MEMANG satu nama yang indah, lagi kedengaran murni: Basuki Tjahaja Purnama. Jika dieja baku baru, Basuki ‘Cahaya Purnama’. Atau, boleh juga diertikan ‘sinar rembulan’.

Itu nama rasmi dalam kad pengenalan. Tetapi seluruh Indonesia lebih mengenali lelaki etnik Cina dan beragama Kristian itu dengan nama pendek lagi popular: Ahok.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini orang di tempat kita, terutama yang beragama Islam, juga mengenali dan mengikuti perkembangan Ahok. Di Indonesia ada Ahok, di Malaysia ada ‘Along’.

Selasa lalu Ahok dijatuhkan hukuman penjara dua tahun. Mahkamah mendapati bekas gabenor Jakarta itu bersalah atas tuduhan menghina agama Islam.

Semuanya gara-gara insiden di satu majlis September lalu, di mana Purnama ketika berkempen untuk mempertahankan jawatannya memberitahu penduduk tempatan bahawa lawannya ‘berbohong’ dengan memetik al-Quran melarang daripada mengundi gabenor bukan Islam.

Seperti yang diketahui video ucapan beliau menular di internet, menyebabkan ratusan ribu umat Islam menuntut Ahok didakwa kerana menghina kitab suci al-Quran.

Kes tersebut mendapat liputan meluas media antarabangsa yang menganggap ia sebagai ujian tahap toleransi agama di Indonesia yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia.

Ahok tewas dalam pemilihan gabenor Jakarta bulan lalu kepada calon beragama Islam, Anies Baswedan. Kerana tersilap cakap, beliau menerima dua kekalahan sekali gus – tewas dalam pemilihan gabenor, tewas lagi dalam perbicaraan.

Ramai kalangan agamawan – juga sesetengah ahli politik – di tempat kita beranggapan apa yang terjadi di seberang Selat Melaka itu mungkin meningkatkan sentimen Islam di Malaysia di mana majoriti penduduknya Islam.

Hukuman ke atas Purnama sepatutnya dijadikan panduan dan peringatan kepada rakyat negara ini supaya lebih sensitif terhadap isu-isu agama. Dengan kata lain, orang bukan Islam jangan sewenang-wenangnya menghina Islam.

Tetapi dalam hal toleransi beragama, kedua negara jiran itu ternyata berbeza. Mereka tegas, tidak ada tolak ansur dalam hal agama. Kita nampak macam santai dan sempoi-sempoi sahaja.

Memang, dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, patut sekali kita menghormati agama-agama lain. Tetapi kenapa kita sahaja? Kenapa sesetengah orang tidak menghormati agama Islam?

Selama ini orang Melayu @ Islam sahaja yang memperlihatkan tinggi toleransi terhadap penganut-penganut agama lain. Tetapi sikap bertoleransi itu kerap pula menjadikan agama kita direndah-rendahkan.

Semakin kerap terjadi di depan mata, orang bukan Islam menghina Islam macam-macam cara. Ada yang buang al-Quran dalam tong sampah, ada yang lempar najis dalam masjid. Ada yang menentang pendakwah terkenal dunia untuk mengajar Islam di negara ini.

Apa hak orang bukan Islam menghalang – dan menyaman! – pendakwah dari luar berceramah mengenai Islam di tempat kita?

Malah, belum lama dulu ada remaja bukan Islam berani terang-terang membuat tampalan di Facebook, mempelawa orang Islam berbuka puasa dengan ‘bak kut teh’ @ sup babi. Berani dia meletakkan logo ‘Halal’ Jakim pada sup babi. Apakah ini tidak menghina Islam?

Tetapi biasalah kita hanya hangat-hangat tahi ayam. Sekejap sahaja orang kita marah pada remaja kurang ajar lagi gila @ sewel itu. Oleh sebab kita lemah, si gila itu berjaya meloloskan diri dan bersembunyi di luar negara. Sampai sekarang pihak berkuasa kita gagal menangkapnya, sedangkan dia terus-terusan memperlekeh kita.

Kalau lihat dan membaca di media sosial, hampir setiap hari agama suci kita dihina, secara terang-terangan. Tetapi pihak berkuasa macam tidak dapat berbuat apa-apa. Kita macam hanya berminat untuk bertindak dan menangkap warga maya yang menghina sesetengah individu.

Kalau pihak berkuasa – dengan segala kecanggihan siber –boleh dalam masa singkat menangkap warga maya yang menghina perdana menteri, misalnya, mengapa kita gagal mengesan, menangkap dan menghukum penghina Islam?

Di luar maya pula, orang bukan Islam sedap sahaja membuat kenyataan terbuka menentang kesucian Islam. Macamlah mereka faham sangat mengenai hukum-hakam ALLAH. Mereka berani sebab kita terlalu bertoleransi.

Kita asyik siasat, dan siasat, dan siasat lagi. Orang sudah pijak kepala kita tetapi kita selalu lembap bertindak, konon bimbang menyentuh perasaan orang lain. Boleh jaga perasaan orang lain. Tetapi jaga juga perasaan kita!