh dan Ketua Pengarangnya, Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Sebenarnya saya telah beberapa kali hadir sambutan sama yang diadakan di kota-kota besar, termasuk di Batam, Bukit Tinggi, Lombok, Minado. Tetapi HKM 2018 dengan tema Memerangi Berita Palsu paling bererti buat rombongan negara.

Bukan sahaja sambutan meriah lagi mesra yang diberikan oleh pengamal media Indonesia, perkara yang paling menggembirakan datang daripada Dr Salleh sendiri.

Beliau memberitahu, kerajaan merancang mengadakan Hari War-tawan Kebangsaan Malaysia mulai tahun ini bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan golongan pengamal media.

Seperti yang dilaporkan media. kementeriannya akan berbincang dan bekerjasama dengan kepemim-pinan organisasi media dalam negara bagi memilih tarikh dan melaksanakan hari wartawan sebagai acara tahunan.

“Kita juga akan mengundang wartawan Indonesia untuk memeriahkan Hari Wartawan Kebang-saan Malaysia, sebagaimana yang dilakukan sempena Hari Pers Nasio-nal yang diadakan di Indonesia pada setiap tahun,” katanya. Mudah-mudahan kata-kata menteri berkenaan akan jadi kenyataan. Amin!

Meski gembira sakan, secara peribadi saya gagal dalam misi HKM kali ini. Satu kegagalan yang amat memilukan, sekali gus menepati judul sebuah lagu asli Minang, Ayam Den Lapeh @ dalam bahasa kita ayam ku terlepas.

Sebenarnya menangkap ayam tidak termasuk dalam agenda Iswami di HPN, dan saya langsung tidak mahu terlibat dalam acara tidak rasmi ini. Tetapi pesanan menerusi WhatsApp yang diterima seorang anggota rombongan, menimbulkan rasa simpati:

“Apa cara pun hang cari juga restoran tu sampai dapat...” Panjang lagi mesej pada skrin HP, dan penghujungnya bagaikan merayu: “Saya berkenan sungguh dengan si ayu itu. Dapatkan statusnya, sama ada masih gadis, sudah berpunya, atau janda...”

Mesej itu daripada seorang bekas rakan sekerja, yang sejak lebih dua tahun lalu dalam kesepian yang amat kerana kematian isteri. Alkisah, kira-kira sebulan lalu dia bersama rakan yang kali ini menganggotai rombongan Iswami, libur ke Padang, singgah di sebuah restoran, dan terus terpikat pandang pertama pada si ayu yang bekerja di restoran berkenaan.

Tetapi kerana gubra sakan, juga kesuntukan waktu, dia tidak menyatakan hasratnya ketika itu, hatta bertanya nama si ayu itu pun dia tidak berani.

Rupanya sejak pertemuan pertama itu, si duda mula merasa kesepiannya bakal berakhir. Selama sebulan mimpi dan igaunya tak lain tak bukan hanyalah si ayu itu.

“Datuk kena tolong sahabat kita ini,” kata rakan tersebut sebaik mendarat di Bandara Internasional Minang. “Ini amanah dia pada saya, kita kena sempurnakan. Lagi pun ini soal mendirikan masjid...”

Maka, kami berempat tengah hari itu singgah di restoran berkenaan. Elok saya rahsiakan nama yang terlibat, takut menimbulkan syak kepada para isteri di KL. Memang, niat baik untuk tolong mendirikan masjid. Tetapi jika silap tafsir, masjid kami pula akan berantakan!

Si ayu itu - namanya Yenni – rupanya anak pemilik restoran. Tentu sekali dia senang menyambut kami, kerana mengecam seorang daripaada kami yang makan di restorannya sebulan lalu.

Saya memulakan bicara dengan menyampaikan puji-pujian si duda yang “amat menyukai lagi menyenangi makanan dan serba-serbi di restoran ini, termasuk Yenni.”

Santun sekali Yenni menjawab: “Terima kasih, Pak. Saya juga senang mendengar perkhabaran semacam itu.” Lega, seorang antara kami menyepak kaki saya di bawah meja, sambil berbisik: “Burung sudah dalam genggaman.”

Selepas menjamah makanan dihidang Yenni dan ibunya, saya terus menyatakan hasrat sebenar ingin merisik, kalau boleh melamar terus, si ayu buat sahabat di KL.

“Aduhhh, ampun Pak,” kata ibunya, sekali gus membuat kami gamam. “Si Yenni ini sudah punya suami, sudah anak dua lagi. Ampun ya Pak...” Kantoi.

Saya juga memohon maaf, terasa sedih sekali. Sempat kami mengambil gambar di depan restoran bersama keluarga Yenni, termasuk dua anaknya yang masih kecil. Gambar ini juga tidak disiarkan, hanya kenangan dalam HP.

Dalam perjalanan pulang ke hotel, perihal ayam yang terlepas itu terus diwasapkan kepada yang berhajat. Lewat senja baru dia membalas pesanan: “Makin sepi rasanya hidup ini... Apa pun terima kasih sebab hang pa semua telah berusaha yang terbaik.”

Pasti si duda kecewa bukan kepalang. Ketika di Padang kami berlagu Ayam Den Lapeh, di KL sahabat kami itu mungkin tidak tidur-tidur, dan asyik mendayukan lagu Ubek-kan Denai @ ubatkan daku.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • WALAUPUN sudah empat dekad berpindah, bertukar kad pengenalan dan menjadi warga KL, hari ini saya hendak mengaku bahawa saya ‘orang Muo’.
  • HANYA menunggu hari! Segalanya sudah tidak dapat dielakkan lagi. Bagaikan sudah hilang semua upaya untuk menyelamatkannya.
  • GARA-GARA menampar seorang wanita di sebuah perhentian bas, seorang lelaki ditahan polis untuk siasatan. Insiden yang tular itu pun segera menjadi berita dunia, apabila dimuat naik dan disebarkan menerusi portal berita Daily Mail, London.
  • WALAUPUN pantai timur dilanda banjir, berkereta ke Kuala Terengganu dua minggu lalu tidak terganggu sedikit pun. LPT2 dari KL ke destinasi, tidak dihalang air.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.