SASARAN awal ialah 111. Syabas, team kita terlebih sasar, dengan  memperoleh lebih 140 pingat emas. Tidak syak lagi, muncul juara keseluruhan pada Sukan Sea-29 di Kuala Lumpur, adalah hadiah paling bermakna untuk sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-60.

Tentu sekali kilauan emas – juga pingat-pingat lain, lebih 300 jumlah pingat – yang diraih itu adalah hasil kesungguhan atlet negara yang lama sebelum turun ke gelanggang telah bertungkus-lumus menjalani latihan. Kerja kuat mereka telah membuahkan hasil yang amat memberangsangkan.

Namun, tidak dinafikan juga sokongan peminat yang datang ke setiap gelanggang, dan yang menonton di kaca TV juga di media sosial, sama-sama telah menyemarakkan sukan tersohor di rantau ini.

Dan seperti yang terbukti, sukan telah menjadi faktor penyatu seluruh rakyat. Bermula pada malam pembukaan hingga acara penutup yang penuh warna-warni, rakyat tanpa mengira usia dan keturunan memadukan sorak dan tepukan setiap kali lagu Negaraku dimainkan pada acara penyampaian hadiah.

Dan, tanpa mengira pega-ngan politik dan agama, semua megah melihat kibaran Jalur Gemilang di gelanggang. Su-kan telah menyatukan, dan memercikkan kilauan emas sebenar di jiwa setiap orang.

Sukan Sea ke-29 betul-betul telah menghangatkan semangat Merdeka-60.

Tetapi, ada semangat lain lebih besar – al-Quran – yang mengiringi dan mewarni sambutan kemerdekaan kali ini. Itulah Merdeka#QuranHour yang berjalan serentak dengan World#QuranHour, hari ini.

Bermula jam 11 pagi ini, seluruh alam akan disyahdukan dengan bacaan Kitab Suci itu. Berjuta umat di beribu lokasi di lebih 50 negara seluruh dunia telah mengesahkan penyertaan satu gerakan bersepadu untuk membaca, memahami dan mengamalkan ayat-ayat ALLAH.

Pada peringkat nasional World#QuranHour akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, juga di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Mereka yang di Lembah Klang boleh ke lokasi ini untuk serentak membaca al-Quran.

Bawalah seisi keluarga dan sahabat handai untuk memulakan satu perubahan, iaitu membiasakan – dan memesrakan – diri dengan al-Quran. Bagi mereka yang telah lama membaca dan memahami, jadikan perhimpunan ini untuk menunjukkan perpaduan ummah.

Bagi mereka yang berada di luar dua lokasi berkenaan, datanglah di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan di seluruh negara, termasuk di Rumah-Rumah Ngaji.

Atau, jika tidak di tempat-tempat tersebut, bacalah al-Quran di mana sahaja yang sesuai – rumah, masjid, surau, pejabat, perpustakaan, taman, tempat makan awam, R&R, hospital, hatta di dalam kereta dan mana-mana pengangkutan awam.

Tepat jam 11 pagi, ajaklah isteri, suami, anak-anak dan siapa sahaja yang disayangi untuk serentak membuka Kitab Suci dan membaca lirik-lirik dari langit. Bayangkan sekiranya seluruh dunia membaca serentak!

Mereka yang tidak pandai membaca, atau tidak tahu langsung membaca boleh juga turut serta. Mendengar bacaan al-Quran dan bersama orang membaca al-Quran pun akan beroleh pahala, mudah-mudahan terbuka hati mereka untuk mula belajar membaca. Insya-Allah, akan dipermudahkan segala-galanya.

Petang ini pula, bermula jam 4, ramai-ramai kita penuhkan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Sama-sama kita berjemaah Asar, sambil mengikuti ceramah agama yang akan disampaikan oleh penceramah-penceramah terkenal.

Kemuncak World#QuranHour dan Merdeka#QuranHour ialah di Dataran Merdeka. Datanglah beramai-ramai untuk berjemaah Maghrib dan Isyak di atas padang dataran bersejarah itu – solat beramai-ramai di atas hamparan yang disediakan. Tunjukkan perpaduan umah, serlahkan kasih sayang sesama kita.

Dan ramai-ramai kita men-dengar dan membaca al-Quran. Surah Yasin akan dibacakan, diselang-seli dengan terjemahan, tadabur, tazakur oleh ilmuwan agama. Tidak sahaja membaca, kita akan memahami apa sebenarnya di sebalik surah Yasin yang kita baca setiap malam Jumaat.

Mari sama-sama kita banjiri Dataran Merdeka, membaca dan kitab suci, dan menghayati semangat merdeka. Sebelah siang kita menyaksikan perarakan kemerdekaan. Di sebelah malam, di lokasi yang sama, kita mensyukuri erti kemerdekaan.

Mereka yang bukan Islam juga dialu-alukan untuk menyaksikan acara ini. Jika sukan terbukti boleh menyatukan rakyat, al-Quran pasti boleh menyatukan – dan mengharmonikan – ummah.