ALKISAH, setelah 60 tahun merdeka, jangan lagi kata orang Melayu masih bodoh berniaga. Ada pun cucu-cicit Hang Tuah sudah membuktikan keupayaan berdagang pada peringkat global. Hatta, terbukti juga dalam sesetengah urusan kewangan, orang kita boleh mengalahkan bangsa-bangsa lain yang selama ini memperlekeh kita.

Sebenarnya, kita sudah pandai berniaga. Malah, otak geliga dan seni putar belit sesetengah orang Melayu setanding dengan Jho Low, jutawan Cina kelahiran Pulau Pinang yang dikaitkan dengan 1MDB.

Ini antara sekian banyak contoh perihal kehebatan berniaga dan kepintaran congak-mencongak orang kita, harap maklum:

Sebuah hotel di Kensington, London bernilai RM110 juta. Tetapi sebab terlalu cerdik kita membelinya pada harga RM330 juta, atau tiga kali ganda lebih mahal.

Sebuah hotel di Kuching, Sarawak dinilai RM110 juta, tetapi dibeli pada harga RM160 juta. Itu adalah RM50 juta lebih mahal dari harga asal. Ini pun kes terlajak pintar!

Arakian, orang tidak pintar pun boleh mencongak: 330 - 110 = 220. Satu lagi 160 - 110 = 50. Congak lagi: 220 + 50 = 270. Seyogia diingat ini bukan 270 ribu, tetapi 270 juta.

Maka, dengan membayar pada harga yang jauh lebih mahal, oleh mereka yang bijak berurus niaga lagi tinggi seni putar belit itu, sejumlah RM270 juta duit kita telah dibazirkan.

Ada pun kini orang pintar, orang tidak berapa pintar, semua bertanya: siapakah gerangan si kaki busuk yang telah bazirkan RM270 juta itu?

Pertanyaan lagi: adakah mana-mana pihak mendapat manfaat daripada lebihan bayaran itu? Atau, apakah tidak mungkin lebihan RM ratus-ratus juta itu dibalun mana-mana penyangak?

Perihal pembelian dua hotel yang dikatakan terlebih bayar itu dibuat oleh Felda Investment Corporation (FIC), sebuah anak syarikat Felda.

Apabila rancangan memajukan tanah itu mula dilaksanakan kira-kira setengah abad lalu, matlamatnya amat murni, iaitu untuk membantu mereka yang tidak bertanah memiliki kawasan pertanian.

Dengan bantuan kerajaan dan kegigihan peneroka, Felda berkembang maju sehingga menjadi salah satu syarikat perladangan – kelapa sawit dan getah – terbesar di dunia.

Tetapi biasalah, apabila sudah besar, ramailah bijak pandai dan ahlul nujum yang ingin memperluaskan kegiatan perladangan itu menjangkau bidang-bidang lain.

Walaupun asalnya hanya untuk menanam kelapa sawit dan getah, para ahlul nujum mencadangkan supaya Felda melibatkan diri dalam bisnes lain agar kedengaran hebat, gah lagi internasional.

Maka wujudlah, antaranya, Felda Global Ventures (FGV) yang penuh kontroversi itu. Kemelut FGV telah menyaksikan ramai individu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seperti yang telah diketahui umum, dalam kes FGV ada pegawai kanan yang digantung kerja. Ada juga yang dapat jawatan baharu, lebih selesa dan lumayan.

Alkisah hantu, pelesit dan jin tanah FGV masih belum dihukum, kini tumpuan SPRM ialah menyiasat individu, dan menggeledah dokumen untuk membuktikan ada satu lagi skandal mega di Felda, menerusi anak syarikatnya, FIC. Setakat ini beberapa orang telah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes pembelian dua buah hotel, termasuk mantan CEO, pengarah, peguam dan lain-lain pegawai kanan.

Terkini – dua hari lalu – Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pula telah ditahan SPRM, juga untuk membantu siasatan. Kediaman beliau digeledah. Isa ialah mantan Pengerusi Felda, mantan Pengerusi FGV, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan. Veteran politik itu kini menjadi Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Ramai telah disiasat, banyak telah digeledah, dan pasti ramai lagi yang menggigil lutut, tidak lena tidur, silap-silap boleh terkancing gigi. Tetapi setakat ini belum dapat dipastikan siapakah sebenarnya musibat dan biang keladi di sebalik pembaziran RM270 juta itu.

Maka umum, khasnya 112,000 peneroka Felda seluruh negara betul-betul mengharapkan tugas SPRM segera diselesaikan, dan siapa juga yang tergamak membazirkan duit RM beratus juta itu, mesti dihukum.

Kalau kita masih ingat, sejak awal pembelian hotel tiga empat tahun dulu banyak pihak telah mempersoalkan kewajaran me-labur dalam perhotelan. FIC mempertahankan pembelian tersebut.

Kata Isa, seperti pernah disiar-kan media, pembelian hotel di London itu tidak bertentangan dengan perniagaan teras syarikat perladangan terbabit.

“Hotel ini bukan satu perkara luar biasa, pembangkang tidak faham, sebelum ini kita dah beli lapan hotel,” katanya seperti yang dipetik akhbar pada Oktober 2013. Sebagai orang yang telah banyak makan garam, Isa mungkin betul.

Bagi orang biasa Felda patut memberi keutamaan kepada hal-hal perladangan, dan tidak perlu membazir RM270 juta untuk berniaga hotel. Almaklumlah, ketika semua orang berkeluh kesah sebab kesempitan duit, dan terasa pedih walaupun untuk membeli hanya satu tin sardin, tentulah bertambah pilu sekiranya duit kita betul dibazirkan begitu rupa.

Akhir kalam, agak-agak berapa treler sardin boleh dibeli dengan duit RM270 juta itu?