• ABD JALIL ALI ABD JALIL ALI
1 /

Setuju betul saya dengan pendirian Datuk Mustafa Ali. Bukan mengenai pandangan politik, tetapi perihal video seks yang dikaitkan dengan dirinya. Beliau mengambil sikap tutup mulut. Ketika ditanya wartawan, Setiausaha Agung Pas itu enggan mengulas.

Tegas beliau, seperti yang disiarkan media: “Saya tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai isu yang diperkatakan. Semuanya saya telah serahkan kepada peguam melalui Awi & Co untuk uruskan.”

Hujung minggu lalu di Kampung Alor Lintang Besut, Terengganu, polis dilaporkan menemui 16 bungkusan mengandungi gambar dan DVD lucah dipercayai melibatkan seorang pemimpin kanan Pas.

Video tersebut – memperlihatkan seorang lelaki bertubuh gempal memakai singlet di dalam sebuah bilik, dalam keadaan intim dengan seorang wanita – juga disebarkan menerusi internet.

Dalam suasana panas PRU13 sekarang, penyebaran bahan-bahan seperti itu bukanlah luar biasa sangat, malah memang telah dijangka. Seperti yang diketahui, hanya beberapa minggu lalu seorang pemblog menyebarkan gambar menunjukkan wajah seakan-akan Datuk Seri Anwar Ibrahim berintim-intim dengan seorang lelaki. Pemimpin PKR itu menafikan.

Konon banyak lagi siri gambar dan video seperti itu akan diedarkan, melibatkan beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat. Jadi jangan terkejut sekiranya menjelang hari mengundi banyak lagi ‘blue film’ akan disebarkan. Bagi yang tidak ada kerja lain, selamat menonton.

Sebenarnya kalau pun tidak musim mengundi, penyebaran bahan biru seperti ini bukan luar biasa. Dari semasa ke semasa ada sahaja video melibatkan tokoh-tokoh politik disebarkan untuk tontonan umum.

Sebelum ini kita telah dihangatkan dengan beberapa siri video seks melibatkan pemimpin. Antaranya yang paling hangat dan tersebar luas ialah adegan ranjang antara wanita China dengan seorang lelaki mirip Anwar, ditontonkan kepada sekumpulan wartawan oleh ‘Datuk T’. Anwar menafikan.

Kemudian tersebar pula dalam blog wajah seorang lelaki mirip Azmin Ali melakukan oral seks dengan seorang wanita dalam sebuah tandas. Azmin segera menafikan beliau adalah lelaki dalam gambar tersebut.

Dua tahun lalu Datuk R Ganesan, ketika itu Speaker Dun Perak, memfailkan saman terhadap lima Adun pembangkang gara-gara penyebaran cetakan artikel blog dan cakera padat mengandungi gambar lucah yang didakwa beliau bersama seorang wanita.

Beliau menafikan.

Setakat ini hanya seorang yang berani tampil ke hadapan – tidak menafikan, malah mengesahkan – berhubung penyebaran video seks. “Ya, sayalah lelaki dalam video tersebut!” kata Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, ketika itu menteri kesihatan, apabila
tersebar video adegan ranjang yang hebat itu, kira-kira lima tahun lalu.

Sejauh mana video dan gambar biru seperti itu boleh menjejaskan calon dalam pilihan raya, tidak dapat dipastikan. Dalam kes Dr Chua kesan negatifnya tidak lama. Memang beliau meletak jawatan Presiden parti dan menteri, tetapi tidak lama kemudian beliau dipilih semula sebagai Presiden MCA, kekal hingga hari ini. Beliau tidak menawarkan diri sebagai calon PRU13.

Saya tidak kisah sangat mengenai siapa pelakon utama dalam video-video tersebut, dan tidak tertarik pun untuk menontonnya. Saya lebih cakna mengenai siapa di sebalik penggambaran, pembikinan, penyebaran dan pengedaran benda-benda biru berkenaan?

Setiap kali muncul video lucah, laporan dibuat dan polis melakukan siasatan. Tetapi apa kesudahan siasatan tersebut tidak banyak diketahui. Berapa ramai musibat telah diheret ke muka pengadilan kerana terlibat dalam jenayah seperti ini?

Barang kali oleh sebab tiada tindakan, juga tiada hukuman berat ke atas musibat, pembikinan dan penyebaran bahan lucah ini – menerusi video, VCD, gambar, internet – akan berterusan, lebih-lebih lagi dengan teknologi canggih sekarang.

Maka malam ini sebelum naik katil, ada baiknya periksa bilik tidur kita, kot-kot ada kamera dan alat-alat perakam terselit di mana-mana. Periksa juga sekiranya masuk tandas awam, walaupun hanya untuk kencing. Tetapi kalau alat kencing anda luar biasa besarnya, jangan ragu-ragu untuk menghalakan pada kamera, sebab kebesaran itu adalah satu kemegahan.