SATU ketika dulu – zaman baru merdeka – gadis atau wanita bermata biru adalah satu lambang status. Ketika itu orang kita memandang tinggi terhadap Inggeris, bekas penjajah.

Apa sahaja yang ada kaitan dengan Inggeris akan dianggap hebat, sehinggakan sesetengah perkataan kita pun disekalikan dengan Inggeris supaya kedengaran gah – baju-coat, kasut-boot, pintu-gate, dan sebagainya.

Mata biru adalah merujuk kepada gadis dan wanita mat salih yang ketika itu menjadi idaman kebanyakan jejaka kita. Akan dikira hebat sekiranya dapat isteri bermata biru.

Maka tidak menghairankan sekiranya lelaki kita menyambung pelajaran ke seberang laut @ England, dan akan disanjung apabila pulang membawa ‘ijazah London’.

Lebih hebat dan berstatus lagi sekiranya selain ijazah dia juga membawa si mata biru sebagai isteri. Satu Malaya akan heboh jika ada yang membawa ‘mem’ orang putih.

Pertama kali saya berjumpa si mata biru ketika di darjah lima, akhir tahun 60-an. Bukan mata biru dari England, tetapi dari Amerika Syarikat.

Saya tidak pasti namanya, tetapi satu sekolah, termasuk guru besar menyebutnya ‘Miss Amerika’. Dia adalah salah seorang sukarelawan @ ‘peace corps’ yang dihantar ke sekolah saya untuk mengajar Bahasa Inggeris.

Kagum betul saya pada miss yang sesat di kampung saya ini. Hidung mancung, kulit putih, mata biru. Kalau boleh biarlah dia mengajar sepanjang hari.

Tetapi tidak lama, dia hanya bersama kami tiga bulan. Selain bentuk tubuh dan kebiruan mata, tidak banyak bahasa Inggeris yang kami pelajari. Saya ingat dia yang lebih banyak belajar cakap Melayu!

Apabila menjadi wartawan semakin kerap saya bertemu dengan mata-mata biru. Ketika membuat liputan di luar negara wartawan-wartawan mata biru bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Mereka bukan lagi satu kemegahan.

Kini setiap hari ada sekian banyak si mata biru bersidai di pantai-pantai peranginan seluruh negara. Kalau ke Batu Frengghi, Pulau Pinang, sana-sini boleh nampak mata biru menjemur tubuh.

Hatta, di KLCC, KLIA, Dataran Merdeka, dan mana-mana pusat beli-balah di KL, ada sahaja mat salih setiap masa. Pendek kata si mata biru sudah menjadi pandangan biasa, tidak lagi sesuatu yang eksklusif, jauh sekali lambang status.

Setelah 60 tahun merdeka, orang kita sudah tidak hairan pada si mata biru. Kita tidak lagi memandang Inggeris sebagai tuan. Walaupun mata kita coklat, kita tidak takut bertentang mata dengan si mata biru.

Hujung minggu lalu. Di sebuah pusat peranginan, saya pertama kali dikelilingi oleh si mata biru. Di mana pun saya pergi si mata biru sentiasa menunggu.

Bukan satu atau dua, kalau hendak dikira satu persatu tentu berjuta-juta. Di setiap sudut si mata biru – tidak berkain, tidak berbaju – didedah dan dipamerkan kepada pelancong.

Boleh dipandang, boleh disentuh, malah kalau teringin boleh dirasai. Dalam ribuan pelancong, si mata biru hanya berdiam, dan merelakan...

Saya sebenarnya berada di pantai peranginan Lumut, di Perak. Dan berjuta-juta mata biru tidak berbaju yang merelakan dirinya disentuh itu, bukanlah gadis atau wanita mat salih. Bukan wanita Inggeris.

Di pantai peranginan ini si mata biru adalah merujuk kepada ikan bilis! Ada beratus gerai mempamerkan beraneka ikan bilis dan lain-lain produk laut – sotong kering, ikan kering, belacan, keropok ikan dan sebagainya.

“Ini barang Pulau Pangkor, dijamin kuali terbaik,” kata seorang peniaga mempromosi produknya. “Jangan tengok-tengok dan pegang saja, bang. Belilah...”

Memang ramai yang hanya mampu tengok dan sentuh, tetapi tidak ramai yang mampu beli. Almaklumlah harga sekilo ikan bilis paling murah RM60, malah ada yang RM90 per kilo.

Isteri saya yang tidak pernah lepas peluang membeli bilis pun berfikir panjang. Setiap kali balik Kuala Terengganu dia memborong ikan bilis di Pasar Payang. Harga paling mahal untuk bilis premium ialah RM30 per kilo.

Harga di Lumut baginya terlampau tinggi, di luar kemampuan rakyat biasa. Kata penjual: “Mahal pun berbaloi-baloi, kak. Sebab ini betul-betul bilis mata biru...”

Kalau ikutkan saya, lebih baik beli bilis di pasar raya Taman Medan, Petaling Jaya. Harga jauh lebih murah, sama sahaja bentuk dan rupa.

Hujah saya: “Mata biru, mata hitam, mata coklat, bila dibuat sambal tumis semua jadi mata merah, rasa sama...” Tetapi, nama pun orang perempuan, sudah tahu mahal dibeli juga.

Alasan isteri: “Dah letih kita memandu ke Lumut, apa salahnya beli sekilo dua. Lagi pun bukan mudah nak dapat yang mata biru...” Macam menyindir saya bunyinya!