MUNGKIN tidak perlu, boleh jadi juga tidak berapa bijak. Tetapi saya tidak fikir Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah melakukan kesalahan undang-undang dalam isu ‘anak lelaki Kutty’.

Beliau Timbalan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, dan orang No.2 terkanan dalam parti terbesar Melayu. Malah, kalau nasib baik – dan ada rezeki – anak Bagan Datuk ini mungkin jadi PM.

Lagi pula beliau ialah seorang pemimpin yang diketahui kuat dengan latar belakang agama.

Maka tentulah beliau telah berfikir semasak-masaknya sebelum membuat kenyataan bahawa Tun Dr Mahathir adalah anak lelaki Iskandar Kutty.

Pada satu mesyuarat Umno, beliau malah menunjukkan salinan kad pengenalan asal mantan perdana menteri itu. Ertinya, beliau bukan terlepas cakap, sebaliknya sengaja cakap.

Dan itu tidak salah. Kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, apa yang tercatat di atas kad pengenalan seseorang merupakan maklumat awam yang tidak sulit.

Nur Jazlan menegaskan, seperti yang disiarkan media: “Tindakan Zahid mendedahkan maklumat kad pengenalan Dr Mahathir adalah tidak menyalahi undang-undang.”

Hatta, tidak juga kenyataan Yang Amat Berhormat itu berunsur penghinaan. Seperti yang ditegaskan oleh seorang lagi pemimpin Umno, Nik Mohammad Azli: “Zahid tidak pernah menghina susur galur dan keturunan mana-mana pemimpin di negara ini termasuk Dr Mahathir.”

Kalau sudah sah dan jelas tidak melanggar undang-undang, tidak menghina mana-mana keturunan, tidak juga rasis, Zahid tidak perlu bimbang apa-apa.

Tidak perlulah beliau, dan pegawai-pegawai kanan beliau, membuat pelbagai kenyataan untuk menjelaskan apa maksud sebenar pendedahan kad pengenalan asal Tun M.

Namun, tidak kira apa hasrat di sebalik pendedahan tersebut, memanglah ada pihak yang mempertikai kenyataan kontroversi itu. Maka didedahkan pula oleh sesetengah pihak perihal ramai dalam kalangan kita bukanlah keturunan Melayu sebenar.

Ada sekian banyak pemimpin Umno, timbalan menteri, juga pegawai-pegawai kanan kerajaan yang asal-usul dan nenek-moyang mereka juga bukan Melayu tulen, walaupun kad pengenalan mereka tidak menyebut anak lelaki Kutty.

Mungkin orang No.2 parti terbesar Melayu itu tidak perasan beliau selama ini dikelilingi – dan disokong – oleh sekian banyak Melayu tidak tulen. Harap-harap Melayu tidak tulen ini tidak berasa hati, dan terus menyokong Zahid!

Ada pun perihal Kutty, sejak darjah satu lagi saya telah biasa dengannya. Bukan saya seorang, boleh kata sebahagian besar penduduk kampung sayangkan Kutty.

Maaf, saya tidak bermaksud Kutty dalam kad pengenalan yang didedahkan itu. Kutty di tempat saya ialah seorang pemilik kedai runcit yang sinonim dengan kain sarung putih dan tali pinggang besar berwarna hijau itu.

Saya tidak pasti nama sebenarnya – ada yang kata Mohideen, ada juga kata Jabar – tetapi dia lebih mesra dengan panggilan Kutty, berasal dari India.

Kedainya di simpang tiga sentiasa dikunjungi. Pada pandangan mata dan hati saya ketika itu dia banyak berbudi kepada orang kampung.

Kalau musim hujan orang tidak berduit kerana tidak dapat menoreh getah, boleh juga datang ke kedainya untuk mendapatkan keperluan harian seperti beras, tepung gandum, kopi, gula dan sebagainya.

Dia percaya pada orang kampung dan memberikan ‘kad kredit’ @ buku 555. Apa sahaja keperluan dapur boleh diambil dan ditulis dalam buku hutang itu.

Bila dapat duit jual getah nanti, boleh bayar. Tauke kedai bertali pinggang besar itu tidak kisah, malah boleh terus senyum, sekiranya ada pelanggan yang tertunggak hutang RM2 atau RM3; tidaklah RM bilion-bilion.

Apabila saya masuk sekolah menengah, kedai Kutty semakin besar. Bukan sahaja beras dan lain-lain keperluan harian, dia juga sudah menjual uniform sekolah, kasut dan alat tulis.

Dia baik dan mesra dengan orang kampung. Setiap hari Jumaat dia solat dengan penduduk, dan banyak pula menderma untuk kegiatan masjid.

Orang tidak pernah pertikai sama ada dia India, atau mamak, atau Melayu. Tetapi cakap Melayunya jauh lebih baik berbanding sesetengah orang kampung yang mengaku Melayu.

Orang tahu Kutty Islam yang baik hati. Rasanya kalau dia masuk politik kampung dan bertanding jawatan, dia mungkin dapat mengalahkan tok imam, atau tok ketua.

Tetapi Kutty tempat saya tidak main politik. Agaknya sebab itu orang tidak mengungkit-ungkit asal-usulnya. Orang tidak kisah pun kad pengenalan dia!