AL-KISAH, cakap-cakap mula kedengaran bahawa selepas PRU14 nanti cukai barangan dan perkhidmatan, atau panggilan manjanya GST, akan dihapuskan.

Setakat rencana ini ditulis – semalam – dua manifesto telah dilancarkan, masing-masing menjanjikan akan menamatkan cukai yang mula dikuatkuasakan pada 1 April 2015 itu.

Mula-mula manifesto Pakatan Harapan (Harapan) berjanji menghapuskan GST. Kemudian Pas melancarkan manifestonya, juga berjanji membuang cukai tersebut.

Maka, kata yang empunya cerita, terlepaslah kita semua dari cukai 6 peratus yang dikatakan menjadi punca utama kenaikan harga sebahagian besar barangan dan perkhidmatan.

Kata sahibul hikayat, apabila cukai berkenaan dimansuhkan, tekanan hidup rakyat dijangka berkurangan, demikian juga tekanan darah, tekanan perasaan, dan tekanan-tekanan lain.

Maka teringat saya ketika cukai paling tidak popular itu dimulakan dulu, kerajaan menegaskan cukai berkenaan amat penting, dan berjanji ia akan meringankan beban rakyat.

Malah, seorang timbalan menteri bercakap pagi-petang, siang-malam, menguar-uarkan dengan penuh yakin bahawa “harga barang pasti akan turun dengan pelaksanaan GST!”

Kerajaan betul, cukai berkenaan telah meringankan beban rakyat. Suri rumah yang selalu membeli di pasar raya atau pasar biasa, terasa benar beban dan berat selama ini terasa semakin ringan.

Mereka mengakui sebelum GST dikuatkuasakan bawa RM200 ke pasar raya, troli sarat dengan muatan, berat menolaknya. Tetapi selepas GST dengan jumlah RM yang sama tetapi troli tidak penuh, ringan dan mudah ditolak.

Sebab timbalan menteri yang banyak cakap itu ternyata cakapnya tidak betul. Kata-katanya “harga barang pasti akan turun”, ternyata auta. Selepas GST harga lebih mahal.

Duit kita macam tidak ada nilai, ciput. Ikan kembung yang menjadi petunjuk kemampuan rakyat biasa pun naik meroket, dulu paling mahal RM8 per kilo, sekarang menjadi RM15.

Ikan lain jangan sebut, hanya mampu lihat, tidak mampu beli.

Dalam pada itu ada pula sesetengah peniaga hisap darah – macam puntianak – dengan mengenakan GST pada barangan yang sepatutnya dikecualikan cukai berkenaan. Mengadu pihak berkenaan, tiada sebarang tindakan.

Orang marah kepada timbalan menteri berkenaan, menganggapnya sebagai timbalan menteri paling tidak bijak. Ada yang menyamakan beliau dengan burung kakak tua, pandai bercakap tetapi tidak faham apa yang dicakapkan.

Dan, GST pun diberi pelbagai jolokan, antaranya ‘Gasak Sampai Tertonggeng’, ‘Gentel Sampai Terlondeh’, macam-macam.

Rakyat marah dengan cukai tersebut, merasa tekanan hidup semakin teruk hari demi hari. GST pun menjadi ‘Geram Sampai Tua’.

Mungkin geram itu tidak sampai ke tua, dan akan berakhir selepas memangkah pada pilihan raya umum akan datang – tarikhnya belum pasti, tetapi semakin hari semakin hampir.

Baik Harapan mahupun Pas masing-masing memberi syarat untuk menghapuskan GST, iaitu sekiranya menang PRU14 dan membentuk kerajaan baharu.

Kuasai dulu Putrajaya, barulah GST dihapuskan. Ertinya pengundi yang akan menentukan sama ada geram akan terus sampai ke tua.

Tidak kira siapa yang akan membentuk kerajaan selepas PRU14, janji-janji manis seperti dalam manifesto tidak mudah untuk dilaksanakan sekelip mata.

Kadangkala yang kelihatan manis di atas kertas, menjadi sesuatu yang pahit untuk segera dilaksanakan. Lebih-lebih lagi GST menjadi sumber pendapatan untuk perbendaharaan.

Hakikatnya ialah, seperti yang dilaporkan, tahun lalu saja, jumlah terkumpul kutipan GST di seluruh negara ialah RM41.2 bilion, lebih tinggi berbanding sasaran ditetapkan iaitu RM39 bilion.

Sekiranya cukai tidak popular itu dihapuskan, apa alternatif lain untuk mendapatkan RM40 bilion itu? Harap-harap sudah difikirkan kaedah lain yang lebih munasabah, dan tidak membebankan rakyat, untuk memperoleh RM bilion-bilion itu.

Sekiranya anda telah mendaftar sebagai pemilih, undi anda menjadi penentu. Sekiranya anda hanya cakap dan menjerit penuh semangat, tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih, jeritan anda tidak bererti apa-apa.

Hatta, sekiranya anda telah mendaftar sebagai pemilih, tetapi tidak keluar mengundi, atau terpengaruh dengan kempen Undi Rosak, itu pun tidak dapat mengubah GST.

Sebab itu anda yang layak kena mendaftar sebagai pemilih, dan kena mengundi penuh tanggungjawab. Satu undi anda boleh menentukan GST atau tidak.

ABD JALIL ALI

abd.jalil@karangkraf.com.my